MAKSUD hati budi di sini ialah faktor dalaman diri manusia yang jernih sifatnya dan memancarkan amalnya yang jernih. Hati budi terhubung erat dengan niat dan terbentuk kualiti mutmainnah yang memandu pola amal supaya sentiasa dalam tunjangan iman dan jiwa muttaqeen.

Membangun hati budi terkait rapat dengan ilmu yang benar dan bermanfaat. Ilmu yang benar datangnya daripada ALLAH iaitu al-Quran dan terlihat suluhnya menerusi Sunnah Rasulullah SAW. Integrasi naqliah (wahyu) dan aqliah menyebabkan terbinanya tasawur yang menepati dan fikrah yang sifatnya menyantuni.

Al-Quran memberikan manusia petunjuk sebagai asas binaan insan ululalbab (insan yang mengetahui) yakni berupaya berfikir baik, sifatnya rohaniah, serta amaliah pekerti yang membangun teladan. Hati dan kalbu boleh menjadi lompang jika makna daripada al-Quran dan as-Sunnah dihayati.

Memahami faktor zahiri semata tidak memadai dalam binaan tasawur. Ia perlu dilengkapi dengan menghayati faktor batini yang merintis nilai jujur, ikhlas, tulus, amanah dan adil supaya pancaran hati budi diterjemah dalam amal.

Manusia itu sendiri mempunyai akal dan fikir, yang mampu menjana ilmu. Ilmu yang terpancar hasil pemahaman terhadap faktor ghaibiyyah memberi manusia kekuatan berimbang dengan memahami hal yang tampak dan nyata. Al-Quran amat membantu manusia memahami hal yang ghaib selain pancaindera yang memiliki keterbatasan dalam mencerap sesuatu.

Manusia pasca moden yang sifatnya mekanistik sudah terlalu jauh kehilangan faktor batini dan ghaibiyyat dan menghubungkan rasionaliti sebagai segala-gala. Memahami alam dan kehidupan dikaitkan dengan faktor nature. Manusia terjadi secara kebetulan. Teori Dentuman Besar (Big Bang) masih sifatnya fenomena dan mekanistik yang sama sekali terputus dengan konsep Pencipta.

Membangun hati budi mempertalikan faktor fikir dan zikir secara seimbang. Faktor fikir dalam fenomena akliah bertaut dengan faktor zikir dalam fenomena naqliah. Al-Quran terkandung ilmu dan mukjizat. Ia bukan kitab sains tetapi terdapat banyak ayat mengenai pedoman saintifik yang menakjubkan. Bila fikir dan zikir bertaut ia memberi makna kepada diri, hati dan amalan. Fikir dalam binaan ilmu yang benar dan bermanfaat mempunyai kekuatan dan zikir yang menghubungkan diri dengan kebesaran dan kewujudan ALLAH melengkapi apa yang difikirkan.

Meyakini bahawa ALLAH wujud dalam lingkungan fikir ialah adanya alam ini. Alam ini menjadi bukti yang sangat nyata tentang berlakunya penciptaan. Sesuatu yang dicipta diuruskan pergerakan dan perjalanannya. Alam angkasa raya yang terdapat berbilion bintang dan galaksi bergerak dengan teratur dan tertib.

Tidak sesak dan mengalami perlanggaran melainkan dengan takdir-Nya. Faktor zikir yang menghubungkan diri dengan kekuasaan ALLAH membina keyakinan bahawa sesuatu itu tidak bergerak dengan sendiri melainkan ada Kuasa yang Maha Berkuasa menguruskannya. Itulah ALLAH.

Keyakinan ini apabila meneguh pada hati budi ia memancarkan nilai-nilai. Nilai-nilai murni yang sifatnya Rabbaniyyah yang diamalkan oleh manusia melambangkan wujudnya pertautan keyakinan kepada kuasa ghaibiyyah terhadap manusia dan alam ini.

Keyakinan ini amat penting dimiliki oleh manusia supaya landasan berfikir dan membangun hati budi sentiasa mencerminkan sifat ubudiyah yang tinggi dengan ALLAH dalam memahami fenomena kejadian dan alam. Pancang ini apabila terbina kukuh bakal menghasilkanperibadi yang jelas ilmunya dan mantap faktor batininya dan menjadi cerminan orang yang berjiwa muttaqeen dan ululalbab.

Binaan hati budi ini asas kepada kekuatan peribadi dan watak. Ia tidak mudah tergugat dengan asakan yang bercorak pemikiran semata-mata tetapi ditautkan dengan nilai-nilai insani yang amat dituntut ada pada diri manusia. Manusia tidak harus difahamkan hanya dalam batas dan keperluan biologi dan fisiologi semata, tetapi harus terbangun unsur rohaniah yang menjadi landasan kemurniaan hati dan diri.

Tanpa kemurnian hati dan diri pedoman mengenai kebaikan dan kemakrufan menjadi lompang. Sesuatu yang difikir dan dikaji oleh manusia akhirnya bakal diterjemah dalam amalan. Sekiranya pedoman amalan tidak datangnya daripada hati budi yang jernih maka kekeruhan tindakan bakal berlaku.

* Pro Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM