ASAS binaan Teori I sebagai sifatnya melengkapi berdiri atas pertimbangan IHSAN dan INSAN. Keihsanan menghubungkan manusia dengan Pencipta dan keinsanan menghubungkan diri sesama manusia dan sistem.

Hubungan dengan ALLAH sebagai aksis dan tunjangan menjadi terlalu penting untuk membangun tasawur (pandangan semesta) supaya hubungan manusia dan sistem terjadi atas pancaran rohaniah yang tinggi.

Teori I juga dikatakan sebagai Teori Islam dan sifatnya multi-dimensi. Ia terhubung dengan pemikiran, rohaniah, ilmu, pendidikan, amal perbuatan, agama, budaya, ekonomi, pengurusan dan lain-lain.

Teori I tidak hanya sebuah konsep tetapi ia boleh diaplikasi dalam sistem. Sistem keilmuan dan pendidikan umpamanya amat relevan dengan teori ini. Ilmu terhubung langsung dengan ALLAH. Al-Quran sebagai wahyu daripada ALLAH terkandung ilmu mengenai perkara-perkara yang ghaib dan ia amat penting dalam memahami yang nyata dengan yang ghaib dan menjadi pedoman dalam kehidupan.

Hadis Rasulullah SAW memberi pedoman, “Dalam melakukan kebaikan dalam hidup ini meski kita tidak melihat ALLAH, namun kita yakin ALLAH melihat kita”. Bila keyakinan ini ada pada kita apa saja yang kita lakukan ia sentiasa dalam pertimbangan ALLAH.

God-conciousness atau “Insaf Ketuhanan” ini ada pada hati dan jiwa kita yang beriman kepada-Nya yang sentiasa menghubungkan setiap amal kita dengan-Nya. Ia menjadikan amal manusia tertib dan teratur dan sentiasa dalam reda-Nya.

Ihsan ALLAH kepada hamba dan makhluk amat besar maknanya kepada kita. Limpahan rahmat dan nikmat yang banyak adalah kurnia ALLAH yang tidak terhitung. Hikmah ini sebaliknya memberi manfaat kepada manusia dan kehidupan.

Syair Pendita Zaaba menyebutkan, “Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan”. Syair ini mengungkapkan maksud walaupun kebaikan (ihsan) tidak dikenali oleh manusia dan makhluk tetapi tetap dikenal oleh ALLAH yang Maha Mengetahui. Ia mendorong manusia melakukan kebaikan kerana-Nya (ikhlas) kerana ALLAH mengetahui niat hati kita.

Keihsanan dalam berilmu menghubungkan diri kita dengan persekitaran yang terdapat. Sumber rahmat dan nikmat yang melimpah ruah dan bila tradisi tadabbur (uji-kaji) terjadi kebaikan untuk manusia adalah besar sekali. ALLAH berikan kita akal membolehkan kita berfikir dan menjana ilmu.

Inilah ihsan ALLAH yang amat bermakna kepada kita kerana kajian yang dilakukan, dapatan yang diterima mendekatkan diri kita kepada ALLAH dan memberi kebaikan kepada manusia.

Mengkaji tentang air umpamanya tidak saja menghubungkan “apa itu air secara saintifik” dan membekalkan kita dengan maklumat adanya hidrogen dan oksigen yang ghaib sifatnya tetapi al-Quran memperjelaskan tentang maksud “ mengapa air” dan dihubungkan ia sebagai sumber kehidupan.

Tanpa air manusia dan makhluk akan mati. Tanpa air lautan tidak ada dan ikan akan mati dan sumber rezeki manusia akan pupus. Tanpa air pokok-pokok tidak akan tumbuh, sumber rezeki darinya tidak akan terdapat, akhirnya manusia akan mati kebuluran. Ihsan ALLAH kepada hamba dan makhluk menyebabkan kehidupan terjadi.

Keihsanan yang mengambil dimensi menegak dan merentas menyebabkan kehidupan manusia bermakna. Kekayaan yang ada pada manusia, kelebihan ilmu yang dimilikinya, kepakaran dan keahlian yang dikuasainya bila dimanfaatkan kepada umat manusia dan keihsanan dari ALLAH itu berfaedah untuk orang lain.

Keihsanan dalam pendidikan menjadi asas membentuk watak insani yang memiliki daya ihsan yang tinggi. Proses pendidikan dalam konteks Teori I ini tidak saja ingin menjadikan seseorang berilmu dan berkemahiran tetapi yang ditunjangi sifat ihsan menjadi pendidik memiliki sifat kasih sayang, sabar, menjadi sumber contoh dan teladan dan mendidik manusia lain dengan disiplin dan adab yang tinggi supaya wataknya terbina dengan contoh teladan yang baik.

Watak teladan mendukung erti kebenaran, kebaikan, keikhlasan, amanah, kejujuran supaya kebaikan itu kita miliki dan berhikmah pula kepada manusia lain. Bila manusia lain menerima hikmah ini rasa persaudaraan akan wujud, rasa kasih sayang akan terjadi dan akhirnya jiwa jamaah (muafakat) akan lahir kerana kita tidak mementingkan diri sendiri kerana ihsan itu menghubungkan diri dengan ALLAH dan juga sesama manusia. Teori I ini apabila diaplikasi dalam ilmu dan pendidikan sifatnya menyantuni sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

 

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM