BARU-BARU ini saya ke Bandar Baru Bangi menemui Izmael yang lama tak diketemui. Bermula dengan like di Facebook, kami berjejak kasih kembali setelah bertahun tak jumpa. Izmael adalah salah seorang teman sepejabat tatkala saya bertugas di sebuah syarikat perunding perniagaan di Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an. Walaupun lama tak bersua, kami masih mesra berlawak dan bergelak.

Sekali-sekala mereka di meja sebelah restoran tempat kami melepak terjeling-jeling bila Izmael tergelak nyaring. Dia memang suka berseloroh. Perbualan kami akhirnya menyentuh hal-hal perkembangan politik semasa. Menurut Izmael, walaupun  undi itu rahsia, dia dapat mengagak parti-parti politik manakah yang dipangkah oleh jiran-jirannya.   

“Aku tahu jiran-jiran aku sokong parti mana,” kata Izmael dengan wajah serius yang dibuat-buat. “Aku tengok Jalur Gemilang yang dia orang pasang kat depan rumah pun, aku tau isi rumah tu sokong parti mana.” Walaupun saya tahu Izmael bermaksud melawak, tapi lawak Izmael lazimnya berisi. Saya faham stail lawak seriusnya itu.

Menurutnya, ada empat jenis penduduk di kawasan perumahannya. Pertama, mereka yang tiba-tiba pasang Jalur Gemilang pada tahun ini, walhal sebelum itu tak pernah pasang pun. Mereka ini adalah penyokong PH. Kedua, mereka yang setiap tahun akan kibar Jalur Gemilang, tapi tiba-tiba tak pasang pulak bendera pada tahun ini.  Mereka tu adalah penyokong BN!

Ketiga, jiran yang tak pernah langsung pasang Jalur Gemilang. Mereka ini mungkin tak undi mana-mana parti. Mereka jenis tak kisahkan  politik. Keempat,  jiran-jiran yang tiap-tiap tahun mesti pasang Jalur Gemilang. Mereka inilah golongan patriotik. Mereka cintakan negara, bukan parti politik!

Memang kelakar pandangan Izmael ini. Tapi, iyalah… mereka yang tiba-tiba  pasang Jalur Gemilang pada tahun ini mungkin tidak berasa gembira dengan corak kepimpinan yang ada selama ini. Mereka menganggap BN ‘mempunyai’ negara ini lalu tidak mahu memasang bendera. Seolah-olah pemasangan bendera itu suatu jenis endorsement kepada parti itu.  

Begitu jugalah sebaliknya. Mereka yang menyokong BN berasa negara ini sudah diambil-alih oleh Pakatan Harapan. Justeru itu mereka tidak mahu memasang bendera dan menyambut merdeka. Mereka berasakan tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada parti pemerintah yang ada.

Sekilas pandang, mana patut kita kaitkan pemasangan Jalur Gemilang itu sebagai tanda sekongan kepada parti politik yang memerintah. Pasang bendera adalah tanda meraikan kemerdekaan negara, bukannya meraikan kemenangan mana-mana parti!

Namun, jika kita susuri laman-laman sosial, seperti Facebook dan WhatsApp, kita akan dapati pemikiran sebegitu ada benarnya. Bagi yang menyokong BN, apa sahaja yang dilakukan oleh PH pada hari ini semuanya salah dan tidak baik. Golongan yang menyokong PH pula akan membenarkan apa jua tindakan pakatan itu walaupun ada  keputusan yang dibuat itu tidak menggambarkan kehendak rakyat.

Pendek kata, yang menyokong akan terus menyokong dan yang membangkang akan terus membangkang. Kedua-dua kelompok ini sebenarnya maaf cakap, sudah jadi fanatik kerana kebenaran itu terletak kepada pihak mana yang mereka sokong.  Ramai yang sudah lupa pilihanraya sudah selesai dan kita perlu memberi peluang pihak yang menang untuk menerajui negara. Jika kita tidak memilih yang menang, kita perlulah akur dengan keputusan yang dibuat pihak yang menang. Sebaliknya, walaupun kita telah memilih pihak yang menang, kita wajar pula menegur tindakan tak kena yang mereka lakukan.

Jika kita pandang dengan lebih dekat, kita akan dapati orang Melayu sendiri punyai sikap idol-worship yang begitu tinggi. Mereka menyamakan Pakatan Harapan itu dengan Tun Mahathir dan Barisan Nasional itu dengan Datuk Seri Najib.

Pendirian ‘asal bukan Najib’ mereka pegang bukan sekadar tagline kempen pilihanraya, malah ia menjadi sesuatu yang benar. Kerana itu, apa jua pandangan Datuk Seri Najib bukan sekadar disanggah dengan hujah, malah dibangkang dengan kata nista yang bukan-bukan.

Begitu juga mereka yang melihat Tun Mahathir sebagai bukan lagi mewakili orang Melayu telah mengejek apa jua tindakan yang beliau lakukan. Padahal, mustahil seseorang yang telah berpuluh tahun memperjuangkan Melayu boleh tiba-tiba melupakan bangsanya sama sekali tanpa sekelumit pun rasa ingin membela bangsanya sendiri!

Dalam konteks ini, sikap untuk menyokong dengan bersebab dapat dilihat di kalangan orang-orang China. Andainya mereka tidak bersetuju dengan mana-mana dasar dan membantah secara terang-terangan, mereka turut mengadakan perundingan agar memperoleh bahagian yang mereka inginkan. Akhirnya, orang China mendapat untung juga.

Pendek kata, mereka tidak membantah lalu memusuhi. Sebaliknya mereka membantah tetapi sentiasa mencari jalan untuk mendapat juga apa yang mereka inginkan. Mereka membantah tetapi terus melakukan engagement. Kita sebaliknya membantah lalu menjauhi. Akhirnya kita kalah kerana sentiasa menyalahkan.