SURAH al Imran ayat 110 menyatakan umat Islam adalah yang terbaik dengan syarat melakukan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada ALLAH. Khayra ummah adalah umat contoh dan menjadi sumber ikutan kepada umat manusia.

Melakukan yang makruf atau kebaikan skopnya sangat luas. Dari membuang duri di jalan, memberi salam kepada orang lain, melakukan sedekah, bersikap jujur dan ikhlas kepada orang, memiliki ilmu yang terbaik, melakukan usaha dengan ikhlas, suka menolong orang, sabar dan kasih sayang terhadap yang lain, adalah sifat-sifat makruf yang dianjur oleh Islam.

Tidak berbohong dan menipu, tidak oportunis dan ego, bercakap benar walaupun pahit, tidak berpura-pura dan terlalu suka dipuji, tidak bersikap benci dan dendam, berjiwa pemaaf dan tidak merosakkan orang lain adalah antara hal-hal mungkar yang jika ditinggalkan mengukuh lagi jiwa makruf.

Semua itu dilakukan kerana sandaran keimanan kepada ALLAH. Iman tidak sekadar percaya tetapi harus ada keyakinan. Keyakinan pahala dan dosa itu benar menyebabkan kita takut kepada balasan ALLAH. Keyakinan bahawa kita akan ditentukan syurga-neraka di akhirat nanti menyebabkan kita melakukan yang terbaik mengikut suruhan ALLAH.

Ketiga-tiga perkara yang disebutkan menjadikan takwa orang Islam tinggi. ALLAH mengukur yang terbaik dalam kalangan kita di sisinya ialah orang-orang yang muttaqeen. Orang-orang yang muttaqeen mempunyai kesedaran keTuhanan (God-Conciousness) yang tinggi. Sifat ihsan ini menghubungkan manusia dengan Pencipta sebagai pedoman dan sumber ikutan.

Bila bercakap, kita bercakap kerana ALLAH (ikhlas). Bila melakukan sesuatu kita lakukan secara jujur kerana kita yakin ALLAH Maha Melihat dan Mengetahui. Bila kita melakukan sesuatu perbuatan dan amal kita lakukan yang terbaik kerana perbuatan dan amal adalah sumber ibadah.

Asas ini menjadikan orang Islam sebagai manusia contoh. Sekiranya umat Islam juga sedemikian, mereka adalah umat contoh. Rasulullah SAW memiliki watak sedemikian dan Baginda menjadi manusia contoh serta sumber teladan dan ikutan. Sunnah Rasulullah SAW jika diikuti menjadikan kita umat terbaik.

Contoh teladan amat perlu dalam hidup. Rasulullah SAW menjadi contoh kepada umatnya dan umat manusia. Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak. Guru-guru menjadi contoh kepada anak murid dan pemimpin menjadi contoh kepada rakyat.

Malang sekali ramai dalam kalangan warga umat tidak menjadi contoh. Rohaniahnya mungkin tinggi tetapi amalannya tidak menggambarkan ketinggian rohaniahnya. Ibadah khususnya kelihatan baik, zahir amalnya tidak membayangkan jiwa tunduk dan akur terhadap titah-perintah ALLAH.

Lalu umat Islam menjadi lemah. Emosi dan persepsinya terhadap orang lain selalu negatif. Mengakui kelemahan yang ada terlalu enggan. Ego dan oportunisnya payah dilerai. Kehadiran dirinya tidak menjadi aset, sebaliknya beban bagi Islam.

Justeru untuk menjadi umat contoh, ajaran Islam tidak hanya dipelajari tetapi dihayati. Darinya terlihat watak Islami yang boleh dijadikan contoh. Para sahabat dan tabie-tabien adalah manusia contoh dan menjadi sumber ikutan. Pejuang-pejuang, ilmuwan dan pendakwah seterusnya menjadikan umat Islam hebat, dihormati, mampu membina tamadun, Barat dan Timur menghargai sumbangannya.

Mengembalikan umat Islam sebagai umat contoh perlu ilmu dan kekuatan peribadi. Sifat ilmu yang dipelajari tidak saja mampu menjadikan kita beriman dan bertakwa tetapi pancaran takwa dan iman terlihat pada amal serta perbuatan. Darinya keindahan Islam dilihat dan dirasakan.

Contoh ini amat perlu bagi umat manusia hari ini kerana kecenderungan haiwani lebih jelas kelihatan dari kecenderungan manusiawi. Menghayati Islam sebagai agama fitrah adalah jawapan terbaik.