TAJDID adalah suatu proses perubahan yang menyeluruh atau transformatif sifatnya. Transformasi tidak saja bermula dalam pemikiran dan penghasilan ilmu pengetahuan, khususnya pengembangan sains dan teknologi tetapi ia bermaksud membangun rijal seutuhnya supaya kualiti manusiawinya tinggi.

Transformasi bermula dengan perubahan dalam proses pengilmuan dan pendidikan. Ia juga berlaku dalam dimensi ekonomi, sosial dan juga sistem. Perubahan tidak saja dalam bentuk atau struktur tetapi mencakupi aspek isi/kandungan dan juga aplikasi nilai dan etika.

Tajdid dalam pendidikan umpamanya tidak saja menyentuh aspek ilmu atau kurikulum yang dibangunkan tetapi juga asas nilai yang menyebabkan integrasi ilmu berlaku dan Islamisasi pendidikan terjadi.

Pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidak saja sifatnya kognitif tetapi meraikan aspek afektif dan psikomotor yang menjadikan pembentukan watak pelajar seimbang dan harmonis.

Transformasi bermula dengan pembangunan diri insan itu sendiri. ALLAH kurniakan diri insan dengan bakat berfikir bagi membolehkan ilmu dijana, bakat hati diperteguhkan bagi membolehkan nilai dimiliki dan bakat daya disuburkan supaya fikir dan nilai dapat diamalkan.

Ia bertunjangkan aspek aqidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya diri dapat diurus dengan baik dan menjadi fitrah sifatnya. ALLAH jadikan alam ini dengan sumber rahmat dan nikmat yang banyak. Manusia memerlukan ilmu mengurus sistem supaya kekayaan sumber yang ada di perut dan atas muka bumi ini dapat diuruskan sebaik-baiknya untuk manfaat umat manusia.

Justeru menguasai ilmu mengurus diri adalah suatu kewajipan dan ilmu mengurus sistem sebagai suatu tuntutan supaya membolehkan tamadun lahir dan tidak mengekalkan umat Islam sebagai umat pengguna kepada kekuatan Barat.

Umat Islam suatu ketika nanti diharapkan menjadi penyumbang kepada tamadun umat manusia kerana memiliki agama yang sifatnya suatu tamadun. Pendekatan reflektif harus berlaku supaya umat Islam tidak saja dibuai dengan pendekatan nostalgik dan kurang dinamik untuk membangunkan ilmu.

Jumlah umat Islam kini melepasi 1.6 bilion orang. Bayangkan kalau sistem pendidikan di negara umat Islam menawarkan pendekatan yang integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan, ia bakal melahirkan modal insan yang terbangun dengan faktor naqliah dan aqliah iaitu cemerlang dalam aspek diniah atau agama dan memiliki kepakaran dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Jika ini terjadi, bayangkan kekayaan sumber hasil bumi yang terdapat dalam kalangan negara-negara Islam memungkinkan kemajuan terjadi dan tamadun baharu lahir. Semua ini menuntut berlakunya tajdid supaya asas syariah mendukung keunggulan ke arah perubahan yang menyeluruh.

Justeru tajdid yang lazimnya berlaku tidak saja bergantung kepada tokoh-tokoh mujaddid yang berwibawa tetapi juga dalam bentuk gerakan massa yang mampu mencetuskan perubahan. Perubahan tidak sekadar idea-idea atau pemikiran tetapi strategi pelaksanaan amat diperlukan. Perancangan perlu ada, dasar-dasar mengalami perubahan yang sistematis dan kaedah pelaksanaan mengambil kira faktor sezaman tanpa mengorbankan prinsip asas dalam al-Quran dan As Sunnah.

Mutakhir ini terlalu banyak simpang-siur dalam aliran berfikir umat Islam. Ia menyebabkan kekeliruan dan salah faham terjadi. Sesetengahnya menjadikan faham Barat sebagai sebahagian daripada resam berfikirnya. Ia mengekalkan elemen sekularisme dan liberalisme yang menyebabkan pendekatan tafsir dan taawil lari dari pendekatan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tajdid adalah juga suatu proses pemurniaan semula jalur berfikir supaya tidak bercanggah dengan akidah dan syariah. Sifat tajdid menyantuni zaman dan cabaran perubahan. Meski fenomena sains dan teknologi menjadi cabaran utama pemikiran ke arah tajdidi membimbing cabaran ini ke arah nilai guna yang betul dan sifat sains serta teknologi memberi manfaat kepada umat manusia.

Hal yang sama boleh berlaku dalam aspek komunikasi dan telekomunikasi dalam pelbagai bentuk, khususnya aplikasi media baharu kini mesti sifatnya terpedoman. Aspek perisian dan input perlu melalui proses tajdid supaya sumber rujukannya meningkatkan akal-budi dan kualiti adab insan. Justeru, setiap zaman perlu berlaku tajdid dan lahirnya mujaddid yang meletakkan landasan perubahan yang mendukung adab dan tamadun yang Islami.
 
* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)