PENYATUAN ummah dalam Islam adalah suatu perkara yang sangat dituntut. ALLAH SWT dalam ayat 6 hingga 7 Surah al-Hujurat menjelaskan tentang formula bagaimana kaedah terbaik menangkis berita dan maklumat fitnah dalam kalangan umat Islam boleh dibuat.

Bahkan ayat-ayat tersebut juga menghuraikan punca perbalahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam.

Pada ayat 6 hingga 7 ALLAH SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, selidikilah agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada satu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatan kamu itu. Ketahuilah oleh mu bahawa pada kamu ada Rasulullah, yang jikalau beliau ikuti saja kepada kamu pada kebanyakan urusan, maka akan sulitlah kamu. Tetapi ALLAH telah menyebabkan timbul cinta kamu kepada iman dan Dia hiaskan akan iman di dalam hati dan ditimbulkan benci kamu kepada kufur, fasik dan derhaka. Mereka itulah orang-orang yang menempuh jalan yang bijak.

Pada kedua-dua ayat ini ALLAH SWT menjelaskan tentang betapa perlunya umat Islam menyelidiki kebenaran setiap berita yang dibawa. Ini kerana sebarang bentuk berita yang palsu mampu menghuru-harakan masyarakat. Hasilnya akan lahirlah fitnah yang menyebabkan permusuhan sesama Islam dan masyarakat.

Istilah ‘fatabayyanu’ atau ‘tabayyun’ yang digunakan dalam ayat 6, merujuk kepada konsep pencerahan untuk mencari kebenaran. Bukan sahaja berita yang dibawa perlu dikenal pasti kebenarannya, tetapi individu yang membawa berita itu juga perlu dipastikan latar belakangnya kerana dikhuatiri individu tersebut tergolong dalam kalangan orang-orang yang fasik.

Ini menunjukkan bahawa berita yang dibawa oleh orang-orang yang fasik ini merupakan salah satu punca penyebab utama berlakunya perbalahan dalam masyarakat. Tanpa mengira apa situasi dan kedudukan, perbalahan boleh berlaku dengan mudah apabila berita-berita yang tidak benar disebarkan secara meluas. Pada hari ini, kita sering kali dimomokkan dengan penyebaran pelbagai berita yang tidak benar. Hakikatnya, penyebaran berita boleh berlaku dengan  mudah  tanpa  mengeluarkan sebarang suara, cukup sekadar menggerakkan jari jemari di skrin telefon bimbit atau komputer, sudah cukup menyebabkan berlakunya kekalutan, kekeliruan yang akhirnya menyebabkan timbul prasangka buruk, iri hati dan perbalahan.

‘Tabayuun’ perlu sentiasa menjadi kit bergerak dalam minda setiap umat Islam pada hari ini. Kit ‘tabayyun’ ini berfungsi dalam minda umat Islam untuk mendisiplinkan diri supaya tidak mudah menyebarkan apa sahaja maklumat yang belum disahkan. Sering kali juga kita melihat telatah individu yang menularkan pelbagai maklumat yang belum pasti kebenarannya di media sosial kemudiannya dengan mudah mengisytiharkan dirinya hanya menyampaikan maklumat yang diambil dari orang lain untuk kepastian dan perkongsian semua.

Namun tanpa disedari beliau sebenarnya telah menjadi penyebar maklumat palsu dan boleh tergolong sebagai orang-orang fasik. Menjadi lumrah bagi sesetengah individu untuk menjadi penyampai maklumat yang pertama disebabkan rasa teruja yang sangat tinggi. Tetapi sering kali juga kita terlupa barangkali akan ada individu, keluarga dan kelompok masyarakat yang akan tergores dengan penyebaran berita tersebut.

Mendisiplinkan diri untuk menjadi penyampai maklumat dan berita yang benar terutama di media sosial pada hari ini sudah menjadi suatu perkara amat darurat dan perlu. Jika perkara seumpama ini tidak dititik beratkan dalam masyarakat dan umat Islam, saya percaya media sosial pasti akan menjadi satu bebanan berat, besar dan halangan kepada kita untuk membangunkan peradaban Islam khususnya di Malaysia.

Namun jika kita sentiasa menjadikan kit ‘tabayyun’ berasaskan ayat 6 dan 7 Surah al-Hujurat ini, pastinya banyak kekeliruan, prasangka dan kebencian dalam masyarakat dan umat Islam dapat dielakkan.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)