Tahniah diucapkan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Debat (Bahasa Inggeris) Universiti Dunia (Worlds) tahun 2015. Ini diputuskan di Worlds 2013, Berlin, dua minggu lalu.

Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Iqbal Hafiz Ahmad Bazari, Pengasas Institut Debat dan Pengucapan Awam Malaysia (MIDP) yang mengetuai pembidaan ini. Worlds 2013 mencatat sejarah tersendiri bagi kita.

Ini kerana pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang terdiri daripada Syed Saddiq dan Arinah Najwa berjaya hingga ke peringkat suku akhir kategori utama dan muncul pasukan Asia terbaik. Ini prestasi terbaik Malaysia di Worlds setakat ini.

Pada hujung bulan ini, pasukan debat sekolah-sekolah Malaysia menyertai (kali kedua) Kejohanan Debat Sekolah-sekolah Dunia di Turki. Di samping itu, Dr Omar Salahuddin Abdullah, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, pendebat serta jurulatih dan hakim debat ternama, telah selesai menyiapkan manuskrip bukunya yang bakal menjadi manual debat pertama yang ditulis di rantau ini.

Semua ini menandakan budaya debat kita semakin semarak. Justeru, kita perlu meluaskannya lagi, termasuk menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) PRU pertama di mana calon-calonnya berdebat.

Satu elemen penting perdebatan ialah “penghujahan”. Menurut Richard Andrews, penghujahan ialah “idea-idea yang disusun secara logikal atau kuasi-logikal yang disokong dengan bukti”. Ia berbeza dengan diskusi. Ia diskusi yang lebih tinggi.

Penghujahan yang baik penting bukan hanya untuk perdebatan. Ia juga penting dalam pendidikan dan bidang-bidang lain. Ini kerana, kemampuan berhujah dengan rasional adalah mustahak untuk hidup dalam masyarakat bertamadun; kemajuan ilmu lazimnya melalui penghujahan; penghujahan ada kaitan dengan penjelasan dan pembujukan; dan penghujahan menyeronokkan, terutamanya dalam dunia pendidikan.

Dalam dunia pendidikan, oleh kerana penghujahan telah sebati dalam subjek-subjek yang diajar, maka, adalah lebih baik jika pengajar dan pelajar menguasainya. Agar lebih berjaya dalam menguasai subjek tersebut.

Terdapat teknik penghujahan yang berbeza bagi medium berbeza. Penghujahan yang baik dalam ucapan, diskusi dan debat tidak semestinya baik dalam penulisan. Begitu juga sebaliknya. Begitu juga dengan teknik penghujahan yang berbeza-beza dari satu bidang ke satu bidang lain. Mengajar penghujahan pula bukanlah mudah.

Tetapi, sesiapa yang memahami akan kepentingan penghujahan dalam medium dan bidang yang digunakannya, akan bersedia menghadiri dan mengikuti program melibatkan pelbagai jenis penghujahan, termasuk daripada medium dan bidang yang berlainan. Ini kerana ia dapat belajar daripada proses tersebut.

Satu lagi kepentingan penghujahan ialah ia menemukan dua perkara, iaitu, pertama, teori dan model pembelajaran sesuatu bidang, dan kedua, bukti, data atau pengalaman sebenar. Pertemuan ini adalah mekanisme dan amalan sosial yang amat mustahak dalam proses menyelesaikan perbezaan-perbezaan ataupun konflik.

Inilah antara asas bagi pendirian yang percaya bahawa penghujahan adalah jalan untuk menyelesaikan sesetengah isu masyarakat. Contohnya, ialah pendapat yang dianggap salah oleh pihak tertentu, perbezaan pendirian dan sebagainya. 
    
Penghujahan adalah amalan budaya ilmu. Oleh itu, program yang melibatkan penghujahan adalah jalan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap sesuatu perkara.
Justeru, apabila diadakan debat, apa yang berlaku ialah kedua-duanya, iaitu peningkatan ilmu dan penyelesaian isu.

Persoalan peningkatan ilmu agak mudah diterima, kerana memang berlaku bercambahan minda dalam program tersebut. Tetapi, adakah ia mampu menyelesaikan isu? Bagaimana jika pihak-pihak yang bertelagah tidak mahu menerima penghujahan yang dibentang? Penyelesaiannya berada di tangan penonton.

Setelah pendebat mengutarakan hujahnya, terpulanglah kepada penonton untuk bersetuju atau tidak.