FAKTOR syariat, perundangan atau hukum adalah sangat penting dalam kehidupan Islam. Kerangka ini mengatur kehidupan beradab.

Sumber syariat diambil daripada al-Quran dan as Sunnah bagi memandu dan mempedoman umat Islam supaya tertib dan teratur. Tanpa syariat kehidupan dan sistem akan menjadi kucar-kacir dan kehilangan arah dan tidak berdisiplin.

Syariat dalam beribadah tidak saja merujuk perintah daripada ALLAH tetapi mematuhi Sunnah Rasulullah SAW supaya ajaran al-Quran dipatuhi dan Sunnah Rasulullah diikuti.

Daripadanya ibadah menjadi sempurna dan diterima. Ibadah yang sahih adalah ibadah yang bersandarkan syariat ALLAH dan dicerminkan oleh Rasulullah SAW dalam sunnahnya.

Syariat dalam ilmu dan pendidikan mempertautkan ilmu naqliah (al-Quran) dan akliah (pemikiran daripada manusia) dan sifatnya saling menyerasikan.

Perkembangan akliah manusia yang dipandu oleh nilai-nilai Rabbaniah tidak saja memperkasa pemikiran tetapi juga membentuk akhlak karimah. Kesuburan ilmu tidak hanya pada tahap kognitif, tetapi mampu membangun hati budi dan memancarkan amal.

Ilmu memberi makna kepada kehidupan manusia dan pendidikan memberi warna kepada watak dan akhlak insan. Tanpa ilmu yang benar dan bermanfaat pembinaan sahsiah tidak akan terjadi. Ilmu adalah suluh yang menerangkan jalur kehidupan supaya ia terpandu dan terpedoman.

Memahami alam dan sumber rahmah dan nikmah hasil ciptaan ALLAH memerlukan jiwa tadabbur yang tinggi. Syariat ALLAH melalui al-Quran memberikan pedoman The Signs of the Creator – tanda-tanda adanya Pencipta menerusi ayat-ayat kauniyahnya yang apabila dikaji terkandung nilai-nilai saintifik mengenai kejadian manusia, keteraturan perjalanan kosmos, kewujudan pelbagai fenomena untuk menjadi pedoman manusia dengan wujudnya Pencipta yang mengurus alam ini.

Kehadiran syariat ALLAH dalam penghukuman atau undang-undang menjadi pedoman yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan sistem.

Syariat terhadap diri menjadikan kehidupan diri beradab dalam melakukan interaksi dengan orang lain. Syariat dalam keluarga amat penting kerana keluarga adalah unit asas dalam pembentukan masyarakat dan sistem.

Syariat dalam masyakat menjadi amat utama supaya wujud rasa kesalingan, muafakat, jiwa jemaah supaya ukhuwah terbina dan kesejahteraan masyarakat terjadi.

Syariat menjadi pedoman penting dalam organisasi dan sistem supaya pengurusan organisasi dan sistem terpedoman dengan kualiti adab yang tinggi.

Pengurusan organisasi dan sistem yang mengambil hubungan menegak (ihsan) sebagai pedoman bakal mengaturkan hubungan merentas (insan) yang saling mengukuhkan. Ia bakal mencerminkan kualiti pengurusan yang diredai dan dilimpahkan dengan barakah.

Syariat dalam muamalah menemukan kesalingan hubungan yang baik, telus dan tulus. Dalam urus niaga umpamanya kepatuhan kepada prinsip syariah memberi jalan kebaikan terjadi dan barakah berlaku.

Berniaga umpamanya menjadi suatu amanah dan ibadah dan terhindar daripada eksploitasi, riba, mengaut keuntungan yang berganda sehingga pengguna menjadi mangsa.

Syariat dalam sains dan teknologi meletakkannya sebagai alat dan bukannya matlamat, Nilai guna yang ada pada teknologi yang dipandu oleh syariat meningkatkan akal-budi insan supaya salah guna tidak terjadi. Sains dan teknologi selamanya alat untuk mencapai matlamat yang lebih murni berkualiti manusiawi.

Asas-asas syariat yang melatari kehidupan adalah penting supaya ia selari dengan pedoman daripada ALLAH dan tautan dengan ALLAH (God-Conciousness) menjadi kuat dan manfaat untuk manusia bertambah. Kaedah Ilahiyyah ini apabila dipatuhi dan diamalkan bakal membawa kebaikan dan diredaiNya.

Dalam kehidupan masyarakat di luar Islam syariat tidak menjadi syarat yang penting. Sesetengahnya etika yang digunakan lebih bersifat duniawi. Sistem nilai yang terguna pakai lebih banyak dalam kerangka kapitalisme, sosialisme dan komunisme yang melihat benda dan kebendaan sebagai fokus utama.

Dalam Islam benda dan kebendaan adalah sumber rahmah dan nikmah. Ia perlu diagihkan dengan adil supaya memberi manfaat dan mensejahterakan manusia. Umat Islam adalah agen kepada amanah ALLAH ini.

ALLAH melimpahkan rahmah dan nikmah dalam perbagai bentuk untuk diuruskan oleh manusia dengan baik. Kebaikan pengurusan berlandaskan syariat menyebabkan amanah lahir dan kebaikan terjadi. Daripadanya faktor duniawi dan ukhrawi bergerak seiring untuk kebaikan umat manusia dan kehidupan.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)