PEMBENTANGAN Bajet 2018 baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri bo-leh dilihat sebagai memenuhi kehendak Islam yang inklusif lantaran perancangan dan anggaran perbelanjaan negara untuk tahun hadapan itu dirangka berasaskan acuan maqasid syariah.

Perancangan Bajet 2018 ini juga tidak bermakna agihan tersebut hanya terhad kepada umat Islam dan tidak juga hanya kepada label syiar keislaman sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan rakyat seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri sebagai bersifat inklusif.

Inklusif bermakna menyeluruh dan merangkumi semua pihak dan lapisan masyarakat tanpa mengira batas agama dan kaum. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, menjadi satu kewajipan untuk memelihara dan menjaga negara berasaskan tiang-tiang seri agama seperti yang terpateri dalam manhaj al-daruriyat maqasid syariah yang lima (5), iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

Apakah sebenarnya konsep maqasid syariah ini? Secara mudahnya maqasid syariah adalah satu disiplin dalam ilmu syariah Islam untuk mengkaji secara terperinci tentang objektif utama syariah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Al-Raysuni menjelaskan bahawa lima objektif maqasid syariah itu bukan hanya untuk kemaslahatan umat Islam tetapi juga untuk kemakmuran hidup umat manusia secara keseluruhan.

Istilah maqasid itu sendiri bermaksud ‘tujuan’. Maka tujuan sebenar syariat ALLAH diturunkan di dunia adalah untuk kemaslahatan hidup. Imam al-Syatibi dalam karya al-Muwafaqat fi usul al-syariah menjelaskan bahawa "sesungguhnya syariat (peraturan) itu bertujuan untuk mewujudkan kemaslahatan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat".

Justeru, konsep inilah yang diamalkan oleh kerajaan dalam menjaga kemaslahatan hidup rakyat secara menyeluruh dan tidak mengetepikan mana-mana pihak dalam perancangan agihan kewangan negara.

Jika ditinjau secara lebih spesifik, dari sudut maqasid syariah bagi menjaga nyawa, pihak kerajaan memberikan peruntukan yang besar kepada sektor kesihatan iaitu sebanyak RM4.1 bilion untuk ubat-ubatan, menaik taraf hospital, fasiliti RM1.4 bilion, membina wanita dan kanak-kanak RM1 bilion, klinik pakar RM500 juta, bantuan hemodialisis RM90 juta dan banyak lagi peruntukan bagi menjaga memenuhi maslahat menjaga nyawa serta kesihatan rakyat.

Kesemua ini dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital dan klinik yang disediakan oleh kerajaan.

Manakala dalam sektor perta-hanan yang turut merangkumi maslahat  penjagaan nyawa dan harta, kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi pembelian dan penyeleng-garaan aset, pembinaan balai polis dan senjata api sebanyak RM720 juta, pemerkasaan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) sebanyak RM490 juta, kawalan kawasan Esscom sebanyak RM250 juta, pemerkasaan anggota Rela RM250 juta, menangani ancaman keganasan sebanyak RM50 juta serta banyak lagi anggaran perbelanjaan lain, termasuk peruntukan kebaji-kan perumahan bagi anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa mereka mempertahankan negara.

Kesemua ini dilakukan oleh kerajaan sebagai satu keprihatinan kepada rakyat yang diperlu dijaga nilai nyawa dan kesihatan mereka dan nilai harta mereka dari sebarang bentuk ancaman.

Kesemua ini juga tidak akan terhasil jikalau kerajaan tidak mempunyai semangat kesedaran Islam yang tinggi untuk membela rakyat tanpa mengira latar belakang mereka serta jika pihak kerajaan tidak menghayati prinsip ajaran Islam yang autentik.

Syukur kepada ALLAH atas semua nikmat yang dikurniakan kepada kita. Inilah masanya untuk kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat ALLAH dan sekalung ucapan terima kepada pihak kerajaan yang sentiasa membantu kita mendiami dengan sejahtera bumi Malaysia yang tercinta ini. Bersambung..