SUHU PRU14 makin terasa. Semua parti politik yang bertanding mula merancang pelbagai strategi kempen untuk memikat hati pengundi. Berikutan itu, pelbagai pendekatan kempen akan digunakan sebagai satu jentera pilihan raya.

Paling efektif kini adalah kempen yang berasaskan media sosial. Pelbagai aplikasi media sosial akan dimanfaatkan secara maksimum kerana ia adalah instrumen yang sangat dekat dengan pengundi, tanpa mengira bangsa dan agama.

Namun, tahukah kita betapa media sosial itu sebenarnya juga mendedahkan akal budi dan hikmah peribadi umat Islam kepada fitnah. Barangkali keperibadian seorang Muslim itu amat berlainan apabila bersemuka dan berkomunikasi secara berhadapan.

Senyuman dan tutur katanya amat terpelihara. Manakala sifat-sifat yang tidak elok itu seolah-olah mampu disembunyikan kerana ketika berhadapan, rasa malu dan hormat itu amat tinggi.

Tetapi lain pula keperibadian seseorang Muslim itu apabila berkomunikasi di media sosial. Seolah-olah tidak ada lagi hijab dan pendinding rasa malu. Bahkan apa yang ditulis di media sosial amat terbuka kerana tidak berlaku interaksi secara berdepan.

Dalam konteks inilah, berkempen  dalam pilihan raya atau berbicara dan berhujah tentang politik pada musim pilihan raya ini akan menjadikan seseorang Muslim itu mudah mendapat dosa akibat daripada kejian, sindiran dan tohmahan yang menyebabkan orang lain terasa dan terganggu sehingga mewujudkan perbalahan.  

Oleh yang demikian, dalam Surah al-Hujurat, ALLAH memberikan panduan yang unggul tentang adab-adab yang perlu ada bagi menjaga ukhuwah dan perpaduan serta sangat relevan untuk diketengahkan dalam konteks pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Paling penting, ALLAH mengingatkan dalam ayat 6 Surah al-Hujurat supaya kita bertabayyun apabila menerima sesuatu berita, “Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya membawa kepada penyesalan”.

Dalam ayat ini, ALLAH SWT menggariskan dengan jelas betapa umat Islam perlu berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh orang fasik yang mampu mengadu domba masyarakat dan merosakkan ukhuwah serta perpaduan.

Realitinya, di alam maya media sosial hari ini ada saja berita yang ditularkan dengan pantas dari satu individu ke individu yang lain. Jika berita yang ditularkan itu benar dan sahih, maka ia tidak mengundang permasalahan, tetapi jika berita itu tidak benar, maka si penular itu juga sebenarnya terpalit dengan dosa dan boleh dianggap sebagai tergolong dalam golongan orang yang fasik.

Sesungguhnya sepanjang tempoh berkempen yang disediakan ini memang akan membuka ruang kepada segala bentuk prasangka dan adu domba yang boleh mengundang kemudaratan yang lebih besar kepada negara.

Sebab itu, ALLAH dengan jelas mengingatkan dalam ayat 11 supaya tidak menggelar dan merendahkan antara satu sama lain, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka.

Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Dalam keghairahan berkempen, maki hamun umpama suatu penambah perisa dalam ceramah yang disampaikan. Namun, beringatlah pada peringatan ALLAH yang disebut dengan jelas dalam ayat 53 Surah al-Isra’ ini;  “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”

Justeru, penulis menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya terus memelihara tali persaudaraan dan keharmonian sedia ada dengan sentiasa peka bahawa peringatan ALLAH dalam al-Quran ini membawa kepada nilai ketakwaan seseorang Muslim.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)