RAMAI di kalangan teman-teman rapat, teman-teman sekolah mahupun jiran, tidak tahu apakah jawatan saya sekarang.

Pada asasnya, mereka hanya tahu saya bekerja di akhbar Sinar Harian. Itu jugalah gambaran yang saya ingin ketengahkan kepada sesiapa pun.

Malah, di kalangan orang akhbar pun, saya tidak dikenali. Dan, saya tidak kisah kerana saya tidak mahu ke hadapan kerana menuruti organisational role yang saya mainkan.

Saya punyai seorang pegawai yang lebih senior lagi berpengalaman dalam organisasi syarikat ~ Datuk Abdul Jalil Ali.

Beliau adalah orang surat khabar totok kerana menaiki tangga kerjayanya dari seorang wartawan cabuk hingga kini menjadi Penasihat Editorial majalah dan akhbar syarikat.

Meskipun, beliau selalunya berkata ‘yes’ kepada hampir semua cadangan saya, namun satu ‘no’ beliau cukup buatkan saya angguk dan akur, ala sami’na wa atho’na. Begitulah hormat saya kepada dia.

Oleh kerana kedudukan dan pengalamannya, Datuk Jalil akan menghadiri mesyuarat, taklimat dan program di luar, sama ada di peringkat kementerian mahupun dalam perhubungan dengan pelbagai organisasi luar. Saya pula memainkan peranan sebagai orang dalam dan orang belakang tabir.

Namun, keadaan sedikit berubah apabila saya ditugaskan sebagai Setiausaha Sekretariat SINAR4ROHINGYA. Selain menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras, saya juga perlu tampil menyertai temu bual di TV,  menjadi panel forum serta membuat kenyataan akhbar mengenai hal-hal bantuan untuk etnik Rohingya.

Peranan itu membuatkan saya perlu keluar ke hadapan khalayak. Ia adalah organisational role baharu yang semestinya saya laksanakan. Namun, ia merubah sisi imej saya di mata mereka yang mengenali saya.

Saya dianggap berketerampilan, individu yang lebih serius dan berpersonaliti. Malah, ada yang rapat dengan saya menganggap saya sudah jauh dan lain dari saya yang lazimnya. Masya-ALLAH.

Sebenarnya, saya mahupun sesiapa pun akan nampak berlainan dan lebih hebat apabila muncul di media, sama ada di media cetak mahupun di media elektronik.

Rakan sekolah kita yang sering diejek dan dipersendakan boleh mengubah persepsi kita semata-mata jika dia tampil di skrin televisyen sebagai penceramah, penyanyi, ustaz mahupun sebagai pak menteri! Padahal secara asasnya, dia adalah orang yang sama.

Lampu sorot dan kerlipan kamera itu sebenarnya boleh menjadikan seseorang yang biasa itu kelihatan hebat. Serupalah apabila kita melihat kawan kita yang ala-ala itu menjadi bak puteri di hari persandingannya. Kita terpesona dan lihat dia menjadi orang lain.

Manakan tidak. Bukankah dia dihias lebih sejam oleh mak andam, sedangkan pada hari biasa, dia hanya tepuk-tepuk pipinya dengan bedak, calit sedikit gincu, kemam-kemam bibir dan dah… siap untuk keluar pergi pasar malam!

Orang sekarang juga dah tidak malu dengan kamera. Lagi banyak kamera, lagi meliuk dia berposing untuk swafotonya. Untuk pak menteri misalnya, posing dia bersalaman boleh dirakam tiga empat kali untuk mendapat posisi yang menarik.

Buat seorang model pula, dalam 20 syot wajahnya diambil, pastilah salah satu daripada syot yang terpilih itu memperlihatkan wajahnya yang cantik, kata orang sekarang… flawless!

Andainya tidak begitu lawa pun, perisian di kamera mahupun di komputer boleh sahaja membuat touch-up agar segala bintik dan bopeng di wajah itu dapat dipadam dan digilap menjadi berseri-seri. Jadi, apa yang hebatnya, apa yang glamournya seseorang itu jika dia menjadi fokus kamera dan lampu?

Betapa pun, imej itulah yang bisa mempesona dan memukau hingga seseorang yang biasa itu kelihatan luar biasa. Kerana itu, kita pun boleh tertipu dengan permainan silap mata kamera dan lampu ini.

Malang sekali seandainya kita yang disirami lampu dan kerlipan kamera ini silau hingga akhirnya sirna dari diri sendiri yang sebenarnya serupa juga dengan insan-insan yang lain. Memang itu salah diri kita sendiri yang perasan!

Hebat kita, bukan kerana kulit, tetapi isi.