ADAB merujuk kepada pekerti dan sahsiah. Kata ilmuwan adab adalah disiplin akal yang membawa natijah pemikiran yang baik, disiplin hati yang memberi kekuatan dalam diri dan disiplin amal yang beri fokus kepada fikiran dan amalan yang dipedoman oleh hati.

Dalam tradisi Islam pemikiran (thought) dan amal (action) harus seiring. Ramai dalam kalangan ilmuwan yang memiliki pemikiran tapi tidak seiring dengan tindakan. Falsafah pemikirannya lain dan amalnya lain. Ia tidak meninggalkan contoh dan sumber ikutan.

Faktor contoh dalam diri manusia menjadi sesuatu yang amat utama. Rasulullah SAW menjadi qudwah dan sumber contoh kepada pengikutnya. Sunnahnya menjadi sumber teladan sebagai adab mencontohi pemimpin. Tidak timbul sifat taksub yang melulu seolah-olah Nabi harus disembah seperti kita menyembah ALLAH.

Adab dalam berilmu datangnya dari sumber yang sahih iaitu rujukan kepada nas al-Quran dan kesahihan hadis. Fikrah Qurani yang terbina hasil jiwa tadabbur yang berkembang merupakan kurnia ALLAH dan sifatnya masih terbatas.

Terdapat juga ilmuwan atau orang dikatakan terdidik sukakan sanjungan (glorification). Lebih banyak pujian diberikan terhadap pemikirannya kelegaan terbayang pada dirinya. Ianya tidak boleh dikritik. Kalau dikritik atau diberi teguran ia merasa rimas dan tidak senang.

Orang yang tinggi hati-budinya mempunyai jiwa tawaduk yang tinggi. Sifatnya merendah dan rasa ubudiyyahnya kepada ALLAH hebat sekali. Ruh ul solat yang membawa kepada jiwa rukuk dan sujud dihayati supaya sifat menyantuninya terserlah.

Bila ia menyatakan pemikirannya rasa tawaduknya tinggi dengan menyatakan “fikiran saya mungkin bermanfaat dan mungkin ada kelemahan, kalau ianya baik ambillah dan kalau ianya mendatangkan mudarat tinggalkanlah”. Ucapan dan tulisan diakhiri dengan “Wallahualam”.

Imam as Shafie seorang tokoh yang berjiwa besar dalam perbincangan mengenai sesuatu perkara sering melafazkan, “pandanganku mungkin betul dan mungkin salah. Ambillah yang betul." Sikap terbuka seperti ini menjauhkan diri dari sifat ujub dan sombong seolah-olah sesuatu pandangan tidak boleh dinilai atau dikritik. Adab dalam berbeza pendapat yang terangkum dalam kaedah adabul ikhtilaf tidak sedemikian.

ALLAH tidak mengurniakan kepada seseorang tokoh dan pemikir dengan kesegalaan. Seseorang tokoh ada kepakaran dan keahliannya. Tokoh lain ada juga kelebihan yang dimiliki dalam bidang tertentu. Jiwa jamai’ membolehkan sikap saling melengkapi terjadi. Adab sebegini kalau berlaku memberi kekuatan yang baik dan boleh memajukan ummah.

Bersikap terbuka dan berlapang dada bila mengemukakan sesuatu pendapat atau pandangan membayangkan jiwa besar seorang insan kerana kita bukanlah maksum. Tidak semua daripada kita adalah benar dan bermanfaat belaka dan tidak semua daripada orang lain salah semua. Pemikiran kita terdedah untuk diberi penilaian oleh orang lain. Ia mengelakkan sifat ujub dan sombong dalam berilmu. Pepatah Melayu ada menyebutkan ikutlah resmi padi semakin berisi semakin tunduk. Pepatah ini penting dihayati supaya ilmu dan pemikiran mendatangkan barakah.

Penyakit ego-sentrik ini adalah pancaran nafsu amarah yang natijahnya membawa kepada keadaan tidak sihat. Ia kadang-kadang terbawa-bawa dalam kegiatan jemaah dan merasakan kehebatan jemaahnya tiada tandingan. Lalu kadang-kadang memiliki kecenderungan memperlekeh jemaah lain.

Sebuah taman bunga yang cantik dan harmoni adalah dengan tumbuhnya pelbagai jenis bunga yang sifatnya mengindahkan dan baunya mengharumkan. Jangan ikut gelagat bunga yang berduri yang lagaknya sering menggunakan durinya untuk menyinggung yang lain.

Kehilangan adab pada diri insan menyebabkan kecenderungan konflik terjadi. Jiwa jemaah tidak dihayati sebagai adab menyantuni perbezaan. Rasulullah SAW menyatakan perbezaan dalam kalangan umatku adalah rahmat. Amat penting menyantuni yang lain dengan jiwa tawaduk yang tinggi menjadi adab utama kepada kita melalui pendekatan litaarrafu atau sikap kekenalan yang tinggi kerana manfaat darinya adalah besar.

Pemikiran Islam tidak boleh disampaikan secara gopoh tanpa memahami  waqi’ (realiti) dan personaliti. Menyantuni madu’ (sasaran) menuntut hikmah dan adab. Tanpanya dakwah kurang berkesan. Asbab yang ikut jalur adab dan hikmah kena datang dari kita dan pemberian hidayah adalah milik ALLAH.

 

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia