BARU-BARU ini seorang individu yang ‘berpengaruh’ dalam Kerajaan Pakatan Harapan menulis sebuah artikel dalam blognya yang secara langsung menyentuh tentang institusi Yang di-Pertuan Agong.

Penyiaran artikel sedemikian pastinya mengundang pelbagai persepsi dan kritikan dalam kalangan rakyat terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Penulis secara peribadi tidak tergamak sama sekali untuk menyebut kembali apa yang diulas individu terbabit dalam artikel yang disiarkan di blognya. Namun apa yang menjadi keprihatinan dan kebimbangan penulis adalah kemungkinan sikap sedemikian menjadi satu trend dalam kalangan rakyat masa kini.

Keterbukaan dan kebebasan yang dijanjikan kerajaan hari ini tidak boleh menjadi satu alasan untuk rakyat berkata apa sahaja tanpa batas, limitasi dan parameternya.

Ironinya, sikap individu berkenaan turut menerima teguran daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta semua pihak menghormati institusi raja-raja Melayu dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara sensitif.

Teguran Dr Wan Azizah muncul pada saat individu terbabit telah mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kerajaan Pakatan Harapan atas alasan bimbang bahawa tulisan artikel peribadinya dianggap mewakili ‘suara’ Kerajaan PH lantaran kedudukan beliau sebagai seorang individu yang ‘berpengaruh’ dan dekat dengan kepimpinan negara.

Penulis juga senada dengan peringatan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan agar Kerajaan PH perlu mengambil pendekatan membendung budaya memperlekeh dan menghina institusi raja-raja Melayu agar tidak menjadi satu budaya yang akhirnya menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengkritik atau menulis perkara yang tidak sepatutnya sesuka hati.

Penulis berfikiran bahawa kemuncak kepada sikap keprihatinan dalam isu ini tercetus apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap orang Melayu sendiri yang cuba mengkritik institusi raja-raja Melayu.    

Menjadi satu perkara yang aneh dan menyedihkan kerana individu berkenaan yang dikenali begitu berpengalaman dalam dunia penyiaran dan media tiba-tiba menjadi seolah-olah tidak peka dan tidak arif dengan sensitiviti kenegaraan dalam sistem raja berperlembagaan di Malaysia.

Individu tersebut sepatutnya lebih sedar dan insaf bahawa apa sahaja yang ditulis beliau pastinya akan membawa bersama imej negatif dan akan dianggap mewakili Kerajaan PH. Atau pun mungkin barangkali beliau mempunyai nawaitu tertentu untuk memberikan reputasi yang tidak baik kepada institusi raja-raja Melayu.

Rakyat di negara ini tanpa mengira agama dan bangsa perlu memahami bahawa institusi raja-raja Melayu yang ada pada hari ini adalah sangat penting kepada kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

 Konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan wujud disebabkan faktor sejarah yang berasaskan perjanjian ketika mencapai kemerdekaan pada 1957 dahulu. Lebih dari itu institusi raja-raja Melayu sebenarnya memegang kunci terpenting amanah kestabilan negara daripada kacau-bilau dan ketidaktenteraman awam.

Apa yang perlu difahami adalah raja-raja Melayu tidak boleh dipandang sebagai individu semata-mata.

Tetapi kesemua sembilan (9) raja-raja Melayu itu perlu dilihat sebagai mewakili sembilan institusi beraja di Malaysia. Sembilan raja-raja ini juga menerima daulat daripada negeri masing-masing yang kemudiannya salah seorang daripada mereka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang menjadi satu institusi besar itu kepala negara kepada badannya yang bernama Malaysia.

Jika ada yang tidak digemari tentang mana-mana yang berkaitan dengan mana-mana institusi beraja tersebut, selesaikanlah dengan cara dan adab susila Melayu.

Menegur biarlah pada tempatnya. Menyampaikan teguran biarlah pada tuan yang haknya dan bukan secara semberono dengan mengetepikan terus tata susila kita sebagai bangsa yang dimuliakan dengan Islam dan disendikan pula dengan adab budaya warisan zaman berzaman.

Moga Ramadan ini memberi keinsafan kepada kita semua agar negara, raja dan rakyat terus berpisah tiada.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ahli Majlis Tertinggi Umno