Islam ialah agama ilmu. Ia juga adalah agama dakwah dan tarbiah. Ilmu yang ingin disampaikan memerlukan cara.

Proses pengilmuan dan tarbiah dalam Islam ada kaedahnya sendiri. Ia tidak sekadar proses hafazan atau pengingatan, tetapi menuntut proses faham (tafahum) dan proses artikulasi (fikir).

Proses yang sangat penting dalam tradisi Islam ialah proses internalisasi (penyerapan) supaya wujud kesan penghayatan antara fikir dan zikir.

Faktor akal dan hati berada di suatu titik-temu yang menyerasikan faktor manifestasi iaitu faktor amal yang menjadi natijah akhir proses pengajaran dan pembelajaran.

Proses hafazan dan ingatan adalah tradisi Rasulullah SAW sejak di Madinah lagi. Tradisi halaqah dan suffah di masjid Nabawi memberi fokus kepadanya.

Menghafaz Al Quran mendekatkan kita kepada ALLAH SWT. Kalimah dan ayat yang dihafaz adalah firman ALLAH.

Setiap kalimah dan ayat terkandung makna dan petunjuk. Mengingat firman ALLAH memberi kesan kepada mengingat perkara-perkara prinsip yang berkaitan dengan keimanan, ketakwaan dan pedoman mengurus diri dan sistem.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih luas, belajar mengingati sesuatu, apa lagi al-Quran memberikan latihan dan kemahiran pelajar untuk mengingat teori dan formula disiplin ilmu yang lain.

Pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains umpamanya amat memerlukan kaedah hafazan ini supaya sains dan matematik mudah dipelajari dan difahami.

Tentu proses hafazan dan pengingatan ini adalah proses awal untuk mendapatkan dan memahami ilmu.

Proses seterusnya ialah proses faham. Guru atau pensyarah mempunyai peranan penting bagaimana sukatan pendidikan atau pun ilmu difahami oleh para pelajar.

Teori pengajaran dan pembelajaran menyatakan, apabila tidak berlaku kefahaman dalam proses pengajaran-pembelajaran learning does not take place – pembelajaran tidak mengambil tempat.

Sebab itu dari tradisi Islam tradisi tafasir atau memberi makna dan kefahaman terhadap apa yang terkandung dalam surah dan ayat mahupun kalimah menjadi antara perkara pokok dalam mendekati al-Quran.

Memahami sesuatu dalam tradisi Islam tidak saja yang bersifat luaran atau empiris atau saintifik semata.

Dalam Islam faktor ghaibiyyah membawa sama faktor tidak nampak dan kaitannya dengan faktor nyata dijadikan asas tadabbur (kaji, selidik dan renung).

Dalam tradisi Islam pemahaman terhadap Pencipta ada kaitan dengan kewujudan. Mengkaji benda-benda yang wujud hasil ciptaan ALLAH memberikan hikmah di sebalik kejadian itu. Kefahaman secara saintifik dan Quran beri asas keselarian.

Air dalam perspektif saintifik menemukan elemen hidrogen dan oksigen sebagai sesuatu yang penting tetapi al-Quran menyebutkan sebab air diciptakan adalah sebagai sumber kehidupan. Ia tidak bercanggah dengan faktor saintifik.

Proses artikulasi atau fikir adalah proses yang teramat penting dalam pengembangan kefahaman. Pemikiran adalah suatu proses penjanaan ilmu. Ilmu dan kajian tidak akan berkembang tanpa adanya pemikiran.

Tamadun silam memperlihatkan tampilnya ahli fikir dalam bidang falsafah, sains, perubatan, matematik dan teknologi. Hasil adanya tradisi pemikiran yang didorong oleh usaha kaji-selidik menyebabkan lahirnya benda-benda baru yang menyumbang untuk tamadun.

Perkara paling pokok dalam tradisi pengajaran-pembelajaran Islam ialah proses internalisasi.

Proses penyerapan ini amat penting bagi seseorang pelajar kerana dari proses ini kesan penghayatan berlaku.

Upaya kognitif atau akal memikir menjana ilmu. Ilmu ibarat cahaya. Sifatnya menyuluh dan menerangkan sesuatu.

Apabila ilmu yang benar dan bermanfaat difikirkan oleh akal secara fitrahnya ia terhubung dengan hati. 

Hati yang melalui proses tazkiah an nafs atau penyucian dengan sendirinya menemukan pemikiran yang benar dan bermanfaat dan menghasilkan akal-budi yang menjadi pedoman kepada amalan.

Perkara sering terjadi apa yang difikirkan oleh manusia bercanggah dengan apa ada dalam hati.

Bila proses penyerapan tidak terjadi membawa kejanggalan dan penyimpangan kepada amal. Melainkan wujud sinergi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang mencetuskan integrasi atau hubung kait antara faktor kognitif (akal) dengan faktor afaktif (dalaman diri manusia) dan faktor psikomotor yang menghubungkan amalan dan perbuatan.

Sebab itu faktor fikir dan zikir harus berjalan seiring supaya akal budi manusia terbangun dan amal buat manusia jadi seimbang.