FAKTOR rohiyyah (dalaman diri manusia) dan faktor amaliah (pekerti manusia) bergerak seiring. Al-Quran mengungkapkan “Illallazi na’amanu wa’amilussalihat” – orang yang beriman melakukan amal soleh. Ianya wajar sedemikian supaya apa yang diyakini tidak hanya terhimpun dalam hati semata-mata dan tidak dipancarkan dalam amal.

Citra Islam tidak hanya wujud dalam kitab yang dibaca atau syarah yang didengar. Citra Islam keindahannya terlihat pada watak dan pekerti. Watak yang manusiawi dan sifatnya menyantuni adalah watak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Fikrah dan tarbiyyah harus bergerak seiring supaya pembentukan watak jadi seimbang.

Watak yang bengis ,gopoh dan mudah menghukum yang bersifat haiwani bukanlah suatu gambaran terhadap citra Islam yang sebenar. Tanggapan umum yang ada melihat produktiviti rohhiyah umat Islam relatif tinggi seperti mengerjakan solat, qiamullail, menutup aurat, makan makanan yang halal dan toyyib, rajin mengerjakan umrah dan sebagainya.

Tetapi produktiviti amaliah kelihatan relatif rendah. Ini yang diungkapkan oleh sarjana Islam Syeikh Muhammad Abduh bila membuat kunjungan ke Perancis dan meneliti  budaya mereka dan kembali ke Kaherah, Mesir memahami apa yang berlaku dengan menyatakan “Di Perancis saya melihat Islam walaupun tidak ramai orang Islam di sana. Di Mesir saya mendapati ramai orang Islam tetapi tidak melihat Islam.”

Kenyataan Syeikh Muhammad Abduh itu melihat amaliah Islam dalam kehidupan. Orang-orang Perancis menyantuni pelancong dan tetamu, suka membaca, rajin mengkaji dan menyelidik dan melakukan penulisan.

Etika mereka tinggi dan sikap terbuka mereka sangat nyata dan amat menghormati waktu sedangkan di kalangan majoriti orang Islam hal tersebut berlaku sebaliknya.

Hal ini disebutkan kerana sebahagian besar orang Islam menganggap beragama hanya melakukan ritual tidak menghubungkan agama sebagai Suatu Cara Hidup. Lalu ibadah solat tidak dikaitkan dengan binaan pekerti. Jemaah hanya terlihat di masjid. Jiwa jemaah tidak terbina di luar masjid. Mendengar ceramah agama selalu terjadi. Menghayati isi ceramah agama amat sedikit sekali.

Untuk menjadi umat Islam yang rohaniah dan amaliah ianya memerlukan ilmu yang benar dihayati dan membawa kesan perubahan kepada diri. Diri yang berubah ialah diri yang menjadikan ajaran al-Quran sebagai sumber ikutan dan menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai sumber teladan.

Menganut Islam secara warisan tidak banyak memperlihatkan citra Islam yang sebenar. Tanpa ilmu dan tarbiyyah umat Islam tidak akan berdaya maju  dan mampu menjadi contoh yang baik. Contoh yang baik ialah memiliki kekuatan dalaman diri dan terlihat pada amal dan pekerti.

Islam menjadi agama yang disalahfahamkan bukan bersebab dari ajarannya yang baik tetapi terlihat pada watak dan sahsiah pemeluknya yang tidak menjadikan agama ini sebagai sumber penghayatan yang menjadi teladan dan sumber ikutan orang lain.

Bila kita berakidah ia tidak sekadar suatu hubungan kepercayaan dengan ALLAH. Manifestasi beraqidah harus sifatnya merentasi dalam pemikiran, kata-kata dan perbuatan, ilmu dan pendidikan dan ia menghasilkan sifat ubudiyaah yang tinggi sehingga aqaid atau ikatan kita dengan ALLAH  mencetuskan rasa ihsan yang tinggi antara insan sesama insan.

Bila kita melakukan ibadah solat umpamanya ia memberikan kita kekuatan bahawa ruku’ dan sujud ini dalam manifestasi diri jiwa kehambaan yang tinggi dan menjelmakan sifat patuh, akur, taat dan tunduk kepada titah pertintah ALLAH dan berhikmah untuk diri kita dan manusia lain.

Bila faktor syariah dijadikan pedoman sumbernya adalah dari al-Quran dan As Sunnah. Jika ianya dijadikan sumber rujukan dan ikutan manusia akan memahami batas boleh dan tidak boleh, haram dan halal, maaruf dan mungkar dan menyebabkan kehidupan manusia teratur, beradab dan berdisiplin.

Bila adab dan disiplin dijadikan pedoman kehidupan, inilah jalan binaan akhlak yang menjadikan risalah nubuwwah dipenuhi. Tanpa akhlak karimah manusia tidak mungkin memiliki sifat manusiawi yang  menyantuni sebaliknya bakal bersifat haiwani dan memikir tentang  kepentingan diri, rakus terhadap peluang dan kesempatan, rasa ego dan sombong terhadap upaya diri yang terbatas dan tidak merasakan akan kebesaran ALLAH yang sifatnya mencipta dan mengurus atas segala. Amat penting kekuatan rohiyyah atau rohaniah dan amaliah diintegrasikan supaya penghayatan terjadi.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)