KEPENTINGAN epistemologi (teori, asas) ilmu dalam Islam adalah sesuatu yang sangat mustahak. Sifat epistemologi ilmu dalam Islam tidak sama dengan epistemologi ilmu di Barat.

Islam menjadikan al-Quran (naqliah) sebagai sumber utama ilmu, di samping pemikiran (akliah). Tetapi Barat menolak faktor agama dijadikan sumber ilmu dan menjadikan ratio atau minda itu segala-gala. Faham sekular (memisahkan ilmu dan pendidikan dari agama) sangat kuat berkembang.

Konsep pasca-moden yang berkembang kini sebenarnya menjadikan rasionaliti sebagai sumber kebenaran. Sedangkan dalam Islam rasionaliti hanya suatu faktor, tetapi faktor yang paling utama adalah al-Quran dan As Sunnah. Islam tidak menolak faktor pemikiran yang diperoleh manusia tetapi hendaklah diserasikan supaya sifatnya berguna dan memberi manfaat.

Mengapa al-Quran dikatakan sebagai sumber utama dalam binaan epistemologi ilmu Islam. Al-Quran terkandung petunjuk mengenai sesuatu sama ada ia bersifat nyata atau pun ghaib. Al-Quran memberi kita pedoman mengenai hal-hal aqidah, ibadah, syariah dan akhlak.

Al-Quran juga menampilkan kisah-kisah manusia terdahulu sebagai ibrah (teladan) untuk manusia hari ini jadikan teladan kerana sifat kisah mengulangi. Al-Quran memberi pedoman sains dan teknologi untuk memahami isu penciptaan langit dan bumi, manusia dan makhluk, rahmat dan nikmat supaya daripadanya manusia dan kehidupan mendapat barakah.

Dengan jiwa tadabbur (kajian dan telitian) manusia melakukan penyelidikan dengan kekuatan akal, pemerhatian dan pemikiran supaya wujud keserasian pedoman al-Quran dan pemikiran dan ia menjadi landasan kepada isu epistemologi.

Inilah yang dilakukan oleh ilmuwan Islam terdahulu menjadikan al-Quran sebagai suluh pemikiran dan menghasilkan adunan akliah-nakliah supaya ilmu yang diperoleh terbina hasil pengalaman tadabbur yang tidak hanya berasaskan akal semata-mata, tetapi ditautkan dengan faktor naqliah (wahyu) yang sifatnya memberi pencerahan.

Isu epistemologi ilmu amat berkait rapat dengan proses pembinaan tasawur (pandangan semesta) yang Islami. Antara persoalan yang membangun fikrah manusia hari ini adalah masalah tasawur ini.

Jika tasawur terbina atas asas epistemologi yang Islami, cara berfikir dan melihat manusia mengenai sesuatu sifatnya lebih menyeluruh, seimbang dan sepadu. Contohnya persoalan benda adalah penting untuk manusia kerana ia adalah ciptaan ALLAH dan rekaan manusia dan berguna untuk kesejahteraan hidup. Tetapi sekiranya benda menjadikan manusia bersifat kebendaan dan melihat kebendaan adalah segala-gala, ia sudah menyimpang dari asas yang fitrah.

Teknologi umpamanya dalam tasawur Islami sifatnya sebagai alat dan bukannya matlamat. Pembangunan teknologi tinggi (high-tech) oleh manusia harus seiring pembinaan sentuhan keinsanan (high-touch) supaya faktor etika dan ihsan memandu aplikasi teknologi supaya sifatnya membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada manusia.

Epistemologi ilmu seperti inilah yang diperlukan oleh manusia supaya jalur hidup manusia lebih terarah dan memberi manfaat kepada manusia lain (yanfaunnas). Kalau tidak, berpegang kepada akal semata-mata tanpa pedoman etika dan nilai boleh menyebabkan penyimpangan aplikasi terjadi dan menimbulkan musibah kepada manusia.

Yang amat penting bagi kita pengguna sains dan teknologi adalah sifat ubudiyyah (kepatuhan dan ketaatan yang tinggi) kepada ALLAH kerana ALLAH SWT memberi kita pedoman yang Qurani supaya kehidupan yang fitrah dilalui berasaskan syariat-Nya.

Sebab itu epistemologi ilmu penting dibangunkan menerusi proses integrasi ilmu dan Islamisasi pendidikan dalam sistem pendidikan kita kerana kita amat memerlukan modal insan atau pembangunan sumber daya manusia yang perspektif pemikirannya seimbang dan sifat wataknya melengkapi.

Sistem kita tidak memerlukan faham sekular (memisahkan agama dari ilmu) dan pendukung faham liberal (kebebasan hak asasi tanpa batas) kerana ianya akan mengukuhkan faham dualisme yang memisahkan faham agama dan akademik dan menyebabkan kemunduran bakal terjadi kepada umat Islam.

Menyantuni ilmu nakliah-akliah yang menjadi asas kepada epistemologi ilmu Islami adalah suatu cabaran yang menuntut perancangan rapi, strategi pelaksanaan bijaksana, persiapan teratur supaya antara usaha dan pelaksanaan bakal menghasilkan sumber daya yang memiliki dua kekuatan iaitu kekuatan dalaman diri yang sifatnya menjiwai dan kekuatan luar diri yang sifatnya dihayati.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)