JIKA diimbas kembali, berita palsu sudah dipopularkan sejak zaman-berzaman. Isu fitnah dan berita palsu ini bukan hanya berlaku ketika hampir musim pilihan raya, tetapi sudah menjadi tradisi sejak berkurun lamanya.

Hanya sekarang ini kaedah penyebarannya yang berubah dan lebih pantas. Jika zaman dahulu ia tersebar dalam bentuk khabar-khabar angin dan gosip dari mulut ke mulut, tetapi sekarang lebih cepat dengan perkembangan media sosial yang sepantas kilat.

Sentimen berita palsu ini bukan hanya berlegar di negara kita, bahkan di peringkat antarabangsa. Berita palsu disebarkan untuk menarik perhatian masyarakat dengan menokok tambah berita supaya lebih berkembang dan meyakinkan.  

Lebih membimbangkan, berita palsu dijadikan strategi politik atau perniagaan untuk meraih sokongan dan mengaut keuntungan.

Pelbagai bentuk penyampaian digunakan sama ada berbentuk hiburan dan lawak jenaka, info grafik yang disunting dengan maklumat-maklumat yang direka atau ditokok tambah, mahupun berbentuk parodi.

Sebaran berita palsu tanpa had ini akan menyebabkan maklumat yang disampaikan sama ada melalui media arus perdana, dan apatah lagi sekarang setiap orang mampu menjadi wartawan dengan menye-barkan maklumat melalui media sosial, akan membuatkan masyarakat bertambah keliru.

Dalam arena politik hari ini, kerakusan pihak-pihak berkepen-tingan untuk meraih sokongan melalui keyakinan yang direka dan manipulasi berita, boleh menyebabkan ketidakstabilan politik sesebuah negara.

Malah, ia menjadi ancaman yang besar kepada kedaulatan negara yang akhirnya mampu memporak-perandakan masyarakat.Hakikatnya, ancaman berita palsu ini lebih besar daripada ancaman peperangan yang bersifat fizikal.

Hanya dengan fitnah sahaja mampu menumbang dan merun-tuhkan kesejahteraan sesebuah negara. Lihat sahaja apa yang telah berlaku di Timur Tengah, Eropah dan di seluruh dunia.

Elemen ekstremisme sama ada radikal mahupun yang dipelopori oleh pihak liberal hari ini telah mencetuskan satu fenomena yang memporak-perandakan keamanan dan kesejahteraan negara yang akhirnya mengakibatkan pepera-ngan.

Contoh terbesar yang dapat dilihat setelah kewafatan Rasulullah SAW, bermulanya lembaran persengketaan sesama Muslim, ketika Saidina Uthman al-‘Affan menjadi Khalifah umat Islam.

Beraneka fitnah dilontarkan demi memburukkan Saidina Uthman r.a, yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’.

Beliau dituduh melakukan bidaah, tidak menyertai peperangan Badar dan pelbagai lagi. Sehinggalah surat palsu yang disandarkan kepada Ali, Talhah, dan al-Zubair yang kononnya mengarahkan mereka untuk mencetuskan pemberontakan ke atas beliau, bahkan diugut bunuh jika enggan melepaskan jawatan khalifah pada ketika itu.

Semua fitnah dan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan menyeleweng daripada cerita sebenar.

Pemberontak yang terdiri dari-pada perancang pemberontakan serta mereka yang diperdaya dan termakan hasutan untuk turut serta dalam pemberontakan, telah mengepung rumah khalifah selama hampir sebulan, sebelum pintu rumahnya di bakar, yang akhirnya beliau dibunuh dengan kejam.

Bergelap seketika dunia Islam tanpa khalifah sebelum Ali bin Abu Talib diangkat menjadi khalifah. Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan dalam keadaan yang sangat susah, di mana ketika itu pemberontak bersenang-lenang dengan kejayaan mereka.

Kesannya, pertelagahan dan tohmahan yang berlaku tidak terhenti di situ sahaja. Walaupun selepas perdamaian, timbul pula puak yang tidak berpuas hati dengan perdamaian tersebut.

Mereka berpecah dan menu-buhkan satu puak baharu yang digelar sebagai khawarij.  Demikian kucar-kacir dunia Islam ketika itu, semuanya bermula daripada berita palsu yang direka semata-mata.

Jika kita lihat kejatuhan negara-negara asing yang hanya kerana terpengaruh dengan berita-berita palsu, akhirnya, apakah rakyat mendapat manfaat pada kejatuhan negara yang dahulunya hebat dan boleh berdiri atas kakinya sendiri tanpa perlu bergantung pada kuasa-kuasa besar.

Tetapi hari ini, satu per satu lumpuh. Rakyat terpaksa merempat dan merana serta menagih simpati dari negara-negara lain. Apakah ini yang kita mahukan?

Sebab itulah, untuk mengelakkan kemudaratan ini, dalam Islam menekankan prinsip sentiasa mengutamakan aspek menghapuskan sebarang bentuk kemudaratan.

Kalau ada kebaikan sekalipun yang sebenarnya berkonflik dengan kemudaratan, kita harus mengambil pendekatan menghindari kemudaratan itu mesti diutamakan.