PENDIDIKAN adalah proses mengadabkan insan. Adab dalam bahasa ilmu ialah mendisiplinkan akal, hati dan amal. Tujuan pendidikan ialah untuk membentuk watak dan sahsiah manusia supaya pemikirannya tangkas, hati budinya baik dan amalannya menjadi contoh ikutan.

Pendidikan hari ini lebih banyak memberi fokus kepada pemajuan kognitif (akal-fikir) dan diukur dengan pencapaian peperiksaan. Ukuran ini tidak menggambarkan pencapaian sebenar diri seseorang insan kerana pada diri manusia terdapat faktor afektif (dalaman diri) dan psikomotor (potensi jasmani) yang sifatnya menyumbang.

Cabaran kehidupan diri manusia tidak saja bersifat akliah atau intelektual tetapi ia terhubung dengan soal hati, emosi, psikik dan nafsu. Mendidik akal sewajarnya mendidik hati kerana dari hati datangnya niat dan dari niat berlakunya amal.

Dalam tradisi pendidikan Islam pendekatan nakliah (wahyu) dan akliah (pemikiran) harus berlaku secara integratif. Ia penting kerana wahyu adalah sebagai pedoman kepada akal dan ilmu yang dijana supaya ilmu sifatnya mempedoman. Tanpa pedoman ilmu, amalan akan kehilangan arah dan ia boleh membimbing ke arah kesesatan.

Pendidikan Islam tidak saja menautkan hubungan menegak dengan ALLAH (hablumminallah) tetapi juga hubungan merentas dengan manusia dan sistem (hablumminannas). Umat Islam sepatutnya berdiri atas paksi (axis) ini. Hubungan dengan ALLAH membina sifat ubudiyyah (ketaatan dan kepatuhan kepada ALLAH) dan manfaat hubungan itu kembali kepada manusia supaya amalan hidup manusia terpedoman.

Proses pengajaran-pembelajaran dalam tradisi Islam mengambil kaedah Qurani supaya bakal terhasil manusia berilmu dan juga berakhlak. Sejak zaman Rasulullah SAW lagi tradisi hafazan berkembang. Menghafaz al-Quran memberi kekuatan kepada manusia.

Al-Quran tidak sekadar sifatnya tekstual (kitab) yang sifatnya harfiah, membacanya dapat fadhilah (pahala). Tetapi al-Quran bersifat kontekstual iaitu merujuk kepada penciptaan ALLAH terhadap alam jagat (universe) dan juga manusia. Rahmah dan nikmah yang dilimpahkan dalam ciptaannya menjadi sumber tadabbur (kajian) manusia dan membimbing manusia mengakui kewujudan ALLAH dan mengiktiraf kebesaran-Nya.

Kedua, tradisi kefahaman (tafahum) perlu terjadi. Dalam sejarah Islam tradisi tafsir berkembang. Ia tidak saja dihubungkan dengan maksud yang tersurat dan tersirat dalam al-Quran tetapi memandu manusia mentafsirkan maksud kejadian dan penciptaan.

Ketiga, berfikir menjadi asas penting untuk menjana ilmu. Berfikir yang disertai dengan zikir (asas mengingati ALLAH) menyebabkan dua dimensi menegak-merentas terjadi. Ia membina rasa ketuhanan yang tinggi (God-conciousness) dan memandu manusia mendapat petunjuk.

Keempat, yang amat mencabar ialah proses penyerapan (internalisasi) supaya lahir kesan penghayatan. Kesan penghayatan ini menjadi amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana ilmu yang dijana oleh akal boleh terhubung dengan hati menyebabkan akal-budi terbina. Akal budi menjadi amat utama pada diri seseorang manusia kerana ia memimpin ke arah kebijaksanaan.

Kelima, kesan manifestasi atau amalan hasil wujudnya proses terdahulu supaya perubahan yang total terjadi. Kesempurnaan pembangunan diri insan tidak saja berpandu kepada akal yang menjana ilmu, tetapi dipedoman oleh faktor nakliah yang datangnya daripada ALLAH membekas dalam hati dan tertampil dalam amal.

Tanpa terbentuknya insan holistik keseimbangan tidak akan wujud pada diri manusia. Tasawur (pandangan semesta) yang dimiliki oleh manusia akan jadi pincang dan amalan manusia boleh jadi tempang. Integrasi akal, hati dan amal menjadi sesuatu yang amat penting dalam pendidikan Islam.

Persidangan Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977 menyatakan dualisme dalam ilmu dan pendidikan menjadi penyebab kemunduran umat Islam dalam pendidikan. Unjuran terhadap integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan dicadangkan supaya faktor nakliah dan nakliah dapat disantuni.

Unjuran ini sangat penting kerana kejayaan manusia dalam hidup dan pembangunan tidak hanya bergantung kepada kelulusan yang diterima dan kepakaran yang ada. Kelulusan yang tidak dibina dengan kekuatan etika dan nilai memungkinkan penyelewengan dan salah guna terjadi. Ilmu yang benar dan bermanfaat jika diurus oleh manusia yang berakhlak bakal membawa kebaikan kerana kualiti amanah, adil, telus dan telus yang dimilikinya menjadikan sistem bakal diurus dengan baik.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM