PENGISLAMAN ilmu dan pendidikan adalah suatu proses. Ia menuntut penguasaan ilmu Islam dan ilmu berbanding supaya dualisme dan sekularisme dapat diatasi.

Umat Islam memerlukan binaan epistemologi (teori dan asas ilmu) yang kukuh supaya asas tasawur (pandangan semesta) menjadi lebih sepadu dan seimbang.

Dalam Persidangan Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977 yang menghadirkan lebih 313 ulama dan ilmuwan telah membincangkan isu ini dan merumuskan bahawa dualisme yang terjadi dalam sistem pendidikan dalam kalangan negara umat Islam telah menyebabkan kemunduran berlaku dan pendidikan Islam perlu kembali kepada sistem pendidikan yang tauhidik dan integratif.

Dualisme dalam ilmu dan pendidikan menuntut proses integrasi dan Islamisasi terjadi. Epistemologi ilmu Islami perlu diperkukuhkan supaya tasawur Islami berlaku secara holistik dan bakal melahirkan sumber daya manusia yang tidak saja baik dalam pemahaman diniahnya tetapi juga baik dalam pemahaman ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologinya.

Apa yang terjadi sekian lama dalam sistem pendidikan di negara-negara umat Islam ialah pemisahan antara pendidikan tradisi dan pendidikan moden.

Pendidikan tradisi yang menumpu di pondok, madrasah, maahad dan institusi huffaz sifatnya masih tradisional. Pendidikan moden berada di arus perdana dan menyebabkan dualisme dalam sistem pendidikan terjadi.

Akibatnya ialah melahirkan sumber daya yang dualistik pemikiran dan sikapnya. Yang terdidik dalam aliran moden mempunyai gaya berfikir yang berorientasi Barat dan melihat kepentingan agama tidak penting. Yang terdidik dalam orientasi tradisional tidak sangat terdedah dengan disiplin ilmu moden dan faktor integrasi tidak berlaku.

Integrasi dalam ilmu dan pendidikan menemukan dua aliran tradisional dan moden bergerak seiring. Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Malaysia adalah sebagai contoh. Para pelajar didedahkan dengan komponen agama dan dalam masa sama komponen yang bersifat akademik terjadi.

Dalam orientasi pengajaran-pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) umpamanya visi dan misi pendidikannya berasaskan konsep IIICE iaitu integrasi, Islamisasi, Internasionalisi dan kecemerlangan yang sempurna. Komponen Islam dijadikan landasan dan ilmu berbanding (Barat) dijadikan bandingan. Para pelajar UIAM ditawarkan program major dan minor dan double major.

Contohnya pelajar undang-undang dikehendaki mengambil subjek major dan minor. Sekiranya undang-undang sivil adalah major, undang-undang syariah adalah minor dan setahun lagi boleh mengikuti program double major.

Islamisasi ilmu dan pendidikan mempunyai skop yang jauh lebih luas. Prof Dr Taha Jabir al Alwani, tokoh Islamisasi ilmu yang terkenal membina pendekatan eklektik dalam memberi makna kepada Islamisasi ilmu.

Pertama, teliti pendekatan tradisional yang autentik supaya metodologinya dapat diberikan asas dinamika dan tidak bercanggah dengan syarak. Kedua, kaji dan teliti pendekatan moden yang memiliki manfaat berbanding dan diserasikan dengan etika dan nilai yang tidak bercanggah dengan syarak.

Ketiga, lakukan pendekatan eklektik atau integrasi yang memberikan keharmonian antara kedua-duanya.

Sejak Persidangan Pendidikan Islam di Makkah 1977, aktiviti integrasi dan Islamisasi ilmu serta pendidikan amat giat terjadi dengan seminar-seminar, penghasilan bahan kajian dan buku-buku dalam pelbagai bidang.

Di Washington (Herndon) tertubuh organisasi International Institute of Islamic Thought (IIIT) dengan cawangannya di seluruh dunia untuk respons kepada keperluan integrasi dan Islamisasi. Di Malaysia di samping UIAM, lahir Islamic Istitute Of Islamic Thought and Civilization (Istac) memberikan asas falsafah mengenai pendekatan integrasi dan Islamisasi ini.

Kini Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mengambil pendekatan integrasi nakliah dan akliah dalam sistem pengajaran pembelajarannya. Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama sedang memperkenalkan pendekatan Ulul al Bab iaitu fokus kepada hafazan al-Quran di samping disiplin akademik sains dan teknologi.

Pada tahun 2014, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia sebagai puncak bagi menampung pelajar-pelajar dalam kelompok huffaz dan disiplin akademik

yang pelbagai bagi melanjutkan tradisi integrasi dan Islamisasi ilmu serta pendidikan secara lebih komprehensif.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia