ORANG di kampung lazimnya punyai pelbagai kebolehan dan kemahiran. Untuk kehidupan seharian, mereka boleh membela ayam-itik, atau lembu-kerbau. Apabila tiba waktunya binatang ternakan itu boleh dijual atau disembelih sendiri. Mereka boleh bercucuk tanam, mengambil hasil untuk kegunaan sendiri atau menjualnya.

Membela binatang ternak, menyembelih mahupun menjualnya hasil belaan mereka memerlukan kemahiran ~ kemahiran ilmu ternakan, ilmu niaga dan ilmu butchery. Bertani pun memerlukan seseorang itu mempunyai ilmu pertanian dan ilmu niaga.  Ramai juga di kalangan mereka yang mengetahui ilmu herba. Mereka punyai ilmu khasiat pelbagai tumbuhan di sekitar kawasan rumahnya.

Orang di bandar sebaliknya punyai ilmu yang terhad. Kemahiran ilmu yang ada lazimnya ilmu di bidang kerjayanya sendiri. Jika mereka bertugas di jabatan akaun, mereka punyai ilmu perakaunan. Jika punyai kelulusan pemasaran, mereka punyai ilmu pemasaran.

Mereka yang tinggal di bandar biasanya adalah mereka yang mencari rezeki dengan kelulusan yang ada. Sebilangan besar daripada mereka bekerja dengan syarikat. Dan syarikat pula hanya perlu mereka yang punyai kemahiran khusus di dalam sesuatu bidang.

Justeru jika dibandingkan di antara mereka yang tinggal di kampung dan yang tinggal di bandar, jumlah individu yang punyai pelbagai kemahiran biasanya terdapat di kampung-kampung. Sebaliknya di bandar pula, mereka yang punyai kelulusan yang khusus itu lebih ramai.

Dunia sudah berubah. Jika seseorang itu hanya lulus di dalam sesuatu bidang, ia tidak dapat menjamin survival seseorang itu. Lebih-lebih lagi jika dia percaya bahawa kelulusannya itu adalah sesuatu yang begitu istimewa sehingga tidak mahu mengetepikannya langsung lalu menambah sesuatu kemahiran yang baharu. Orang yang begini akan ketinggalan, meskipun dia tahu yang dia tidak mungkin dapat survive dalam keadaan yang banyak berubah.

Mengapa, dalam keadaan dunia yang sudah berubah ini terdapat begitu ramai di kalangan mereka yang begitu mengagungkan kelulusan yang ada hingga mengabaikan keperluan memperoleh sesuap nasi? Puncanya mungkin kerana program pendidikan kita sendiri yang merancang untuk matlamat yang sudah lapuk.

Program pendidikan di pusat-pusat pengajian masih lagi berpegang kepada matlamat untuk melahirkan mereka bagi mengisi keperluan industri. Kerana itu, pusat-pusat pengajian memainkan peranan sebagai kilang sumber manusia. Lazimnya, tempoh latihan bagi mana-mana pengajian mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.

Jika dahulu, model industri tidak banyak berubah meskipun dalam tempoh puluhan tahun. Tetapi keadaan pada hari ini sudah jauh berubah. Tiga tahun adalah masa yang terlalu lama kerana teknologi berubah begitu pantas. Oleh kerana itu, 1,000 pelajar yang dilatih bagi sesuatu kemahiran untuk pelan tiga tahun misalnya, akan mendapati bidang yang ditawarkan sudah tiada lagi apabila mereka tamat latihan.

Malangnya, tiada sesiapa yang memberitahu secara rasmi perubahan yang berlaku. Oleh kerana itu, mereka yang terpilih dan lulus di dalam sesuatu bidang itu masih menaruh harapan bahawa kemahirannya akan diperlukan. Lantas mereka menanti buah yang tak gugur.

Pada hari ini, adalah lebih baik menjadi generalist daripada menjadi seorang specialist. Lebih praktikal menjadi orang yang serba tahu daripada menjadi seseorang pakar dalam hanya sesuatu bidang. Seseorang generalist akan mampu membuat pelbagai tugas atau multi-tasking ~ seseorang yang dua dalam satu, tiga dalam satu ataupun lima dalam satu.

Seseorang generalist mampu melaksanakan pelbagai kerja itu menguntungkan syarikat. Dia menjadi aset kerana dia adalah seorang kakitangan yang misalnya, punyai kemahiran lima orang pekerja.  

Burung penguin itu cantik dan suka dipandang. Tetapi ia hanya boleh hidup di dalam cuaca yang sejuk. Makanannya hanyalah ikan. Maknanya, penguin tidak dapat hidup di kawasan yang panas, jauh daripada laut dan makan selain daripada ikan. Kebarangkaliannya untuk hidup di luar habitatnya amat mustahil.

Sebaliknya, makhluk tikus pula boleh tinggal di mana-mana sahaja. Ia hidup di bandar, di kampung, di hutan, malah di padang pasir. Ia boleh makan apa sahaja termasuk kayu dan plastik! Tikus yang generalist itu lebih mudah survive berbanding dengan burung penguin yang specialist.

Justeru, jika ingin hidup dalam dunia yang serba mungkin ini, kita perlu tahu dan boleh buat apa sahaja.