MAKSUD ibadah dalam al-Quran terhubung dengan maksud diciptakan jin dan manusia. Konsep ibadah adalah terlalu murni dan luas skopnya. Ia tidak sekadar ibadah khusus yang sifatnya rohaniah tetapi juga bersifat ammah (umum) dan merentasi jalur hidup insan.

Beribadah kepada ALLAH menjadi terlalu penting sebagai tanda keyakinan hamba kepada Khaliq atau Pencipta. Kehambaan di sini membawa maksud taat, patuh, akur dan tunduk kepada perintah ALLAH. ALLAH mencipta manusia tentu dengan aturan yang tersendiri supaya hikmah kejadian manusia menyumbang kepada kesejahteraan hidup sesama insan dan juga alam.

Sebagai hamba, ALLAH bekalkan manusia dengan kekuatan akal yang membolehkan mereka berfikir dan menjana ilmu. ALLAH bekalkan kalbu supaya manusia mempunyai hati budi dan perasaan untuk menimbang dan ALLAH berikan manusia daya supaya akal budi insan dapat diterjemahkan sebagai amal soleh.

Sebagai khalifah, ALLAH bekalkan manusia dengan daya kepimpinan dan kepengikutan. Pemimpin dan pengikut harus tahu taklif atau amanah kesalingan supaya kepimpinan menjadi kuat kerana pengikut yang kuat juga, daripadanya lahir pengurusan diri, organisasi dan sistem yang terkait dengan ALLAH.

Sebab itu al-Quran diturunkan sebagai hudan linnas dan hudan lilmuttaqeen – petunjuk kepada manusia dan petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Petunjuk daripada ALLAH ini sangat penting bagi insan kerana insan pada hakikatnya berada dalam nisyan dan ghaflah – lupa atau lalai. Lupa dan lalai boleh membawa kelemahan kepada diri manusia.

Dengan kekuatan akal manusia tidaklah segala-gala untuk mengetahui rahsia perjalanan alam yang tidak bertepi ini. Kajian saintifik hanya menemukan sebahagian rahsia dan hikmah kejadian ALLAH SWT. Kemampuan manusia menguruskan muka bumi juga terbatas.

Manusia memerlukan al-Quran untuk memahami hal-hal yang nyata apalagi ghaib. Tanpa petunjuk dan pedoman ALLAH manusia akan sasaran mencari makna dan erti penciptaan. Melainkan kembali kepada sifat ubudiyyah kepada ALLAH iaitu mengakui ALLAH itu Pencipta,

Berkuasa Atas Segala dan mengurus alam ini dengan tertib, teratur dan seimbang.

Ibadah yang menjadi amalan dalam kehidupan bakal memancarkan watak mithali dan menjadi sumber ikutan yang lain. Selalunya produktiviti rohaniah seseorang Islam relatif tinggi bila solat dan puasanya baik, sedekah dan zikirnya baik.

Tetapi sebahagian besar umat Islam bila dinilai produktiviti amaliahnya relatif rendah kerana faktor rohaniah tidak dihayati bagi membina etika dan adab.

Etika dan adab sangat penting terhadap diri kerana sifatnya memandu dan mempedoman. Orang yang mempunyai etika Islami akan sentiasa menampilkan watak Islami yang boleh dijadikan sumber ikutan kepada manusia.

Begitu juga pentingnya adab sebagai asas disiplin minda, hati dan amal sebagai pengimbang kepada potensi insan. Membangunkan kekuatan akal saja tidak memadai untuk membentuk sahsiah diri tanpa hati budi dibangunkan sama supaya jalan amal dan ibadah terarah dan terpedoman.

Hikmah daripada ibadah dalam erti kata yang luas memberi kesan kepada orang lain. Orang lain dapat manfaat daripada jiwa hamba yang kita miliki dan kualiti kekhalifahan yang kita dukung.

Ibadah yang menjadi sumber penghayatan kita menjadikan kita orang yang berjiwa rukuk dan sujud. Kita menjadi orang yang telus dan tulus, adil dan amanah kerana ia datangnya daripada perintah ALLAH.

Bila ini terjadi, orang lain akan mendapat hikmah atau kebaikan dari apa yang kita lakukan. Katakan juga kita ini berilmu, maka manfaat ilmu yang kita kembangkan menjadi sumber kebaikan kepada orang lain. Orang lain mendapat pencerahan dan kita serta ilmu yang bermanfaat yang disebarkan menjadi penghubung, apalagi setelah kita pergi nanti.

Dewasa ini terdapat orang yang zahirnya beribadah tetapi watak dan pekertinya tidak membayangkan etika dan adab yang boleh dijadikan contoh ikutan. Seolah-olah solat yang dikerjakan, latihan berjemaah yang terbina tidak mampu diterjemahkan untuk menyuburkan jiwa maaruf sebaliknya sifat-sifat mazmumah masih tegar menjadi amalan.

Prasyarat untuk umat Islam maju dan dirinya menjadi sumber ikutan perlu mampu menterjemahkan maksud ibadah yang Rabbaniah kepada ibadah sebagai cara hidup dan ibadah yang memberi hikmah kepada yang lain.

Inilah kekuatan ulama dan ilmuwan silam yang sentiasa menjadikan dirinya contoh dalam pemikiran, kepimpinan, kepengikutan dan juga dalam sistem.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)