KONSEP tasawur (world-view atau pandangan semesta) adalah sesuatu yang asas dalam memahami kewujudan sesuatu. Ia mengambil pendekatan menegak (hubungan dengan ALLAH) dan merentas (hubungan dengan manusia dan sistem).

Aksis (tunjangan) ini sangat penting dalam binaan tasawur supaya pandangan semesta (world-view) terhadap sesuatu menjadi lebih sempurna.

Tasawur Islami sebagai landasan ilmu menghubungkan ilmu naqliah dan ilmu akliah dalam satu kesatuan yang memberi makna bagi kehidupan manusia. Citra Islam berasaskan tasawur Islami menyebabkan tautan dengan Khaliq (ALLAH) mengukuh dan tautan dengan manusia dan sistem terjadi.

Tautan ini merintis kedekatan manusia dengan ALLAH (taqarrub Ilallah) sebagai Pencipta dan kehampiran manusia dengan rahmah dan nikmat-Nya sebagai sumber utama mendapatkan ilmu.

Ilmu tidak sekadar sesuatu yang diperoleh hasil pemikiran, pemerhatian dan uji kaji, tetapi sumber rahmat dan nikmat yang amat banyak dicipta oleh-Nya menjadikan ilmu tentang yang nyata (empirikel) dan yang ghaib saling menyantuni.

Pada langit dan bumi terdapat sumber ilmu yang perlu diteroka. Pada gunung-ganang dan lautan terdapat petunjuk tentang kejadian ALLAH. Pada tanah-tanih, pokok-pokok dan cuaca terdapat hikmah yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia.

Ilmu dalam konteks tawassur Islami bukan sekadar dimanfaatkan untuk kepentingan rohaniah dan ritual semata-mata. Aspek rohaniah yang dimanifestasi dengan amal bagi menghasilkan gelagat contoh akhirnya menjadi sumber ikutan dan teladan. Tasawur sebegini adalah penting supaya citra Islam terpancar dalam membina kekuatan dalaman tetapi terlihat kepada amal perbuatan.

Inilah kelemahan yang terjadi dalam kalangan umat dimana ibadah khususinya kelihatan hebat tetapi proses internalisasi (penghayatan) tidak terjadi menyebabkan cara hidup Islam tidak terserlah.

Di sini pentingnya tasawur Islami dibina supaya faktor rohaniah terkait rapat dengan amal-perbuatan supaya produktiviti amaliah relatif tinggi dan memberi kesan kepada perubahan dan pembangunan tamadun.

Justeru tasawur Islami yang membangun fikrah Islami amat mustahak untuk memastikan perubahan menyeluruh terjadi. Tanpa perubahan holistik ini islah dan tajdid tidak akan berlaku dan umat Islam bakal menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.

Sebab itu pendekatan dakwah dan tarbiah dalam sistem yang formal dan tidak formal menuntut binaan fikrah Islami terjadi. Syahadah yang dilafazkan tidak sekadarnya, ia sebagai ungkapan yang diulang-ulang tetapi bagaimana keyakinan kepada ALLAH sebagai Pencipta memberikan asas kesatuan berfikir mengenai wahdah (kesatuan) hubungan antara yang dicipta dengan Pencipta.

Ibadah yang dilakukan tidak sekadar lambang taabudi makhluk dan Khaliq (ALLAH) tetapi ia difahami secara luas dan memberi implikasi kepada kehidupan itu sendiri. Solat tidak sekadar memperlihatkan perbuatan rukuk dan sujud tetapi bagaimana jiwa kehambaan mampu merintis jalan patuh, taat, akur dan tunduk terhadap ALLAH tetapi juga sistem.

Pemahaman tentang syariah tidak hanya dalam batas prinsip dan teori tetapi memerlukan kaedah aplikasi supaya ia memberi pedoman kepada amalan dan perbuatan. Kehidupan dan sistem yang patuh kepada syariah mampu membina kesejahteraan, ketertiban dan keadilan.

Akhlak karimah tidak hanya dalam batas kefahaman dan niat tetapi tasawur Islami menuntut ia terlihat dalam setiap aspek amal dan perbuatan supaya keindahan citra Islam itu dilihat dan dirasakan kebaikannya.

Justeru, ilmu Islam yang membentuk tasawur menghasilkan jiwa ihsan (God-conciousnees) yang tinggi kerana sifat taabudi (kedekatan dengan ALLAH) menjadi pedoman terbaik memandu tabiat dan tingkah laku manusia supaya ditertibkan dengan pertimbangan reda ALLAH.

Reda ALLAH ini adalah puncak pengharapan manusia kerana ia berkaitan dengan barakah. Konsep barakah ini bukan sifatnya kebendaan semata-mata tetapi ia memancarkan ihsan ALLAH kepada hamba dalam membina keteguhan rohaniah berasaskan aqidah tauhid yang kental, iman yang kukuh dan takwa yang tinggi.

Inilah sebenarnya landasan citra Islam yang amat bererti kepada warga umat untuk membebaskan diri mereka dari belenggu kejumudan dan kemunduran dan kembali memartabatkan diri sebagai jalan membina tamadun.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan, UIAM