PRU14 telah selesai sebulan yang lalu. Buat kali pertama dalam sejarah BN yang terasnya adalah Umno tewas dan kehilangan kuasa memerintah kerajaan persekutuan dan negeri-negeri kecuali di Perlis, Pahang dan Sarawak. Manakala BN Sarawak pula kemudiannya mengumumkan keluar BN dan realitinya sekarang BN hanya memiliki dua negeri sahaja.

Kerapuhan dalam gabungan BN pula berlaku akibat hilangnya kuasa politik dalam PRU yang lalu. Setia kawan politik dalam Perikatan dan kemudiannya BN yang dibina sekian lama sejak merdeka semakin terlerai.

Hakikatnya, Umno adalah parti teras dalam gabungan BN. Keputusan PRU yang lalu membuktikan Umno masih berjaya mengekalkan 54 kerusi Parlimen dan didukung oleh sebahagian besar orang Melayu yang beragama Islam. Jumlah tersebut juga membuktikan Umno masih menjadi parti politik utama dan teras negara biarpun gagal membentuk kerajaan persekutuan.

Kini, Umno akan berdepan dengan pemilihan parti paling penting dalam sejarahnya dan yang menentukan hidup mati parti terpenting orang Melayu ini. Kesemua jawatan dalam Umno akan dipertandingkan terutama jawatan presiden yang menyaksikan tujuh (7) calon akan bertanding merebut jawatan tersebut.

Umno perlu melalui proses pemilihan ini dengan telus, cekal, tabah dan berani. Pemilihan ini adalah satu daripada agenda pengislahan atau pembaikan parti ini. Umno memerlukan barisan kepimpinan yang baharu, idealisme yang segar, suntikan semangat dan DNA politik bertenaga sebagai pembangkang di Parlimen Malaysia.

Lebih penting lagi, pemilihan kali ini akan menentukan arah tuju parti keramat orang Melayu ini pada masa hadapan untuk bersaing dengan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan, iklim politik baharu generasi muda dan membina kembali imej dan keyakinan di mata rakyat.

Pemilihan dalam Umno adalah satu proses permulaan untuk Umno pulih dan bangun kembali. Gerakan pentarbiahan dan pengkaderan perlu menjadi misi utama Umno selepas ini.

Pentarbiahan adalah proses memantapkan kembali arah tuju serta jati diri ahli. Kembali kepada asas perjuangan Islam dan membela nasib orang Melayu seperti yang dipaterikan oleh bapa-bapa pengasas parti. Ahli dan pemimpin perlu dilatih berkorban, disemai semangat kesukarelawanan, setia kawan yang tinggi serta paling penting mempunyai nilai integriti yang luhur.

Manakala pengkaderan pula adalah untuk menjadikan Umno parti yang inklusif dan terbuka untuk disertai semua golongan pemimpin; profesional, ulama, cendekiawan dan teknokrat. Budaya politik cantas juga perlu dileburkan dalam parti, di samping membudayakan pembinaan generasi pelapis berkualiti dalam parti.

Keterbukaan demokrasi dalam Umno hari ini dan penglibatan pelbagai golongan untuk bersama-sama terlibat dalam proses pengislahan membuktikan parti ini masih diperlukan oleh orang Melayu.

Pedulikan kecaman, sindiran, gelak tawa dan sentimen kebencian segelintir pihak kepada Umno kerana biar setinggi mana pun kebencian itu, sejarah tidak dapat memadamkan fakta betapa parti inilah yang telah berjaya memerdekakan negara, memartabatkan Islam dan membangunkan Malaysia seperti hari ini.

Bahkan tidak keterlaluan dikatakan hampir kesemua aktor politik utama hari ini lahir dari rahim suci politik Umno. Bangkitlah Umno!