AL-QURAN menyatakan dengan jelas tujuan dijadikan manusia ialah untuk melakukan ibadah kepada-Nya (wama khalaqtul jinni walins illa liyakbudun – tidak dijadikan jin dan manusia melainkan melakukan ibadah kepada-Nya). Al-Quran juga menyebutkan, Inni ja’ilun filardhi khalifah – manusia adalah khalifah ALLAH di muka bumi).

Dua ungkapan dari al-Quran itu menjadi sumber penting memahami kehadiran manusia di sisi-Nya dan peranan manusia sebagai wakil ALLAH di muka bumi. Tanpa memahami siapa diri kita dan hubungan dengan Pencipta dan apa peranan kita dalam kehidupan manusia mudah hilang pedoman dan hala tuju dalam kehidupan.

ALLAH kurniakan manusia dengan hati, pemikiran dan emosi sebagai alat mengukuh jati diri supaya pengurusan diri berlaku secara makruf. Peranan hati dimurnikan supaya terbina niat yang baik untuk maksud yang baik juga.

Pemikiran diolah supaya sikap positif terbentuk dan ditautkan dengan hati budi supaya sifatnya menyantuni. Emosi diolah supaya sifatnya matang dan bijaksana dalam membuat pertimbangan dan pilihan.

Faktor dalaman diri manusia terkandung pelbagai resam perasaan dan sentimen yang memerlukan ilmu urus diri berperanan. Ilmu urus diri memberi fokus kepada kawalan atau disiplin diri yang baik merujuk kepada keadaan hati dan pemikiran yang dimiliki. Kalau hati dilatih tenang, sabar dan yakin ia sebagai mekanisme mengukuhkan kestabilan diri.

Faktor rohaniah atau dalam diri manusia menjadi tunjangan penting menghasilkan daya kawalan diri supaya wujud sifat keseimbangan. Ia disebut sebagai proses mengadabkan insan. 

Para ulama dan ilmuwan menyebutkan adab itu ialah disiplin akal, hati dan amal. Jika akal dan pemikiran mempunyai daya disiplin yang tinggi, menghubungkannya dengan etika dan nilai-nilai yang murni ia bakal mempengaruhi hati. 

Sekiranya hati disantuni pemikiran yang jernih dan makruf kesannya kepada amal menjadi lebih nyata dan jelas.

Ilmu urus diri menjadi amat penting kepada binaan diri manusia. Akal dan pemikiran harus diurus dengan baik supaya sikap dan pandangan menjadi tertib dan memberi manfaat. 

Hati bagi manusia menjadi terlalu penting kerana darinya datang niat. Sekiranya setiap amal berlaku dengan niat yang baik maka natijah akhirnya akan menghasilkan kebaikan juga.

Niat yang baik terhubung dengan rasa ubudiyyah yang tinggi kepada ALLAH. Al-Quran yang ditanzilkan oleh ALLAH kepada Rasulullah SAW menjadi sumber ilmu yang utama untuk menjadi suluh dan pedoman bagi pencerahan hidup insan.

Insan yang diciptakan ALLAH mempunyai sifat “nisyan” atau lupa dan “ghaflah” iaitu lalai. Kelupaan dan kelalaian memerlukan peringatan dan petunjuk terutama kepada hal-hal yang ghaib. 

Aqidah tauhid terkait dengan perkara ghaib dan menuntut kepercayaan dan keyakinan. Tanpanya keimanan tidak akan terbina.

Jika diri diurus dengan keimanan yang tinggi terhadap ALLAH ia bakal menjadikan kita hamba yang taat, akur, tunduk dan patuh. Asas ini sangat penting bila kita menjalani hidup kerana cakerawala bergerak atas prinsip yang sama apalagi manusia perlukan prinsip itu supaya ketertiban terjadi dan keteraturan berlaku.

Hari ini penyimpangan terhadap aqidah terjadi, perlanggaran terhadap syariah berlaku, kerosakan terhadap akhlak berleluasa dan tidak menjadikan manusia berada dalam fitrah. Ia menyebabkan faktor manusiawi semakin menipis dan faktor haiwani semakin menonjol.

Faktor sistem amat penting disantuni. Sistem dalam erti kata yang luas terhubung dengan ciptaan ALLAH di muka bumi seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan, kehidupan di laut dan di bumi, persekitaran dan juga hasil bumi. Memahami kewujudan dan manfaatnya memerlukan ilmu.

Ilmu mengurus sistem juga berkait dengan bagaimana sistem dalam kehidupan diurus. Sekiranya jiwa tadabbur (kaji-selidik) berkembang maka rahsia kebesaran ALLAH dapat dikaji dan diketahui. Sains dan teknologi selamanya alat dan bukannya matlamat.

Sains dan teknologi seharusnya memiliki nilai guna supaya kegunaannya dipandu oleh keinsafan bahawa sumber-sumber di bumi dan di perut bumi digunakan bagi maksud menyejahterakan kehidupan manusia dan kebaikan perjalanan sistem.

Oleh itu sinergi ilmu mengurus diri dan sistem menjadi keutamaan kepada umat Islam supaya faktor rohaniah dan binaan hati memandu pengurusan sistem supaya amal-buat manusia terpedoman dengan nilai-nilai yang baik. Tanpanya manusia akan jadi nafsu-nafsi dan terhasil gelagat yang rakus, tamak dan merosakkan.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM