KONSEP tasawur yang telah dibincangkan mengambil pendekatan yang menyeluruh dan merangkumi. Sesuatu yang dihasilkan tidak hanya dilihat dalam perspektif luarannya tetapi memerlukan pemahaman tentang kekuatan dalamannya dan menjadikan pendekatan ini menyumbang secara seimbang.

Pendidikan tidak saja suatu proses pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran daripada guru kepada murid tetapi ia adalah proses transformasi diri. Sikap mengalami perubahan, pemikiran seimbang terjadi, nilai-nilai sifatnya merentasi lantaran ilmu yang benar dan bermanfaat disampaikan.

Secara konvensional (biasa) pendidikan tidak lebih sebagai proses pemajuan kognitif dengan skop kokurikulum dan ekstra kurikulum yang terbatas kandungannya. Pendekatan latih-tubi menjadi keutamaan supaya kemahiran mengingat terjadi untuk diluahkan nanti dalam peperiksaan. Penilaian terhadap pencapaian seseorang pelajar diukur hasil peperiksaan.

Tasawur sebenar pendidikan yang Islami tidak saja menjadikan faktor akal (kognitif) dimajukan tetapi merangkumi faktor hati dibangunkan dan faktor amal dijadikan sumber kekuatan dengan akhlak yang terpuji.

Pembangunan rijal (manusia) sifatnya menyeluruh dan mampu menterjemahkan pemikiran, idea dan teori dalam amalan. Sikap yang positif berubah, tingkah-laku yang berdaya maju, akhlak yang menjadi perisai hidup seharusnya menggambarkan hasil pendidikan atau rijal itu sendiri.

Cabaran sebenar manusia dalam hidup tidak sekadar pemikiran hasil proses kognitif (akal) tetapi sekali gus melibatkan proses binaan hati supaya antara fikir dan hati merintis amal yang lebih manusiawi. Faktor manusiawi ini penting kerana masa kini bertambah ramai manusia memiliki sifat haiwani melupakan pentingnya amanah, kejujuran, keikhlasan, keadilan dan rasa simpati yang tinggi kepada orang lain yang memerlukan.

Islam mendidik manusia tidak saja mempunyai ilmu dan kemahiran tetapi bagaimana proses keilmuan dan pendidikan mampu menjadikan manusia sebagai insan soleh yang mempunyai hubungan menegak dengan ALLAH dan hubungan merentas dengan manusia dan sistem.

Sifat manusia yang dijadikan berpasang-pasang, berbangsa-bangsa adalah suatu fitrah. Pendekatan kekenalan (litarrafu) seperti terkandung dalam dalam Surah al Hujurat : 13 memberikan manusia pedoman betapa penting sifat kesalingan menyubur supaya komunikasi yang manusiawi terjadi.

Ayat ini juga menyebutkan “yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang berjiwa muttaqeen”. Jiwa muttaqeen atau God-Conciousness ini menjadikan Pencipta sebagai sandaran keyakinan dengan jiwa kehambaan yang patuh, taat, akur dan tunduk dan diterjemahkan dengan watak kekhalifahan yang sifatnya amaliah.

Asas ini menjadi sangat penting dalam tasawur pendidikan kita kerana yang ingin dididik dan diasuh supaya wataknya berubah dan dirinya menjadi sumber ikutan dan teladan orang lain.

Bayangkan hasil pendidikan yang membentuk watak orang berilmu dan berkemahiran disuburkan dengan nilai-nilai murni dan pekerti yang baik bakal menjadi manusia yang memiliki kualiti manusiawi yang tinggi. Kalau di tangan mereka diserahkan amanah pengurusan dan kepimpinan kualiti kepengikutan akan jadi baik.

Kekacauan dan konflik yang terdapat hari ini akibat ketidakjelasan tasawur pendidikan yang menghasilkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tetapi tidak memiliki etika dan nilai yang sifatnya menyantuni dan melahirkan rasa ego yang tinggi dan pekerti yang buruk dan membawa kesan tidak baik kepada pengurusan sistem.

Justeru dalam proses pendidikan yang berasaskan tasawur yang Islami akal perlu dibangunkan sebagai sumber menjana ilmu. Kemahiran perlu disuburkan supaya jalan amal di persiapkan, akhlak yang baik perlu dititipkan supaya nilai guna menjadi terarah.

Kerosakan sistem dan cara hidup akan terjadi sekiranya kecenderungan salah guna wujud pada diri seseorang manusia akibat pembentukan akal budi dan pemikiran menjadi tidak seimbang dan harmoni.

Falsafah pendidikan negara dan tasawur pendidikan Islami adalah selari untuk melahirkan insan seimbang dan harmoni tapi sayangnya ia tidak diterjemahkan secara kognitif dan afektif menyebabkan produk manusiawi kurang lahir. Sesuatu harus dilakukan supaya makna pendidikan itu tidak berligar sekadar pelajaran dan latihan semata tetapi perlunya pendidikan yang membangun budi pekerti disuburkan.


* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM