Saya membaca kisah di bawah ini berkali-kali. Setelah memahaminya, saya akur sebab itulah ALLAH SWT memberi kita dua mata dan hanya satu sahaja lidah. Tujuannya supaya kita lebih banyak melihat daripada berkata-kata!

Malangnya selalu terjadi sebaliknya. Lidah yang satu itu rupanya telah menjadi pisau yang merobek kepercayaan, rasa hormat, rasa prihatin dan segalanya. Mohon baca kata-kata di bawah dan memahaminya:

Daripada Abu Hurairah r.a  meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi SAW sedang duduk di hadapannya.

Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi SAW terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi SAW tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya.

Mendengarkan akan jawapan itu, Nabi SAW begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya. Abu Bakar r.a menyusul Nabi SAW di belakangnya dan berkata:

Ya Rasulullah SAW, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi SAW menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu.

“Bagaimanapun apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu dan syaitan telah datang di antara kamu dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan. Oleh kerana itu aku meninggalkan kamu…”

Dalam berhubungan atas urusan kerja kita berdepan dengan banyak pihak dan pelbagai peringkat usia serta status. Ada kala kita betul, mungkin juga kita was-was manakala orang itu yakin dia betul. Dengan ini akan berlaku perbezaan pendapat.

Pertentangan pendapat yang gagal ditangani akan menimbulkan banyak masalah. Apabila ada syaitan di antara dua manusia, mesti ada seorang yang akan tewas. Mungkin juga kedua-duanya akan tewas!

Semangat adalah paling utama dalam kehidupan manusia yang menjamin kepada perkara-perkara lain seterusnya. Semangat hormat menghormati yang dipupuk dengan baik akan meneutralkan pertentangan. Sekiranya semangat itu tidak kita dokong kuat, bila-bila masa sahaja api sengketa akan marak.

Untuk menjadi kita yang lebih kuat, kita mesti tahu kelemahan dan kekuatan dalam diri. Jika sudah kita temui kelemahan, perbaikilah segera. Malah jika sudah kita kenal pasti kekuatan kita, harus bersyukur dan terus perbaiki kekuatan itu supaya kita lebih sukses.

Setiap kita mesti fokus pada kekuatan dan potensi diri kurniaan Tuhan. Jangan terus percaya kepada manusia yang memuji semua orang semudahnya apalagi jika kita baru sahaja mengenali orang itu. Kerana kita bukan Nabi Muhamad SAW, hati kita tidak kuat, mungkin pujian itu akan melekakan kita.

Meski manusia secara amnya lebih rela diberitahu mengenai berita-berita kejayaan, namun berita kegagalan tetap juga mesti dimaklumkan supaya kita lebih mengetahui kelemahan diri. Janganlah sampai apabila sudah terhantuk, baru hendak tengadah. Silap-silap ditimpa berak cicak pula.

Insan yang terjerumus dalam dosa ialah manusia. Malaikat akan bersedih. Dan yang melonjak gembira ialah syaitan! Kerana telah berjaya menundukkan akal dan iman manusia menjadi lemah.

Mujurlah Tuhan mengakhiri hidup manusia dengan mati. Ini adalah satu peluang bagi yang telah bosan dengan hidupnya dan yang telah mati semangatnya!

Kita hormati manusia yang saban hari menadah tangan memohon doa supaya usianya dilanjutkan. Dia belum mahu mati kerana masih banyak lagi hutangnya kepada ALLAH SWT yang belum dibayar. Katanya setiap hari dia berhutang. Masih banyak dosa kecil dan dosa besarnya yang belum diampunkan.

Kita memerlukan semua jenis manusia untuk membentuk sebuah dunia yang lengkap dan sempurna. Dalam masa sama kita tidak mahu meminta lebih banyak lidah, cukuplah hanya satu sahaja lidah! Juga tidak mahu banyak mata. Cukuplah dua sahaja!