Apabila kita bertutur soal debat, bukan pakaian, ketampanan atau pangkat jadi ukuran, sebaliknya kepetahan berpidato, kemahiran meluahkan hujah dalam nuansa yang meyakinkan, dan tahap kematangan bakal jadi sempadan dalam mengukur keberkesanan sebenar dalam setiap acara debat.

Di Malaysia, sebagaimana pembaca budiman sedia maklum, kita sudah mula beransur mencontohi budaya berdebat yang dahulunya hanya dipraktikkan secara meluas di Amerika dan negara-negara Barat sahaja.

Debat itu sebenarnya merupakan sebuah platform yang sihat untuk menegakkan pendirian dan alasan masing-masing dalam sesuatu perkara, tidak kira dari sudut politik, kemanusiaan, ilmiah atau sejarah – bukan sekadar untuk dijadikan saluran mendakap demokrasi semata-mata.

Bagaimanapun kesinambungan antara politik baru, konsep mendukung keterbukaan dan debat terbuka amat getir sekali, sukar untuk dipisahkan. Dimangkinkan pula dengan revolusi internet yang mampu menyebarkan maklumat sepantas kilat, lantaran semua informasi dapat dibaca atau ditonton dengan satu klik sahaja.

Polemik debat terbuka di arena politik negara, bermula pada 2008 di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Sabery Chik. Tetapi sebagaimana anak-anak yang mula bertatih, debat tersebut kurang impak apabila personal insult melayang-layang antara satu sama lain. Malas saya nak layan.

Tetapi baru-baru ini, apabila menonton klip video debat antara ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli, harapan baru tersuntik dalam sejarah demokrasi negara, apabila mereka berdua mampu menggabungkan elemen kematangan, di samping meniup semangat kepada pelajar-pelajar Malaysia di London.

Mereka berdua tahu membezakan antara ceramah politik dan debat isu semasa, dalam konteks kali ini, tentang Wawasan 2020. Subliminal mesej yang terselit dalam hujahan dan kata penutup, gelak ketawa dan keterbukaan dipamerkan Khairy dan Rafizi harus dipuji, malah wajib dicontohi.
Tetapi apa jadi dengan debat antara Datuk Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng, petang Sabtu lepas?

Apabila saya tidak bertutur dalam bahasa Mandarin, secara keseluruhannya, saya tidak dapat memahami inti pati debat antara keduanya kerana jurubahasa yang digaji Astro itu tidak banyak membantu.

Bukan saya yang Melayu ini sahaja tidak faham Mandarin, kawan-kawan saya berketurunan Cina pun langsung tidak boleh diharap. Apabila saya menelefon memohon bantuan alih-bahasa lebih jelas, mereka ketawa berdekah-dekah.

Lalu mereka jawab: “Hei, aku pun tak faham. Aku pergi sekolah kebangsaan macam kau. Kat rumah aku cakap Kantonis, bukan Mandarin.” Aduh, tak ubah seperti Pak Pandir meminta tolong daripada Lebai Malang jadinya...

Benar, topik debat itu khusus untuk kepentingan politik masyarakat Cina di Malaysia. Tajuk debat itu sendiri sudah menjurus ke arah politik dan perkauman: Chinese at the Crossroads: Is the Two-Party System Becoming a Two-Race System? Tapi keseluruhan rakyat Malaysia juga berhak untuk memahami inti pati debat tersebut, walaupun mereka tidak bertutur dalam bahasa Mandarin.

Barulah keputusan bermaklumat (informed decision) boleh dicapai. Mintak perhatian kepada ahli politik dan penganjur majlis debat, tujuan debat itu sendiri sudah gagal apabila bahasa perantaraan yang dipilih terkhilaf dari titik permulaan. Tidak payah saya menggunakan bahasa berlapik-lapik: Sila gunakan lingua franca bila berdebat.

Nah, definisi Kamus Dewan terhadap frasa ‘lingua franca’ sahaja sudah cukup untuk dijadikan sebab kenapa kita perlu berdebat dalam bahasa yang difahami setiap orang: “(Latin) bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang berlainan bahasa: ahli bahasa berpendapat bahawa jika diberi masa untuk terus berkembang, bahasa Melayu akan mampu menjadi bahasa perhubungan utama atau ~ di rantau ini.”

Kenapa kita memperkasakan budaya ayam bercakap dengan itik sedangkan semua boleh bertutur dalam lingua franca atau bahasa kebangsaan dengan baik?

Saya pasti kita semua menolak majlis debat yang bagai teluk ulakan air – membawa maksud, perdebatan yang berputar-putar di tampuk sama. Kita mahu dengar akal-akal bagai akar, walau dipulas tetap kalis patah. Tapi bagaimana bisa saya dan anda menyimpul natijah perdebatan sekiranya kefahaman kita tersekat-sekat?


• Elviza juga seorang peguam dan penulis. Pohon bertemu minda di http://twitter.com/elviza


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.