• Dr Asyraf Wajdi Dusuki Dr Asyraf Wajdi Dusuki
1 /

Sabtu lalu saya dijemput oleh Pengerusi Barisan Nasional Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menyampaikan syarahan dan tazkirah sempena Himpunan Barisan Hadapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Lebih 2,000 pemimpin dan jentera parti dari semua peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri hadir dalam majlis yang diakhiri dengan bai’ah (ikrar) taat setia yang julung kalinya diadakan oleh Barisan Nasional Kelantan.

Tampak daripada reaksi ketua-ketua Bahagian hinggalah kepada pimpinan-pimpinan akar-umbi parti di semua peringkat, BN kali ini tampil dengan penuh semangat untuk mengambil alih Kelantan daripada kepemimpinan Pas. 

Sememangnya setelah 22 tahun Pas memerintah Kelantan, terlalu banyak isu melingkari dan menyentuh hati nurani rakyat yang mulai bernanah seperti isu air, tanah, pembalakan tanpa had, peluang-peluang pekerjaan hinggalah kepada masalah sosial yang meruncing.

Semua isu ini hakikatnya amat dekat dengan hati nurani rakyat Kelantan kini. Seorang rakan saya Poksu Mat dari Kampung Pok Keral Pengkalan Kubur ketika saya temui Sabtu lepas mengeluh, “Bukan setakat air selalu tak ada, hari ini kena korek telaga sendiri bahkan air kerajaan negeri yang tidak digunakan pun kena bayar RM16 sebulan”.

Bukan itu sahaja isu tanah yang benar-benar menyakitkan hati rakyat Kelantan lantaran kerakusan kerajaan negeri sewenang-wenangnya memajakkan pada orang asing atas nama pembalakan dan projek ladang rakyat yang bukan setakat tidak memberikan manfaat pada rakyat tapi menganiayai lebih 1,800 keluarga Orang Asli.

Lebih dirasai kini, penghijrahan anak-anak muda mencari rezeki di luar Kelantan lantaran terlalu kurang peluang pekerjaan dalam negeri. Pembangunan infrastruktur asas yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan negeri turut menjadi sebab kurang kemasukan pelaburan luar yang sepatutnya mampu menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ekonomi yang tidak terurus dengan berkesan seperti ini jugalah  sebabkan masalah sosial di kalangan remaja kian meningkat seperti  dadah, ketagihan ubat batuk yang rata-rata berpunca daripada masalah pengangguran dan kurangnya aktiviti ekonomi bermanfaat.

Ini hanyalah sebahagian daripada keluhan dan rintihan rakyat. Sebab itulah tidak pernah berlaku dalam sejarah di Kelantan, ceramah-ceramah umum Umno sejak beberapa bulan kebelakangan ini dihadiri ribuan khalayak yang dulunya amat tegar menyokong Pas.

Fenomena sebegini semacam memberi isyarat bahawa rakyat tidak selamanya boleh dicandukan dengan retorik agama melalui pelbagai slogan besar seperti “Membangun Bersama Islam”, “Negeri Serambi Mekah”, “Kota Bharu Bandaraya Islam” dan pelbagai label Islam lain.

Memang menyedihkan apabila Islam seringkali ditampilkan dalam pelbagai bentuk jenama dan slogan mengikut cita rasa politik. Seolah-olah hanya apabila ada label Islam maka sifatnya lebih Islamik berbanding yang tiada jenama Islam.

Walhal Islam itu bukanlah terletak pada label mahupun sekadar penjenamaan. Nabi Muhammad SAW seringkali menegaskan: “Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan juga sekadar perhiasan, tetapi iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”. (Riwayat Ad-Dailami).

Memahami falsafah dan prinsip inilah maka umat sejak zaman berzaman berjaya membina kerajaan, bahkan tamadun yang hebat berasaskan Islam sebenar. Umpamanya, dalam pelbagai cabang ilmu, para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizimi membangunkan bidang perubatan dan matematik yang berkualiti.

Sebab itulah, rakyat Kelantan semakin matang dan berilmu nampaknya begitu bersungguh-sungguh ingin menukar kerajaan dan beri peluang kepada BN perintah. Cuma  masih dikhuatiri, sama ada kepimpinan BN benar-benar sedia mengambil alih kerajaan.

Kesediaan dimaksudkan bukan sekadar mendabik dada dengan kehadiran ribuan masyarakat dalam ceramah umum yang dianjurkan dan tidak cuma mengharapkan kemarahan serta ketidakpuasan hati rakyat pada kerajaan Kelantan.

Ia semestinya dizahirkan melalui kesatuan dan kesepaduan jitu barisan kepimpinan dan pejuang parti dalam menghadapi pilihan raya kali ini. Siapa juga calon bakal diumum kelak mestilah disokong seutuhnya demi rakyat yang mahukan perubahan.

Moga-moga tiada lagi istilah ‘cah keting’ yang amat sinonim dengan perangai segelintir mereka berkepentingan dalam BN hinggakan ada peribahasa politik sering diungkapkan “Pas sudah kalah tapi BN tidak mahu menang”.