METODOLOGI pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang Qurani sifatnya adalah penting dikuasai oleh para pendidik atau murabbi supaya ia memberi kesan kepada pembangunan insan.

Memberi fokus kepada pendekatan kognitif (akliah) semata-mata tidak cukup tanpa pendekatan membangunkan hati atau kalbu dengan sumber nakliah (wahyu).

Pada diri insan terdapat tiga faktor utama yang perlu dibangunkan. Pertama pembangunan akal supaya mampu menjana ilmu. Kedua pembangunan kalbu atau pun hati supaya  dalaman diri mempunyai ketangkasan. Ketiga pembangunan amal supaya akal-budi dijadikan sandaran dalam amalan.

Ada lima cara pendekatan pendidikan yang Qurani boleh terjadi. Pertama hafazan (pengingatan) yang berjalan sejak zaman Rasulullah menerusi proses halakah dan suffah.

Kedua, tradisi kefahaman hasil wujudnya tradisi tafsir menghubungkan unsur harfiah (teks) dengan konteks.

Ketiga tradisi artikulasi (berfikir) hasil berlakunya pendekatan tadabbur (kaji selidik). Keempat, berlakunya proses internalisasi (penyerapan) hasil dari ilmu yang benar dan bermanfaat supaya terbentuk akal budi yang menjana akhlak.

Kelima, manifestasi iaitu menampilkan watak Islami untuk menjadi contoh dan sumber teladan, amalan dan ikutan.

Tradisi hafazan berkembang dalam tradisi quttab, nizamiyyah dan madrasah. Ia telah melahirkan ilmuwan tersohor tidak saja dalam bidang diniah tetapi juga menyantuni hal-hal sains dan teknologi. Bidang ini disantuni dengan etika dan nilai Qurani yang merintis jalan tamadun. 

Menghafaz al-Quran memberi para hufaz kekuatan. Fadhilat al-Quran yang terdapat, pemahaman terhadap teks al-Quran menyebabkan rujukan kepada nas memberi kekuatan berhujah dalam kalangan dai’ dan murabbi.

Hafazan sesuatu yang amat bermakna kerana setiap kalimah yang dihafaz memberi makna yang tersendiri untuk difahami.

Al-Quran ialah kalam ALLAH. Ia terkandung khazanah ilmu yang sifatnya pelbagai. Ia terkandung ayat-ayat mengenai akidah, ibadah, syariah, akhlak, kisah untuk dijadikan ibrah (teladan) di samping pedoman saintifik untuk memahami alam, penciptaan dan gelagat manusia.

Hafazan yang terjadi memberikan seseorang kekuatan dan barakah yang tinggi.

Pendekatan kedua yang sifatnya Qurani ialah kefahaman (tafahum). Tradisi tafsir dan khulasah yang terbina menyebabkan asbabun nuzul (latar turunnya al-Quran diketahui), inti dari al-Quran didalami. Yang paling utama ialah bagaimana maksud al-Quran membentuk watak dan akhlak Rasulullah SAW seperti yang disebut oleh isterinya Aishah sebagai khuluq al-Quran.

Ia penting kerana Rasulullah SAW memiliki qudwah hasanah (contoh terbaik) untuk dijadikan sumber teladan dan ikutan melalui pekerti mulia dan akhlak karimah (terpuji). Akhlak inilah yang menjadi kunci perjuangan Rasulullah SAW kerana tanpa akhlak pada diri manusia, watak haiwani bakal mengambil tempat.

Kefahaman adalah kunci dalam pembelajaran. Teori pembelajaran menyatakan bahawa jika kefahaman tidak berlaku pembelajaran tidak akan mengambil tempat. Sebab itu tradisi tafsir menjadi terlalu penting membina kefahaman yang tidak saja bersifat tekstual (harfiah) tetapi juga kontekstual yang menghubungkan al-Quran dengan rahmat dan nikmat ALLAH.

Ketiga, pendekatan artikulasi (berfikir) adalah penting untuk menjana ilmu. Ilmu yang pelbagai dipedomankan oleh al-Quran memerlukan pengembangan yang kreatif supaya aplikasinya dalam hidup relevan sepanjang zaman. Justeru tradisi tadabbur (kaji selidik) melibatkan pemikiran.

Pemikiran yang merujuk kepada sumber al-Quran menjadikan ia holistik (menyeluruh). Tidak saja hal-hal yang nyata ditanggapi tetapi kaitan yang nyata dengan yang ghaib disantuni.

Kehebatan berfikir dalam kalangan ilmuwan dan ulama menyebabkan tamadun lahir. Sepanjang sejarah ketamadunan jika tidak berlaku tradisi berfikir berkembang kemajuan tidak akan lahir.

Sebab itu pada zaman Abbasiyyah dan Andalusia tradisi berfikir subur didorong oleh jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan lahirnya karya-karya besar dalam segala bidang ilmu pengetahuan termasuk, perubatan, bedah, matematik dan astronomi yang menyebabkan Barat terhutang ilmu kepada Islam.

Keempat, pendekatan penyerapan (internalisasi) menghubungkan ilmu yang benar dan bermanfaat supaya terbina akal-budi yang tinggi dan menyebabkan kesan penghayatan berlaku. Kelima, kesan penghayatan menjadi asas kepada manifestasi iaitu menterjemahkannya kepada amal soleh. Inilah puncak hasil wujudnya pendekatan Qurani dalam pengajaran-pembelajaran.

 

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)