TASAWUR (pandangan semesta/ world-view) Islam adalah amat penting sebagai cerminan wajah Islam itu sendiri. Islam agama yang menyeluruh sifatnya. Tidak saja aspek rohaniah menjadi keutamaan, tetapi aspek amaliah juga menjadi tuntutan.

Tasawur Islam mendidik manusia akan kepentingan dunia yang baik (hasanah) sebagai jambatan ke akhirat yang baik juga. Pendekatan berimbang (wasat) menjadi pedoman terbaik bagaimana kehidupan dibentuk.

Islam sebagai cara hidup tidak saja menekankan kepentingan binaan dalam diri manusia tetapi juga luaran diri manusia supaya wujud keseimbangan yang membolehkan peranan yang makruf terjadi.

Sering kali terjadi binaan faktor luaran berlaku dengan baik, sayangnya ia tidak dipandu oleh faktor batiniah yang baik menyebabkan penyimpangan amal terjadi.

Titik-tolak tasawur Islam terhubung dengan keyakinan yang tinggi terhadap Pencipta, ALLAH. Asas tauhid ini menjadi landasan untuk bersifat ubudiah terhadap Pencipta. Sifat ubudiah ini apabila diterjemahkan secara menegak ia memberi pedoman kepada diri dan hubungan dengan manusia lain.

Tasawur Islam juga melihat proses Nubuwah (kenabian) sebagai pengukuh akidah tauhid. Nabi Muhammad diturunkan al-Quran sebagai sumber pertunjuk kepada manusia khususnya orang-orang yang bertakwa (hudan linnas, hudan lilmuttaqeen).

Ia menyebabkan manusia mempunyai sumber teladan dan jalur ikutan. Al-Quran memberikan batas syariah yang perlu dipatuhi supaya kehidupan terpedoman. Inilah gambaran akhlak yang menjadi matlamat membangun rijal atau insan supaya lahirnya tamadun.

Tamadun Islam terbina dengan ilmu dan amalan. Tasawur mengenai tamadun tidak saja bersifat ilmu dan karya, tetapi kecantikan diri yang terbina rasa amanah, adil, ikhlas, telus, tulus dan bijaksana dalam melakukan sesuatu.

Bila kualiti ilmu yang tinggi disantuni dengan kualiti diri yang makruf ia bakal menghasilkan amal soleh. Yang dikatakan ilmuwan Islam ialah apa yang dikatakan, itulah yang menjadi pedoman dalam hidupnya. Keindahan Islam tidak saja kepada faktor fikir dan zikir (tautan akal dan hati) tetapi juga terhadap pekerti mulia.

Sebab itu Islam amat mengutamakan ilmu dan amal sebagai asas binaan sesuatu tamadun. Umat yang bertamadun ialah umat yang mempunyai kualiti akliah yang tinggi, kualiti rohaniah yang subur dan diterjemahkan menjadi contoh amaliah sebagai sumber teladan dan ikutan.

Sifat emosional, reaktif terhadap isu, gopoh dalam perancangan dan tindakan, melampau dalam strategi dan tindakan bukanlah gambaran tasawur yang didukung oleh Islam.

Justeru umat Islam perlu menjadi contoh yang mendukung tasawur Islam yang betul dan sempurna. Umat Islam dan Rasulullah SAW menjadi saksi kepada umat manusia.

Yang ingin ditampilkan ialah Islam yang damai dan sejahtera, mengajak manusia kepada yang makruf dan menghindarkan kemungkaran, beriman kepada ALLAH supaya umat Islam menjadi umat terbaik (khairaummah – Al Imran 110).

Pengukuhan tasawur Islam yang sempurna amat penting menjadikan kita sebagai penganut Islam yang baik. Kesyumulan (kesempurnaan) Islam tidak dilihat kepada amalan rohaniah semata tetapi faktor rohaniah memberi kekuatan kepada faktor amaliah yang membawa manfaat dan barakah.

Inilah kekuatan Islam sepanjang zaman. Jika tasawur ini dihidupkan ia menjadi asas kepada binaan tamadun. Sesebuah tamadun tidak akan terbina tanpa kekuatan peribadi batin dan zahir, ilmu dan amalan.