DEWA ini kedengaran suara-suara menyahut cabaran selaku ‘hero’ (wira) Melayu. Sejarah telah menyaksikan senarai barisan hero, termasuklah Hang Tuah, Hang Jebat, Tok Janggut, Datuk Maharajalela sehinggalah Leftenan Adnan. Tentu tidak disangka, salah seorang daripada nama-nama tersebut termasuklah Datuk Ibrahim Ali?

 Polemik keheroan / kejaguhan / kewiraan dalam mempertahankan ‘Melayu’ ini sudah tentu tidak akan dirungkai dengan mudah. Namun di sebalik pertarungan ini, yang fundamental buat saya adalah cara kita menilai indikator kejayaan dalam mempertahankan orang Melayu.

 Setiap kali Perhimpunan Agung Umno berlangsung, maka berdegar dewan dengan suara pemimpin parti tersebut dengan retorik bagaimana Melayu dan Islam diancam oleh parti-parti yang tidak bersekutu dengannya.

 Beginilah, untuk menilai dengan berkesan segala dakwaan yang dibuat, sebaiknya para delegasi Umno perlu menggesa pemimpin-pemimpin mereka untuk mendedahkan laporan tahunan hasil terkini agenda pemerkasaan Melayu mereka. Sedangkan syarikat-syarikat persendirian sekalipun membentangkan laporan tahunan mereka; mengapa tidak buat organisasi ‘pejuang Melayu’ dahulu, masa kini dan selamanya ?

 Antara lain, laporan yang perlu dituntut ialah sejauh mana kejayaan syarikat-syarikat Melayu setelah menerima pinjaman daripada agensi-agensi seperti Tekun, PUNB ataupun Mara. Kajian yang mendalam perlu dibuat untuk menentukan kadar kejayaan program-program sebelumnya, dan mendapatkan alasan jitu kenapa sesuatu syarikat itu gagal.

 Antara kegagalan yang harus diakui adalah ketiadaan kesan berganda menerusi kekayaan yang tercipta buat segelintir pengarah, ketua pengarah eksekutif, pemegang saham – yang tentunya tidak mewakili masyarakat Melayu yang masih terpinggir, terperangkap dalam jerat kemiskinan.

 Sebanyak 55 peratus golongan Bumiputera masih lagi gagal menjadi pemegang saham Amanah Saham Bumiputera – yang diwujudkan atas nama mereka. Jumlah median aset kewangan yang dimiliki golongan Bumiputera adalah hanya RM1!

 Parti-parti politik tidak boleh menutup sebelah mata sekiranya kegagalan-kegagalan ini dikesan. Adalah menjadi tanggungjawab kita mengkaji serta memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada untuk memastikan kejayaan bagi usahawan-usahawan yang baharu. Kesediaan sebegini juga bergantung pada keikhlasan serta kepedulian Umno dengan kejayaan bangsa Melayu dalam erti kata sebenarnya.

 Natijahnya, setiap kali delegasi-delegasi Umno berkumpul, tidak pernah sekalipun dibentang statistik-statistik pemerkasaan bangsa Melayu.  

 Sekiranya Umno berjaya dalam memerkasakan Melayu setelah hampir 60 tahun memegang tampuk pemerintahan, sudah tentu kita akan dapat melihat lebih ramai lagi usahawan Melayu yang berjaya; sudah tentu kita akan dapat melihat wawasan Dasar Ekonomi Baru untuk memberikan Melayu 30 peratus pegangan ekuiti lama tercapai; sudah tentu kita akan dapat melihat lebih tinggi jumlah pegangan aset kewangan oleh golongan Melayu-Bumiputera.

 Justeru, sedarlah, Ibrahim dan Umno sebenarnya merupakan anti-tesis kepada hero Melayu. Ancaman kepada bangsa Melayu sebenarnya bukanlah datang daripada bangsa-bangsa lain, tetapi datang daripada “hero-hero” dan “pahlawan-pahlawan” yang cuma ingin memusatkan kuasa dalam tangan mereka dengan melaga-lagakan rakyat Malaysia antara satu sama lain.

 Ancaman yang sebenar datang daripada pencabulan pentadbiran ekonomi negara; Hutang negara yang semakin meningkat; kuasa membeli rakyat semakin menurun dengan kadar inflasi yang trendnya akan terus naik, gaji pekerja Malaysia yang kekal malar pada kenaikan 2.6 peratus dalam 10 tahun kebelakangan, kalah dengan kenaikan produktiviti!
 Menjelang tahun hadapan pula, pasca rasionalisasi subsidi menyaksikan pengenalan GST, sehinggakan pencarian ilmu serta ubat-ubatan juga akan dikenakan cukai – sementara makanan mewah seperti udang kara dikecualikan!

Justeru, sedarlah “hero-hero” Melayu sekalian, cukuplah dengan berbangga diri. Untuk kali pertama dalam hidup kalian, cubalah muhasabah diri, dan bertanya, apakah anda semua layak digelar ‘hero’ untuk orang Melayu? Kita harus berbalik kepada indikator angka dan statistik secara objektif – sebelum mengatur dasar yang benar-benar membantu rakyat terbanyak. Apa ada dengan hero, kalau yang lain hidup melarat?

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai