Pertemuan Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur bersama Menteri Wilayah minggu lepas menjadi titik permulaan usaha sama untuk membangunkan kota Kuala Lumpur secara saksama.

Usaha ini amat bermakna kerana suasana politik pasca Pilihan Raya Umum ke-13  meletakkan kuasa rakyat pada Pakatan Rakyat yang menang 9 daripada 11 kerusi Kuala Lumpur, manakala kuasa eksekutif untuk memerintah terletak pada Menteri Wilayah pula.

Harapan saya sebagai wakil rakyat adalah agar terjalin kerjasama lebih erat di antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat di kesemua kawasan Parlimen, supaya dapat bersama-sama memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat tidak mengira latar belakang parti.

Antara saranan yang telah saya ajukan kepada menteri sebagai wakil rakyat Lembah Pantai adalah untuk menghidupkan konsep - Pusat Bersepadu Perkhidmatan Kerajaan dan Masyarakat Kawasan Parlimen - agar dapat meningkatkan kualiti serta keberkesanan perkhidmatan awam untuk penduduk setempat di bawah kawasan Parlimen masing-masing - tanpa mengira, sama ada wakil rakyat adalah pihak pemerintah atau pembangkang.

Pusat bersepadu tersebut dapat memberikan rakyat perkhidmatan dari pelbagai jabatan termasuklah Jabatan Khidmat Masyarakat, Jabatan Pendidikan, PDRM, DBKL dan pejabat Ahli Parlimen pemerintah atau pembangkang berfungsi secara integrasi dengan koordinasi cekap sebagai sebuah ‘one-stop centre’, memberikan keutamaan kepada memenuhi keperluan dan kehendak rakyat dengan lebih berkesan.

Peranan DBKL di bawah naungan Kementerian Wilayah Persekutuan diharapkan memainkan peranan lebih aktif dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan saksama untuk warga Kuala Lumpur. Contohnya, penggunaan kemudahan-kemudahan DBKL seperti Dewan Serbaguna tidak seharusnya diberikan secara pilih kasih dan sebaiknya bebas digunakan oleh mana-mana pihak yang ingin menggunakannya tanpa diskriminasi. Oleh yang demikian satu Piagam Warga Kota Kuala Lumpur mesti dirangka yang menggariskan Hak Akses Saksama semua warga kepada perkhidmatan dan kemudahan kerajaan, khususnya DBKL.

Peranan aktif DBKL dalam perkhidmatan pihak berkuasa tempatan harus dipertingkatkan agar dapat menyelesaikan masalah penyelenggaraan asas seperti membaiki jalan raya, longkang-longkang yang tersumbat dan lif-lif yang rosak dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, satu sistem Kad Laporan Perkhidmatan DBKL yang akan melibatkan maklum balas semua penduduk setempat harus diwujudkan dalam mencapai hasrat ini.

Antara masalah yang dihadapkan kepada saya selaku wakil rakyat Lembah Pantai adalah tunggakan bil air dan pembayaran sewa PPR agar diselesaikan secara lebih berhemah dan mengambil kira latar belakang para penghuni secara satu persatu.

Kuala Lumpur tidak terlepas dari bencana alam seperti ribut dan banjir yang mengakibatkan kerosakan pada harta benda peribadi serta infrastruktur.  

Sejauh ini, Peruntukan Tahunan Persekutuan Kawasan Parlimen yang bernilai RM1.5 hingga RM2.0 juta masih lagi disalurkan kepada selain dari Ahli Parlimen pembangkang  yang berkhidmat kepada rakyat. Sejauh ini, warga Lembah Pantai masih dinafikan hak demokratik mereka dalam hal ini.

Status Tabung Keselamatan 1Wilayah bagi membiayai usaha membanteras jenayah di peringkat kawasan perumahan dan tempat awam, termasuklah dengan pemasangan rangkaian CCTV yang pernah dilancarkan Kementerian Wilayah Persekutuan harus dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat Kuala Lumpur dari semasa ke semasa.

Kehidupan warga kota tidak terhad kepada orang-orang yang dewasa sahaja. Tempat tinggal serta persekitaran pembelajaran untuk kanak-kanak harus berbentuk kondusif agar dapat melahirkan generasi yang berjaya dari segi pelajaran, kesihatan mental dan fizikal. Pembinaan Pusat Ilmu PPR seperti ruangan untuk belajar, perpustakaan mini dan tapak sukan di semua PPR boleh direalisasikan atau dipertingkatkan untuk kesejahteraan para penghuni warga kota.

Adalah dicadangkan agar satu taklimat dan juga pembentukan sebuah Jawatankuasa Perundingan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan diwujudkan untuk penglibatan secara lebih bermakna dalam Pelan Greater KL/Klang Valley.

Apakah status Skim Pembiayaan Khas Program Penjualan Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) serta menilai semula cadangan saya untuk skim alternatif, iaitu ‘Sewa-Hingga-Milik, Tanpa Faedah’

Akhir sekali, adalah diharap bahawa Majlis ini dapat dikekalkan sebagai majlis berkala setiap tiga bulan agar usaha mensejahterakan rakyat dapat diteruskan bersama.