HARI ini seolah-olah menjadi satu fenomena baharu, apabila berwacana tentang agenda Melayu dan Islam terus dilabel dan ditohmah sebagai rasis dan ekstremis. Persoalannya adakah dengan membangkitkan tentang agenda Melayu-Islam dalam konteks politik menjadi satu ‘dosa besar’ atau pun sebenarnya menjadi satu ‘ancaman’ kepada kerapuhan konsep Malaysia baharu?

Sejarah membuktikan bahawa agenda Melayu-Islam telah menjadi satu teras kepada kemunculan kemerdekaan 1957 dan kelahiran Malaysia 1963. Malah agenda ini jugalah yang menyongsong kepada kejayaan demi kejayaan yang dicapai Malaysia selama 61 tahun.

Suka atau benci, Malaysia tiada tolok bandingnya buat kita, walaupun sebagai manusia menjadi satu lumrah betapa kesalahan dan kekurangan itu ada di mana-mana. Namun pastinya penyatuan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terjadi kerana wujudnya tulang belakang kepada dua hasil ‘karya besar’ kenegaraan 1957 dan 1963 iaitu agenda Melayu-Islam.

Sejak merdeka umpamanya, kerana keutuhan agenda Melayu-Islamlah negara ini mampu kekal aman dan makmur. Dasar-dasar yang berlangsung sejak 61 tahun yang lalu dalam pelbagai bidang adalah kerana kejayaan kompromi dan toleransi yang wujud hasil kekuatan dalam agenda Melayu-Islam.

Agenda Melayu-Islam adalah pengekalan terhadap tiga (3) teras utama yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama persekutuan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Tiga teras ini berfungsi mewujudkan satu kawalan, benteng dan rasa keselesaan kepada orang Melayu yang merupakan induk kepada negara. Dari asas itulah maka lahirlah timbang rasa, kompromi dan semangat toleransi yang tinggi terhadap kaum dan agama-agama yang lain.  

Kewujudan tiga teras itu juga dilengkapi oleh fungsi institusi raja-raja Melayu yang mengimbangi dan melindungi serta memayungi keselamatan dan hak semua kaum dan agama di Malaysia. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila ada pihak-pihak yang mulai cuba mempertikai dan mempersoalkan kerelevanan tiga teras tersebut. Lebih malang lagi cuba menghina institusi raja-raja Melayu.

Apabila semua ini berlaku, maka penegasan kembali terhadap agenda Melayu-Islam perlu dibuat bagi menghantar isyarat bahawa tidak boleh ada pihak-pihak yang cuba membangkitkan persoalan-persoalan yang telah menjadi teras kepada negara.

Perkara-perkara asas dan teras dalam perlembagaan persekutuan bukan hanya satu monumen dan artifak sejarah negara, tetapi lebih dari itu semangat dan kewujudannya perlu didukung oleh inisiatif, penghormatan dan dasar yang menjurus ke arah memartabatkannya.

Ironinya ramai yang mengatakan tidak perlu heboh dan kecoh-kecoh lagi melaungkan semangat perkauman Melayu yang sempit lantaran hak dan keistimewaannya telah termaktub dalam perlembagaan. Penulis ingin menegaskan bahawa apa yang termaktub dalam perlembagaan perlu ditegakkan dan bukannya dipersoalkan, perlu dihormati dan bukannya dihina. Lebih dari itu apa yang termaktub itu perlukan satu komitmen politik yang kuat untuk diinisiatifkan menjadi dasar kerajaan bersama implikasi kewangannya untuk rakyat.

Tiada guna jika hanya beretorik mengatakan segalanya tidak akan terubah dalam perlembagaan tetapi pada masa yang sama terus membiarkan pihak-pihak berkaitan memperlekeh dan menghina apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Sesungguhnya negara ini tertegak di atas asas toleransi dan tolak ansur yang tinggi dari kaum Melayu yang beragama Islam dalam menerima kaum-kaum lain untuk hidup bersama dalam semua negara serta berkongsi aspirasi dan harapan yang sama secara aman dan damai. Tetapi jangan sekali-kali ada pihak yang cuba untuk merungkai ikatan itu.

Apa yang ditegaskan serta diperjuangkan dalam agenda Melayu-Islam hanya tentang apa yang termaktub dalam perlembagaan. Tidak lebih dan tidak kurang. Maka dengan itu, bolehkah kita mengatakan agenda ini sebagai rasis atau perkauman? Rasis itu apabila berlakunya penindasan dan menafikan hak orang lain. Dalam konteks ini siapa sebenarnya yang dipersoalkan dan hak siapa pula yang dinafikan?

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia