RASULULLAH SAW dalam hadisnya, “Addabani Rabbi Faahsana Taadibi” – Tuhanku didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Hadis ini memberi makna yang amat luas tentang maksud adab dan taadib. Adab bagi sesetengah ilmuwan ialah disiplin terhadap akal, disiplin terhadap diri (nafs) dan disiplin terhadap amal.

Taadib memberi fokus kepada pembangunan hati. Hati adalah sesuatu yang amat penting kerana terhubung kait dengan niat. Niat seperti yang terungkap dalam hadis adalah prasyarat kepada setiap amal (innamal a’la lu bin niyyah).

Sebahagian daripada kita kini menjadi umat kehilangan adab dalam maksud addaba yang luas. Pemikiran umat menjadi celaru dan kehilangan arah lantaran sumber ilmu yang menyimpang tidak membentuk fikrah Islami.

Bahan yang ditatap dan maklumat yang digunakan dan dicari bukanlah maklumat yang benar dan memberi manfaat. Bermakna disiplin akliah tidak terjadi.

Potensi akal tidak berfungsi untuk menjana ilmu dan menyaring maklumat menyebabkan hasil pemikiran sifatnya tidak menyumbang. Pemikiran mungkin berkembang dalam batas sepihak tetapi tidak ditautkan dengan etika dan nilai.

Hal yang sama terdapat dalam kalangan warga umat, solat dan siyamnya terjadi, gambaran luar dirinya menampilkan imej Islam tetapi binaan diri dan hatinya tidak menggambarkan jiwa Islami yang sebenar. Antara akal dan hati tidak menghasilkan budi yang murni lalu amalan tidak menggambarkan ruh Qurani yang sifatnya mempedoman.

Apalagi bila diterjemahkan dalam bentuk amal apa yang ada dalam fikiran dan tersemat dalam hati berbeza dengan imej amal yang terjadi malah bercanggah pula dengan tradisi amal Islami.

Sebab itu maksud pendidikan itu sendiri bukan sekadar suatu proses pemindahan maklumat dan kemahiran daripada guru kepada pelajar semata-mata. Ia adalah suatu proses melakukan transformasi terhadap diri insan.

Fokus pendidikan kini banyak memberi tumpuan kepada pemajuan kognitif (akal) semata dan kurang berlaku penyerapan ilmu yang benar dan bermanfaat yang nantinya menampilkan penghayatan dan amalan yang boleh dicontohi dan dijadikan teladan.

Bila pendidikan terhubung dengan proses mengadabkan insan bermakna akal, hati dan amal harus terbina seiring. Kalau fokus hanya menumpu kepada faktor kognitif dan psikomotor (jasmani) sematamata meninggalkan faktor afektif (dalaman diri) yang amat penting itu ia menyebabkan pendidikan holistik tidak terjadi.

Pendidikan holistik (menyeluruh) amat penting dan sifatnya multi-disiplin supaya binaan hati menjadi tumpuan supaya binaan fikrah yang baik terhubung dengan hati budi terjadi, akhlak terbentuk dan amal menjadi contoh teladan.

Sebab itu mendidik tidak sama maknanya dengan mengajar. Mendidik menuntut penyebaran ilmu yang benar dan bermanfaat supaya ia mampu membentuk cara berfikir, sikap dan tingkah laku. Pelajar yang terdidik tidak saja kaya dengan ilmu tetapi juga kaya dengan akal budi yang menjadikannya lebih pintar dan bijaksana.

Sebab itu para pendidik harus terlebih dulu memiliki contoh supaya ia menjadi ikutan pelajar seperti juga ibu bapa menjadi contoh teladan anak-anak, pemimpin menjadi contoh rakyat, Rasulullah SAW menjadi qudwah atau sumber ikutan umatnya.

Pelajar yang beradab amat menghargai ilmu, terdidik akal budi yang tinggi dan melakukan amal soleh. Ini asas generasi penerus yang mampu membangun peradaban. Pendidikan tidak sekadar membangun ilmu dan pendidikan tetapi menuju ke arah pembinaan tamadun.

Kecemerlangan dalam pendidikan tidak saja diukur dengan hasil kognitif dan pencapaian akademik semata. Sekiranya pengembangan ilmu dan perkongsian kemahiran dan kepintaran, etika dan nilai yang terhubung sama dengannya boleh membangun fikrah pelajar dan akhirnya akan membina tasawwur (pandangan semesta) yang lebih seimbang dan melengkapi.

Jika ini terjadi berasaskan kurikulum (kandungan ilmu) yang ditawarkan, metodologi pengajaran-pembelajaran yang membina keinsafan dan kesedaran, faktor dalaman diri yang juga dijadikan ukuran kecemerlangan, sifat kecemerlangan akan menjadi lebih holistik dan sepadu.

Di sinilah letaknya kepentingan penyerapan (internalisasi) ilmu yang menjadi suluh kepada hati dan memberi makna kepada kehidupan itu sebenarnya. Jika ini terjadi pendidikan dan penghayatan berlaku, pendidikan dan pembinaan adab akan mengambil tempat.

* Prof Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)