PROSES mengajar dan belajar memerlukan metodologi. Mendidik manusia tidak sekadar akal dan pemikiran untuk membangun ingatan tetapi mendidik hati dalam sistem tarbiah yang menghasilkan pembentukan watak dan diri.

Matlamat akhir pendidikan dalam tradisi Islam ialah menghasilkan insan berilmu, berketerampilan dan memiliki kualiti adab yang menjadi sumber amal.

Metodologi Islam dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan al-Quran sebagai sumbernya. Pertama, hafazan merupakan kemahiran penting di tahap awal pendidikan. Setiap kalimah yang dibaca apalagi dihafaz memberi erti yang besar kerana terkandung fadilat atau pahala daripada-Nya.

Rasulullah SAW memimpin halaqah di Masjid Nabawi dan al-Quran dijadikan sumber pengajaran dan pembelajaran terhadap sahabat dan anggota jamaah yang hadir. Maka tradisi hafazan terjadi. Di luar masjid terbina Suffah di mana anak-anak dilatih menghafaz al-Quran dan mempelajari perkara-perkasa asas dalam Islam. Ia melahirkan ahlus Suffah yang banyak berperanan terhadap dakwah Islamiah.

Pendekatan al-Quran juga menjadi asas penting dalam pembinaan Quttab. Kemudian berkembang di nizamiyyah dan madrasah. Institusi ini melahirkan ramai huffaz dan menjadikan Islam berkembang.

Kedua, bila tradisi huffaz berkembang, al-Quran difahami secara khulasah dan tafsir bermula dengan asbab bun Nuzul iaitu latar turunnya al-Quran supaya kandungan al-Quran itu di ketahui, difahami dan dihayati. Pendekatan kefahaman ini penting kerana al-Quran adalah sumber ilmu yang terhubung dengan aqidah, ibadah, syariah, akhlak dan qisah supaya kehidupan terpedoman dan ketakwaan terbina.

Tanpa kefahaman dan menghubungkan isi al-Quran dengan pedoman kehidupan itu sendiri hafazan hanya bersifat harfiah tanpa dihubungkan secara kontekstual dengan alam, kehidupan, persekitaran dan sumber-sumber rahmat dan nikmat yang ALLAH ciptakan. Kefahaman melengkapkan lagi tradisi hafazan supaya kehidupan manusia sentiasa terpandu dengan mukjizat ALLAH ini.

Ketiga, selepas asas kefahaman diberi proses pemikiran (tadabbur) terjadi supaya akal yang ALLAH berikan mampu menjana ilmu yang benar dan bermanfaat. Ilmuwan silam melakukan penelitian, pemerhatian malah saintis Islam seperti Ibn Sina (perubatan), al Khuwarizmi (matematik), Abu Kasim Az Zahrawi (ilmu bedah), Ibn Khaytem (optik atau mata), al Jazari (robotik) melakukan eksperimen dan menghasilkan penemuan saintifik dan ilmu alat (teknologi) yang bermanfaat kepada manusia.

Tradisi berfikir ini menyebabkan ulama dan ilmuwan Islam menghasilkan banyak kitab dan kajian saintifik serta akhirnya menjadi rujukan umat Islam dan ambilan serta terjemahan orang-orang Barat.

Mereka dilatih berfikir aras tinggi dengan menghubungkan al-Quran sebagai sumber binaan fikrah dan menyebabkan tamadun Islam lahir dan kitab-kitab yang ditulis dirujuk ratusan dan ribuan tahun sebagai asas pengembangan ilmu di Barat dan Timur.

Kitab mengenai optik atau mata dan cahaya daripada Ibn Haytam dan ditemukan Camera Obscura adalah penemuan awal mengenai kamera yang kemudiannya dikembangkan dengan teknologi yang lebih canggih seperti yang kita lihat hari ini.

Keempat, ialah pendekatan internalisasi (penyerapan) supaya faktor kognitif (pemikiran) dan afektif (hati budi) terhubung erat supaya kesan penghayatan terjadi. Pendekatan ini tidaklah mudah kerana menghubungkan yang nyata dengan ghaib memerlukan tidak saja kepercayaan tetapi juga keyakinan. Proses ini sekiranya berlaku pemikiran manusia akan dipedoman oleh faktor naqliah (wahyu) sebagai asas petunjuk (hudan).

Asas petunjuk ALLAH ini sangat penting supaya ilmu yang diungkapkan adalah ilmu benar dan kajian yang dilakukan memberi manfaat.

Kelima, ialah pendekatan manifestasi (amalan) hasil adanya kemahiran hafazan dan tradisi Qiraati, tafsir yang membawa kefahaman, tadabbur (kaji selidik) yang menyuburkan pemikiran dan menjana ilmu dan pendekatan penyerapan yang memberi makna sebenar ilmu yang mendukung makna.

Keindahan citra Islam tidak saja terdapat dalam ajarannya tetapi terlihat pada pekerti manusia dalam amalan dan perbuatan. Sebab itu al-Quran memberikan asas, Illallazi na’amanu waamilussalihat – beriman dan beramal soleh sebagai tunjangan yang amat utama berasaskan aksis hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan manusia dan sistem.

Jika metodologi Qurani ini dapat disantuni, umat Islam mampu bangkit semula menawarkan tamadun yang lebih memberi makna kepada kehidupan dan kemajuan.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)