ISTILAH sekular berasal daripada bahasa Latin saeculum. Dalam bahasa mudahnya bermakna masa kini. Maksud yang luas sekular bukan sekadar suatu konsep mengenai keduniaan. Ia suatu faham yang memisahkan apa saja dari agama.

Dalam kaitannya dengan ilmu, ilmu yang empiris dan rasional terhubung dengan konsep ini. Apalagi dengan pendidikan, faham sekular ingin menghasilkan generasi yang ada kekuatan berfikir dan kemahiran sains serta teknologinya tetapi tidak ada kaitan dengan hal-hal keagamaan.

Sekularisasi ialah suatu proses yang telah berlaku lama walaupun suatu ketika dulu orang-orang Barat menjadikan agama Kristian sebagai sesuatu yang penting. Gereja dilihat sebagai sumber autoriti yang menentukan sesuatu. Tapi akhirnya berlaku pertembungan antara saintis dan pihak gereja menyebabkan sekularisasi terjadi.

Dalam zaman kebangkitan Islam hingga lahir suatu tamadun, ilmu dan pendidikan bersama-sama dengan agama. Al-Quran sebagai sumber utama keilmuan Islam, ia menjadi pedoman para saintis Islam melakukan tadabbur (kaji-selidik) menyebabkan ada kaitan antara sumber naqliah (wahyu) dan sumber aqliah (pemikiran).

Proses ini menyebabkan lahir penemuan saintifik mengenai jagat raya, manusia dan alam ini dan saintis Barat melakukan penciplakan pada zaman terkemudian dan ia menjadi asas reformasi, renaissance, revolusi industri dan menyebabkan mereka menjadi kuasa penakluk ratusan tahun lamanya.

Penjajahan membawa bersama faham sekular dan akhirnya ilmu dan pendidikan di negara jajahan dipengaruhi sama dalam semua bidang, hatta agama.

Dalam masa sama anak didik yang terpilih melanjutkan pengajiannya ke Barat langsung dipengaruhi faham sekular dalam ilmu dan pendidikan. Apabila tamat pengajian dalam bidang tertentu kembali semula ke tanah air di mana sebahagian besar daripada mereka pemikiran dan jiwanya telah 'diBaratkan'.Kekagumannya kepada Barat dikaitkan dengan proses maju dan membangun, pembangunan ekonomi dan pendidikan. Mereka menghadapi saingan dengan kelompok tradisional yang masih menjadikan agama rujukan dalam apa kegiatan pun.

Barat dijadikan model untuk maju ke hadapan dan tokoh-tokoh Barat dalam bidang ilmu dan pendidikan dijadikan sandaran.

Sejak awal 70-an kecenderungan generasi muda mengalami perubahan ke arah Islam. Kegiatan dakwah berkembang mulanya dalam negara, khususnya di kampus-kampus universiti dan akhirnya pelajar Islam dari Malaysia aktif sama di luar negara.

Kesedaran yang lebih bermakna apabila berlangsung Persidangan Pendidikan Islam di Makkah yang dihadiri lebih 313 ulama dan ilmuan Islam pada tahun 1977 membincangkan mengapa kemunduran terjadi dalam kalangan negara-negara Islam.

Dualisme dalam pendidikan yang memisahkan agama dengan proses kemodenan menyebabkan umat Islam mundur kerana mereka tidak memiliki tasawur (pandangan semesta) yang jelas, tidak seperti ilmuan Islam zaman keemasan Islam sering melakukan integrasi ilmu naqliah-aqliah dan akhirnya menghasilkan suatu tamadun yang bertahan lebih 700 tahun.

Di Malaysia, respons kepada pendekatan dakwah dan tarbiyyah yang mahukan integrasi dan Islamisasi terjadi. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dibina pada tahun 1983 bersama-sama Bank Islam.Penubuhan dua institusi, satu yang berbentuk pendidikan dan satu lagi ekonomi adalah permulaan awal pengaruh sekular cuba diatasi supaya dualisme ekonomi, ilmu dan pendidikan secara bertahap-tahap digantikan dengan pendekatan patuh-syariah dan ilmu yang sepadu.

Pendekatan integratif dan Islamisasi ilmu mula berkembang di UIAM, Usim, UIM dan kolej universiti negeri-negeri, pendekatan Ulul al Bab di MRSM dan SMKA dan cadangan penyusunan kembali sistem pondok, madrasah dan maahad tahfiz supaya akhirnya mengatasi persoalan dualisme dan sekularisme yang sekian lama terjadi. Ia lebih meyakinkan apabila kerajaan mengumumkan pada 2014 sebuah unversiti al-Quran Malaysia yang bakal melahirkan ulama-ilmuan dan perofesional.  


* Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM