PENDEKATAN reflektif terhadap faktor-faktor kejayaan dalam pembangunan tamadun silam menjadi asas penting mengapa Islamisasi ilmu dan pendidikan berbangkit.

Sinergi ulama/ilmuwan dan umara, ilmu yang integratif, tradisi kecendekiawanan yang hebat, memanfaatkan faedah berbanding dalam budaya dan tamadun orang lain, menjadi faktor utama tamadun Islam lahir dan berkembang lebih 700 tahun.

Kecenderungan ilmuwan Barat mengambil ilmu-ilmu sains dan teknologi Islam dan diterjemahkan dalam bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani memulakan proses deIslamisasi atau sekularisasi di Eropah.

Fenomena reformasi, renaissance, revolusi industri telah menjadikan Barat sebagai kuasa penakluk terutama di negara-negara umat Islam. Konflik kelompok agama (gereja) dan kelompok saintis menyebabkan penolakan agama Kristian mula terjadi.

Perkembangan ilmu di Barat tidak menjadikan agama sebagai asas penting dalam pendidikan. Agama dilihat terpisah dengan disiplin ilmu yang pelbagai dan sifatnya bebas nilai.

Prof Naquib al Attas menghubungkan ilmu sebagai “ketibaan makna kepada diri” iaitu pembebasan manusia dari tahyul dan ragu. Prof Al Faruqi memahamkan Islamisasi sebagai asas dan kerangka bagi kehidupan manusia ke arah tamadun dan transformasi.

Islamisasi dalam bahasa mudahnya ialah suatu proses penitipan (instilling) tasawur Islami dalam tubuh ilmu. Ia menyangkut hubungan naqliah dan aqliah yang sifatnya menyantuni. Ilmu dan pendidikan menjadi  terhubung dengan nilai (value-laden) dan sifatnya integratif.

Islamisasi ilmu menjadi penting dalam tradisi Islam kerana sumber naqliah dijadikan pedoman utama dalam binaan akal dan pemikiran dan menyebabkan pembentukan tasawur (pandangan semesta) terjadi.

Tasawur Islami adalah landasan utama membentuk fikrah Islami. Ilmu dan pendidikan tanpa fikrah Islami akan kelihatan lompang dan kosong, ia bersifat mekanistik. Ilmu dan pendidikan yang mekanistik meraikan aspek kognitif (akal) dan menafikan aspek etika dan nilai.

Pedoman etika dan nilai menjadi amat penting dalam kehidupan manusia. Tanpa etika dan nilai manusia akan kehilangan ukur tara tentang baik-buruk dan maaruf-mungkar akan sesuatu. Gelagat hidup manusia mungkin dipandu oleh nafsu-nafsi tanpa kawalan rohaniah yang sifatnya menertibkan.

Pengislaman ilmu mengembalikan kehidupan manusia dalam kerangka fitrah. Kerangka fitrah tidak saja berpusat kepada faktor akliah tetapi menerima pedoman dari faktor naqliah. Ia menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber adab.

Adab bagi ilmuwan Islam ialah disiplin akal, hati dan amal. Kekuatan akal dan hasil pemikiran memiliki keterbatasan. Ia perlu dipedoman oleh al-Quran yang mempunyai asas petunjuk (hudan) mengenai yang nyata dengan ghaib. Bila ia diterjemah dalam bentuk amal kelihatan akhlak Islami yang menjadi sumber ikutan dan teladan.

Manusia hari ini berada dalam status kehilangan adab. Proses kognitif (berfikir) membentuk rasionaliti dan rasionaliti dianggap segala-gala dan itulah kebenaran. Dalam tradisi Islam aspek kognitif menjadi salah satu bahagian yang penting dalam membina pemikiran.

Pemikiran yang tidak dipandu dan dipedoman oleh faktor afektif (batini) atau dalaman diri manusia yang sifatnya rohaniah menyebabkan manusia kehilangan kualiti diri. Nilai jujur, amanah, adil, ikhlas, bijaksana umpamanya amat penting dalam kehidupan supaya kualiti manusiawi terbina.

Manusia akan membangun kualiti haiwani dipedoman oleh nafsu-nafsi kerana rohaniahnya kosong. Amat perlu fikrah Islami dibina supaya tidak saja hal-hal yang nampak dipercaya tetapi hal-hal yang tidak nampak diyakini. Yang tidak nampak (ALLAH umpamanya) bukan tidak ada. Ia ada dan sifat wujudnya sedemikian.

Adanya alam ini dan sumber-sumber yang terdapat kerana adanya Pencipta yang menciptanya. Al-Quran sebagai petunjuk memberi manusia sifat tadabbur (mengkaji) dan menghubungkan hasil yang dicipta dengan kebesaran ALLAH.

Al-Quran tidak saja bersifat tekstual atau kitab yang sifatnya harfiah. Ia juga bersifat kontekstual terhubung dengan sumber rahmah dan nikmah sebagai sumber ilmu. Ia menjadikan manusia memiliki tasawur yang lebih lengkap dan sempurna memahami kewujudan serta penciptaan. Inilah asas kepada proses pengislaman dan integrasi ilmu serta pendidikan yang sewajarnya berlaku.

*Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan, UIAM