GENDANG Pilihan Raya Umum ke-14 sudah mula dipalu. Pengumuman Manifesto Barisan Nasional oleh pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak boleh dianggap sebagai manifesto yang bersifat inklusif dan holistik.

 Manifesto ini hadir pada saat n egara sedang rancak membangun dan berada pada kedudukan untuk menuju ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Jika disoroti secara mendalam kesemua 14 teras yang ditawarkan dalam manifesto Barisan Nasional ini didasari oleh prinsip maqasid syariah yang mengutamakan pemeliharaan lima aspek merangkumi agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Seperti yang sentiasa dijelaskan oleh Najib bahawa asas kenegaraan Malaysia dan perjalanan kerajaan telah disulami oleh manik-manik maqasid syariah biarpun tidak dizahirkan secara langsung dan dinyatakan dalam setiap dasar kerajaan.

Namun hakikatnya lima teras maqasid syariah ini sentiasa tergabung jalin dengan utuh dalam setiap pembangunan negara.

Paling menarik, dimensi Islam dalam manifesto kali ini diwarnai oleh inisiatif BN untuk menubuhkan Majlis Kehakiman Syariah Kebang-saan yang akan dipengerusikan sendiri oleh Najib sebagai jawatankuasa induk bagi menyelaras isu-isu berkaitan perundangan dan kehakiman syariah.

Inisiatif ini dilihat tepat dan wajar dalam usaha Umno Barisan Nasional untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam dalam kerangka perundangan syariah di Malaysia.

Malahan inisiatif ini diyakini akan berlangsung secara berhikmah dengan mengambil kira semua aspek termasuk nilai keadilan dan nilai kemajmukan sebagai sebuah negara umat Islam yang progresif.

Hasrat Barisan Nasional yang ditunjangi Umno juga adalah untuk melihat mahkamah syariah terus diperkasakan melalui penubuhan jawatankuasa untuk memperkasa mahkamah syariah.

 Untuk tujuan itu, para pegawai syariah, hakim mahkamah syariah akan menerima latihan di Akademi Latihan Islamik Malaysia (ALIM) dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia.

Seterusnya usaha BN untuk menjihadkan ekonomi halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dengan peruntukan 1 bilion dianggap mampu menggerakkan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia yang mana bumiputera akan menjadi  penggerak bagi memanfaatkan dana pembangunan halal.

Dalam bidang pendidikan pula cadangan BN untuk menubuhkan Universiti Al-Quran mampu menyediakan saluran pendidikan tinggi yang lebih luas berserta jaminan masa depan kepada pelajar-pelajar aliran sekolah tahfiz pada hari ini sesuai dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada hari ni.

Usaha ini dilihat kemuncak kepada usaha Umno Barisan Nasional untuk memartabatkan pendidikan tahfiz dan al-Quran kerana Universiti Al-Quran yang bakal diwujudkan merupakan yang pertama di dunia akan berasaskan pengajian tahfiz dan al-Quran yang turut diintegrasikan dengan pengajian profesional yang lain.

 Malah usaha ini juga merupakan satu kesinambungan dari usaha kerajaan mewujudkan kurikulum sekolah ulul albab yang telah sedia ada.

Lebih dari itu, sekolah-sekolah tahfiz juga akan dilengkapkan dengan sistem latihan kemahiran giat mara bagi menjamin masa depan dan kelangsungan hidup para pelajar lepasan sekolah tahfiz di negara ini.

Inisiatif Barisan Nasional untuk mempertingkatkan peranan masjid sebagai pusat transformasi yang pelbagai dan para pentadbir masjid juga akan turut menikmati latihan pentadbiran bagi memartabatkan pengurusan masjid bertaraf pintar dan cemerlang dilihat sebagai satu usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan keilmuan Islam.

Sesungguhnya manifesto BN pada kali ini dilihat holistik dan menyeluruh, menepati kehendak maqasid syariah dan memberi penumpuan khusus yang terperinci untuk terus memartabatkan Islam di Malaysia.

Ini menunjukkan bahawa agenda memartabatkan Islam dijangka berterusan dengan rancaknya untuk lima tahun datang dan berada pada landasan yang betul.