'SUAMI belasah isteri dijel dua tahun'; 'Suami belasah, kencing isteri hamil minta makanan'; Dinasihat cari kerja, suami belasah isteri'; 'Polis buru suami belasah isteri hingga mati’.

Senarai di atas merupakan sedutan tajuk berita yang dilaporkan di pelbagai akhbar dan portal berita, berhubung isu keganasan rumah tangga. Sebagai seorang wanita, saya cukup terkesan dengan kes-kes sebegini, yang memberikan kesan mendalam terhadap si mangsa.

Saya sering bertanya pada diri, mengapakah seorang suami sanggup mencederakan isterinya, baik dari segi fizikal mahupun mental dan emosi - meskipun isteri tersebut sanggup mengorbankan tenaga, jiwa dan raga demi kebahagiaan keluarga.

Saya ingin berkongsi potongan ayat suci al-Quran - daripada Surah an-Nisa:19: "Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata."

Melalui ayat ini, terbukti bahawa ALLAH SWT menolak perlakuan keras ke atas golongan wanita. Akan tetapi, perkara ini dipandang ringan oleh sebilangan ahli masyarakat yang bertindak mencederakan isteri tanpa usul periksa.

Statistik Kementerian Pem-bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuktikan bahawa trend keganasan rumah tangga semakin membimbangkan. Dari tahun 2014 hingga 2016, 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh Malaysia - sebahagian besar daripadanya adalah kes fizikal dan 74 peratus daripada mangsa merupakan golongan isteri.

Sifat panas baran dan sensitif suami (atau pun isteri dalam sesetengah kes) adalah faktor yang diketengahkan sebagai penyebab utama keganasan rumah tangga. Kegagalan mengawal emosi dan amarah mengakibatkan perasaan tersebut bertukar kepada kata-kata kesat serta sepak terajang. Isu lain seperti sifat pemabuk atau ketagihan dadah pasangan turut dilaporkan sebagai punca berlaku keganasan rumah tangga.

Tetapi perkara yang ingin saya tekankan ialah peranan wanita atau isteri sebagai penggerak institusi kekeluargaan. Acap kali kita melihat kes-kes penderaan yang membawa kecelakaan dan kematian, disebabkan pendekatan agresif golongan Adam.

Walau bagaimanapun, masih ada sebahagian besar wanita teraniaya yang enggan melaporkan penderaan mereka alami. Ada juga yang menarik balik laporan terhadap sang suami selepas dipujuk oleh pasangan atau pun ahli keluarga lain.

Media juga kurang membantu dalam hal ini. Kita dapat lihat trend media yang bersifat populis - mengejar populariti, penyokong dan kedudukan terbaik dalam kalangan pesaing. Akibatnya, nilai negatif seperti kekerasan lisan, keganasan fizikal dan seksual diangkat sebagai cara untuk menaikkan nama - sekali gus merendahkan aspek moral.

Benar, pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pesalah keganasan rumah tangga. Hakikatnya, ia adalah tanggungjawab si mangsa untuk menyedari kesan negatif keganasan rumah tangga ke atas diri dan anak-anak.

Peranan besar turut perlu dimainkan oleh komuniti dan masyarakat sekitar. Sekiranya jiran-jiran tidak ambil peduli, maka kes-kes keganasan rumah tangga dikhuatiri akan semakin meningkat.

Saya menyarankan masyarakat lebih bersifat membantu, dan membuat laporan kepada polis - walaupun ia mungkin tidak mendapat persetujuan mangsa dan pelaku yang terbabit.

Namun, saya berpandangan bahawa keganasan rumah tangga tidak akan sekali-kali menemui titik penghujung jika tiada perubahan peribadi dan mentaliti di pihak ahli keluarga terlibat, khususnya suami atau isteri. Perasaan takut, gementar dan gemuruh si mangsa akibat ugutan penceraian atau pun fizikal mesti dibuang demi melindungi diri.  

Saya juga mencadangkan agar si pendera mendapatkan 'bantuan' pakar psikologi, atau setidak-tidaknya kumpulan sokongan (support group) untuk menghentikan segala perkara yang mengundang amarah sehingga berlakunya kekerasan.

Tatkala kita membicarakan soal pembangunan ekonomi dan negara ke arah kemodenan, usah kita lupa bahawa titik permulaan bagi kemajuan sosial adalah institusi kekeluargaan yang utuh.  

Saya berdoa agar seluruh masyarakat Malaysia dapat bekerjasama dalam membanteras isu keganasan rumah tangga, ke arah menjadikan negara ini terbina atas asas-asas etika dan nilai kekeluargaan yang mantap.

Bersama Selamatkan Malaysia.

* YB Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR