KITARAN bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dan kini ia kembali memulakan kitaran untuk 365 hari yang baru. Seiring dengan perginya lembaran lalu, penulis percaya tentunya pelbagai harapan dan azam disemat dengan penuh semangat dan iltizam. Pasti semuanya untuk menambah kebaikan dalam segenap aspek kehidupan sama ada dalam bentuk ibadah, rohani mahupun jasmani.

Apabila bercakap soal ibadah, penulis melihat seakan wujud kecenderungan di kalangan masyarakat zaman sekarang untuk mempersoalkan keabsahan ibadah orang lain.

Kita terlalu mudah membuat nilaian sama ada amal ibadah orang lain itu diterima oleh ALLAH SWT atau tidak. Apatah lagi apabila meyakini bahawa pendirian sendiri adalah yang terbaik, kita dengan mudah membuat penilaian dan pertikaian.

Namun, harus diingat, manusia adalah makhluk yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Termasuk dalam hal membuat penilaian. Walaupun manusia merupakan makhluk ciptaan ALLAH yang paling sempurna dari makhluk lainnya, tetapi jangan pernah dilupakan fitrah kita sebagai makhluk yang tidak dapat lari daripada salah dan khilaf. 

Sejarah awal Islam amat menjaga perkara ini dan tidak mudah untuk menjatuhkan hukum terhadap keabsahan amalan ibadah seseorang.

Contohnya, dalam satu operasi perang, Usamah bin Zaid telah membunuh seorang yang mengucap kalimah syahadah kerana menyangka bahawa orang tersebut mengucap syahadah lantaran takut dibunuh.

Kemudian dia kembali kepada Rasulullah SAW dan memberitahu baginda berkenaan perkara tersebut. Rasulullah SAW bertanya: “Adakah dia berkata tiada tuhan melainkan ALLAH dan kamu telah membunuhnya?” Usamah berkata: “Wahai Rasulullah, dia mengucap syahadah kerana takutkan senjata”. Baginda bersabda: “Adakah kamu telah belah hatinya sehingga kamu tahu dia mengucap syahadah atau tidak?” Rasulullah SAW mengulang-ulangi soalan itu kepada Usamah. Hadis sahih riwayat Muslim.

Dalam kisah yang lain, pada suatu ketika telah datang harta zakat dari Yaman berupa ketulan-ketulan emas kepada Rasulullah SAW. Kemudian baginda membahagi-bahagikan harta zakat itu kepada beberapa sahabat.

Kemudian datang seorang lelaki mempertikaikan pembahagian tersebut dan menyuruh Rasulullah SAW bertakwa kepada ALLAH. Rasulullah menjawab: “Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertakwa di muka bumi ini?” Khalid al-Walid meminta izin Rasulullah untuk membunuh orang itu.

Baginda melarangnya dan bersabda, “Mungkin dia orang yang solat”. Khalid menjawab: “Betapa ramai orang yang mengatakan dengan lidahnya apa yang tiada dalam hatinya.” Baginda menjawab; “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk menebuk hati-hati manusia (untuk mengetahui apa yang terdapat dalam  hati mereka), dan tidak juga untuk membelah perut-perut mereka”. Hadis sahih riwayat Muslim. 

Kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan bahawa kita tidak patut sekali-kali mempertikaikan keabsahan amalan baik seseorang terutamanya amalan ibadah. Semua rukun Islam adalah merupakan amalan ibadah zahir seperti ibadah solat, puasa, zakat dan haji.

Jika seseorang itu telah menunaikan rukun-rukun Islam tersebut dengan sempurna mengikut syarat dan rukunnya, maka amalan tersebut adalah sah. Manakala, penerimaan amalan tersebut adalah terserah kepada ALLAH yang layak menentukannya. Bukan tugas kita untuk menilai dan menentukan keabsahan amal ibadah orang lain. 

Begitu juga dalam kata-kata Imam Syafie yang lebih suka untuk menjatuhkan hukum berdasarkan apa yang zahir dan menyerahkan soal hati dan apa yang tidak diketahuinya kepada ALLAH SWT. “Sesungguhnya, aku diperintahkan untuk menjatuhkan hukum berdasarkan perkara yang zahir yang jelas nyata, dan ALLAHlah yang menguruskan apa yang tersembunyi (berkenaan perkara hati dan apa yang tidak diketahui)”. 

Jika Rasulullah SAW dan Imam Syafie sendiri pun tidak pernah menilai hal ibadat individu lain, apatah lagi kita sebagai umat biasa. Itu adalah urusan dia dengan Tuhannya yang tidak perlu kita campuri. Apa yang penting, individu yang melaksanakannya benar-benar tahu apa yang dilakukannya.

Adalah menjadi suatu yang menyedihkan apabila Islam ditampilkan dengan label-label yang bersifat simplistik, hatta tahap keabsahan ibadah juga dinilai dengan semahunya. Perlu kita sedari, sesungguhnya penekanan dalam amal ibadah bukan hanya terletak pada pandangan yang cetek, tetapi niat mendalam yang hanya diketahui oleh ALLAH itu yang bakal menentukan nilai amal ibadah seorang hamba di sisi-Nya. 

Justeru, usahlah kita terlalu mudah membuat penilaian dan mempersoalkan kebaikan orang lain dalam amal ibadah mereka. Ya! Kita bukanlah penentu dan penilai yang mutlak kepada orang lain.

Berusahalah untuk mencari reda dan kasih sayang ALLAH, Pencipta dan Pemilik alam ini. DIAlah sebaik-baik Penentu dan Penilai.