SEBAHAGIAN masyarakat Barat beranggapan bahawa sains dan teknologi itulah agama. Bagi mereka sains dan teknologi banyak memberi manfaat kepada manusia, bukannya agama dalam maksud yang luas.

Nietze seorang ahli fikir Barat menganggap “agama sudah mati”. Penolakan faktor agama di Barat lantaran agama itu berbicara hal-hal yang ghaib dan tidak boleh diuji di makmal dan ia suatu dogma (khayali) hasil rekaan manusia untuk menyelesaikan masalah psikik dan emosi yang dihadapi.

Lalu dari zaman moden yang lepas bebas dari ikatan agama, manusia di Barat memasuki era pasca-modernisme yang menyatakan bahawa rasionaliti adalah segala-gala dan ia membawa suluh kepada kebenaran. Dengan sendirinya agama dilihat sebagai tidak penting.

Agama-agama yang ada banyak bersandarkan kepada suatu sistem kepercayaan yang terdedah kepada pertikaian dan kesahihan akal yang munasabah.

Keyakinan kepada tuhan-tuhan sifatnya berubah-ubah dan doktrin beragama juga berubah sama.

Islam tidak saja memiliki sistem kepercayaan yang percaya terhadap Tuhan Yang Satu iaitu ALLAH dan memiliki doktrin yang tidak berubah-ubah. Sejak awal agama ini lahir asas tauhid tetap menjadi sandaran dan faktor ibadah dan syariah saling berkait bagi mengaturkan kehidupan manusia sebaik mungkin.

Dalam sejarah gereja dan negara di Barat berlaku pertentangan yang tajam antara hakikat sains dan juga doktrin agama Kristian hingga menyebabkan saintis seperti Galileo-Galili menghadapi cabaran yang perit mengemukakan idea-idea saintifiknya.

Ini tidak berlaku dalam zaman ketamadunan Islam yang mendahului Eropah. Al-Quran itu sendiri menjadi sumber pedoman yang saintifik. Al-Quran sendiri menganjurkan umat berfikir (ya’qilun), berfikir status tinggi (ya tafaqqarun) dan melakukan kajian serta penyelidikan (ya tadabbarun) supaya mereka menjadi ululalbab (manusia yang memahami).

Ia terlihat dengan lahirnya ilmuwan Islam yang faham al-Quran dan dalam masa sama mengkhusus bidang kepakaran sains dan teknologi. Al Khuarizmi umpamanya hafaz al-Quran pada awal umur dan pakar dalam bidang matematik. Ibn Sina yang hafaz al-Quran dan menguasai 12 bahasa, menulis 273 kitab-kitab besar, pakar dalam ilmu perubatan. Abu Qasim Az Zaharawi seorang hufaz, pakar dalam bidang surgeri atau ilmu bedah dan ramai lagi tokoh dalam bidang lain yang berjaya menyantuni ilmu al-Quran dengan ilmu sains dan teknologi.

Sains adalah ilmu yang mengkaji tentang fenomena atau kejadian. Saintis sekular mengkaji alam dan kehidupan seadanya tanpa melihat hikmah di sebalik kejadian itu. Saintis Islam tidak saja melihat fenomena sebagai kejadian daripada ALLAH tetapi sekali gus melihat hikmah bagi setiap kejadian sebagai tanda-tanda kebesaran ALLAH.

Teknologi ialah ilmu menghasilkan alat bagi memudahkan kehidupan ini. Alat atau teknologi akan hanya memberi makna sekiranya ia membangun akal-budi insan dan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia.

Landasan inilah yang dibawa oleh Islam. Islam tidak menolak manfaat berbanding yang terdapat dari penghasilan sains dan teknologi Barat dan Timur. Cuma Islam amat mementingkan faktor nilai guna terhadap teknologi supaya ia tidak disalahgunakan.

Komputer umpamanya ada manfaat berbanding yang tinggi. Sekiranya teknologi ini digunakan untuk menyebarkan maklumat yang tidak mendukung kebenaran, ia adalah menyalahi. Kejayaan sains dan penggunaan teknologi komputer ini akan lebih bermakna sekiranya perisian dan programnya terkandung bahan-bahan dan ramuan yang membina akal-budi insan supaya insan menjadi berilmu dan menjalani hidup yang baik, makruf dan sejahtera.