TIADA perkara yang paling indah bagi seorang Muslim selain dapat menjadi tetamu ALLAH (Dhuyuf Ar-Rahman) kerana tidak semestinya semua umat Islam akan mendapat peluang ini.

Kenikmatan menjadi tetamu ALLAH itu sukar diungkap dengan kata-kata. Menjadi tetamu kepada yang Maha Kaya, yang Maha Agung dan Maha Pemberi Hidayah.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah. Para jemaah perlu menunggu giliran untuk mengerjakan haji kerana ia bergantung kepada jumlah bilangan kuota tertentu yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pada tahun ini, berkat hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Raja Arab Saudi, bilangan kuota untuk negara kita telah ditambah menjadi 30,200 orang.

Walau apa pun, hakikat yang perlu kita yakini, itu semua hanyalah medium ikhtiar semata-mata, kerana jemputan dan giliran yang sebenar adalah ditentukan oleh ALLAH SWT.   

Sebab itulah, mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu-Nya terutama bagi yang kali pertama, perlu beriltizam untuk menunaikannya secara terbaik. Kerana belum tentu kita akan mendapat peluang ini untuk kali kedua.

Persiapkan diri dengan persediaan yang rapi dari segenap aspek. Bukan sahaja dari sudut fizikal, malah jiwa dan mental perlu benar-benar bersedia untuk melaksanakan ibadah ini supaya diterima segala amalan dan beroleh keredaan-Nya.

Persiapan yang paling penting adalah hati. Kita bukan pergi untuk menunjukkan segala pangkat dan harta kekayaan, tetapi hadir menjadi tetamu ALLAH untuk persembahkan sebuah hati yang baik dan bersih.

Sifat yang tersimpan dalam hati dan sanubari itu akan diterjemahkan oleh fizikal tubuh badan melalui perbuatan atau perkataan yang akhirnya menjadi penentu akhlak kita, sama ada mulia atau sebaliknya. Kerana akhlak adalah cerminan hati yang dizahirkan melalui perbuatan mahupun perkataan.

Hakikatnya, akhlak yang baik menjadi syarat terpenting untuk mendapatkan haji mabrur kerana ibadah haji sangat berkait dengan persoalan akhlak. Bagaimana kita beradab dengan saudara-saudara seagama yang datang dari pelbagai pelosok dunia dengan bermacam ragam dan berlainan budaya. Pelbagai sikap dan perangai dapat dilihat. Ada yang bertengkar, menengking, menolak, menghimpit, gagal mengawal kemarahan, mengambil makanan secara berlebihan hingga mengambil hak orang lain, berkasar dan menyakiti semasa mencium Hajar al-Aswad, dan ada juga mereka yang mementingkan diri dan tidak bertolak ansur. Berebut menaiki lif umpama lif itu tidak akan turun kembali. Tidak kurang juga yang asyik mengadu, tidak berpuas hati dengan itu dan ini. Seterusnya, dapat dilihat pelbagai perlakuan yang tidak termasuk dalam keluasan tafsiran akhlak mulia yang seharusnya tidak berlaku ketika menunaikan ibadah haji.

Sebagai tetamu-Nya, sudah pasti ALLAH akan uji rutin kita supaya kita menjadi orang yang sabar. Bayangkan sahaja situasi di Arafah dan Mina dengan keadaan logistik yang terhad, pastinya berbekalkan kesabaran yang tinggi sahaja yang akan memungkinkan kita mengharungi segala bentuk ujian yang didatangkan oleh ALLAH pada ketika itu.

Namun begitu, jemaah haji negara kita perlu berasa bertuah dan bersyukur kerana di sana, ketika kita tidur lena dalam khemah berhawa dingin yang disediakan pihak Tabung Haji, mungkin ada saudara kita dari negara lain yang terpaksa bersusah payah memanjat bukit untuk mencari tempat melelapkan mata. Tetapi, siapa tahu, mungkin juga mereka yang bersusah payah itu lebih ikhlas daripada kita dan ibadah mereka lebih diterima oleh ALLAH SWT. Hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Sesungguhnya, kembara mencari reda ALLAH ini bermula sejak jemaah keluar meninggalkan rumah masing-masing. Justeru, ujian daripada ALLAH itu juga seiring dengan perjalanan ini, sama ada sebelum tiba di tanah suci, semasa berada di sana mahupun setelah pulang ke tanah air kelak.

Sebagai jemaah yang mengidamkan haji mabrur, maka elakkan sekali-kali mencela dan mencaci sesama jemaah mahupun institusi yang menguruskan perlaksanaan ibadah ini. Jika menggunung sekalipun amalan kita, tetapi hati orang kita sakitkan, umpat keji menjadi rutin harian, mengeluh dan merungut setiap masa, maka haji mabrur yang diidamkan belum tentu akan menjadi milik kita.

ALLAH SWT telah mengingatkan hal ini dengan jelas dalam Surah al-Baqarah :197, “Haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Siapa yang memastikan dirinya untuk berhaji di bulan-bulan itu, maka tidak boleh berbicara kotor, berbuat fasik, dan berbantah-bantahan saat berhaji...”

Inilah antara perbuatan yang benar-benar harus dielakkan oleh para tetamu ALLAH, selain daripada menjaga larangan-larangan haji. Jika tidak ada akhlak yang baik, dikhuatiri kita menjadi tetamu yang tidak dipandang sungguh-sungguh oleh ALLAH. Maka, datanglah bertamu dengan membawa jiwa luhur penuh syukur kepada-Nya. Ingatlah, tidak ada pemberian terbaik yang ALLAH berikan kepada hamba-Nya melainkan akhlak yang baik.