SERING dikatakan dalam media dan kenyataan golongan mualaf, masuk Islam tidak semestinya masuk Melayu. Bangsa ialah kejadian ALLAH dan Islam adalah agama ALLAH. Antara bangsa dan agama ada titik persamaan dan ada titik perbezaan yang menuntut berlakunya proses litaarrafu atau kekenalan (Surah Al-Hujurat: 13).

Di Malaysia bila sebut Melayu hampir semuanya beragama Islam. Darjah keyakinan, pemahaman dan amalan mereka berbeza. Ada orang Melayu yang menjadi contoh Islam yang baik. Begitu juga sebaliknya.

Banyak yang ada pada sesuatu bangsa itu diwarisi daripada tradisi dan sistem kepercayaan yang terdahulu. Tradisi itu membudaya dan tidak semua budaya sesuatu bangsa itu bercanggah dengan Islam. Orang Melayu umpamanya bercakap bahasa Melayu dan terdapat ribuan kosa kata daripada sumber al-Quran di dalamnya. Proses Islamisasi berlaku. Orang Melayu memakai baju Melayu dan baju kurung yang bertudung, ia selari dengan tuntutan agama.

Orang Melayu lazimnya memakan makanan yang halal dalam cara dan resipi mereka. Ia juga memenuhi tuntutan syarak. Jika golongan mualaf memeluk Islam dan menjadikan aspek budaya Melayu yang positif dan tidak bercanggah ia tidak ada masalah. Hal ini dibangkitkan kerana terdapat orang bukan Islam memeluk agama Islam, bimbang menjadi Melayu.

Ada aspek baik yang ada pada orang Melayu yang boleh dicontohi kerana mengamalkan Islam. Yang tidak baik jangan dicontohi. Tanggapan itu seolah-olah tidak ada yang baik bagi orang Melayu yang boleh dicontohi.

Hatta ada aspek-aspek yang baik bagi budaya Cina seperti rajin, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan ia selari dengan ajaran Islam. Jangan jadikan dalih untuk tidak memeluk agama Islam kerana prasangka dan sikap rasis yang tajam.

Terima Islam seadanya kerana Islam pernah membangun suatu tamadun yang menyumbang kepada Barat dan Timur. Islam datang lebih awal di Cina dan India berbanding dengan Islam datang ke Tanah Melayu.Yang penting ialah aqidah dan ibadah kita mesti jelas. Syariat sifatnya memandu dan menunjuk jalan hukum dan kehidupan. Akhlak menjadi matlamat membangunkan diri. Menyesuaikan diri dengan tradisi dan budaya berbeza dan sifatnya tidak bercanggah dibolehkan Islam.

Orang Cina Islam menggunakan penyepit apabila makan. Ia suatu budaya dan tidak menyalahi agama asal saja jenis makanannya adalah halal. Hatta orang Melayu Islam pun tidak ada masalah menggunakan penyepit pada jenis makanan yang sesuai dengannya dan tidak timbul isu dia menjadi Cina.

Menggunakan nama Muhammad, Isa, Musa, Mariam, Khadijah, Aishah bukan asalnya nama Melayu. Ia adalah nama Nabi dan isteri-isteri Nabi. Ia adalah nama-nama Islam. Orang Melayu menggunakan nama-nama itu untuk dikenal sebagai orang Islam dan orang Cina atau India yang memeluk Islam tidak ada masalah untuk menggunakan nama-nama itu kerana asalnya bukan nama orang Melayu.

Justeru jangan jadikan asas kebimbangan dengan tanggapan sinis bahawa masuk Islam bermakna masuk Melayu. Yang baik ada pada orang Melayu dikongsi dan yang buruk tinggalkan.

Yang baik pada budaya orang Cina dan India dipelajari. Perbezaan Islam dan bukan Islam bukan terletak kepada bangsa. Ia tergantung kepada akidah yang dipegang, ibadah yang dilakukan, syariah yang diamalkan dan akhlak yang ditampilkan.

Kalau aqidah berasaskan tauhid dan tidak mensyirikkan itulah yang sepatutnya. Kalau ibadah berasaskan ibadah Rasulullah SAW, itulah sewajarnya. Kalau pedoman syariah diambil daripada pedoman al-Quran dan as-Sunnah, itulah yang disuruh. Kalau akhlak yang dimiliki mengambil contoh akhlak Rasulullah SAW, itulah yang terbaik.