MANUSIA pada hakikatnya dilahirkan dalam keadaan fitrah. Proses pendidikan yang berlaku sejak dalam perut ibu, lahir ke dunia, melalui dunia kanak-kanak, remaja dan dewasa tidak dibentuk dengan acuan yang betul. Lalu fitrah diri berubah dengan pengaruh didikan dan persekitaran serta menyebabkan binaan watak dan akhlak tidak seperti sepatutnya.

Pendidikan agama menjadi demikian terbatas. Lantaran ibu bapa Islam secara keturunan anak-anak juga begitu. Proses pengilmuan dan pendidikan di rumah tidak terjadi. Ia bergantung kepada apa yang berlaku di sekolah. Sedangkan makna pendidikan bagi anak-anak ialah kesinambungan di rumah dan sekolah.

Lalu anak-anak membesar dalam kekontangan ilmu agama untuk berdepan dengan cabaran hidup yang pelbagai. Tanpa kekuatan kefahaman agama menyebabkan ramai yang tewas di perjalanan menyebabkan kualiti diri umat Islam rapuh dan mudah terjebak dengan amalan berdosa dan kemungkaran.

Kepayahan di tahap ini ialah pemikiran sudah terbentuk, sikap sudah terbina dan amalan hidup menjadi lazim dan tabiat sudah menyebati. Untuk mengembalikan semula kepada fitrah diri jalannya tidak mudah dan memerlukan kecekalan yang tinggi serta kesabaran yang kuat supaya titipan rohiyyah terjadi.

Titipan rohiyyah ialah menerusi dakwah dan tarbiah yang bertunjangkan ilmu dan keinsafan supaya manusia kembali kepada fitrah dirinya. Inilah jalan yang dipilih oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabie-tabien, para dai dan murabbi di sepanjang zaman supaya dengan ilmu yang benar, keinsafan yang tinggi mengenai diri terbukti mampu membawa manusia ke jalan kembali.

Dakwah membawa maksud menyeru, memanggil dan mengajak manusia kembali kepada kefahaman dan amalan Islam yang sebenarnya. Cetusan ke arah ingin kembali kepada fitrah tidak memadai. Ia harus diikuti dengan tarbiah (didikan) sebagai tindak-ikut yang menjadikan manusia terus terpedoman dan terbimbing.

Pedoman dan petunjuk adalah dua perkara penting yang diperlukan oleh manusia. Pedoman yang datangnya daripada dai dan murabbi serta petunjuk yang datangnya daripada ALLAH bakal membentuk watak insan yang fitrah sifatnya.

Hidup itu sendiri memerlukan ilmu dan contoh amalan. Ilmu ibarat cahaya dan membawa pencerahan kepada diri. Amalan baik yang dilakukan oleh orang lain menjadi sumber ikutan dan teladan. Teladan ini bila diwarisi ia menjadi sumber contoh orang lain pula.

Lama-kelamaan ia membina suatu jemaah yang menyebabkan umat Islam menjadi kuat dan rasa persaudaraan menjadi teguh dan kukuh.

Kembali kepada fitrah diri ialah kembali kepada asas keimanan dan ketakwaan. Keimanan membawa kita percaya dan yakin akan kewujudan ALLAH dan kekuasaanNya serta ketakwaan menjadikan keyakinan itu semakin teguh dan ia mempedoman diri manusia dalam percakapan, perbuatan dan juga amalan kerana apa saja yang dilakukan sentiasa dalam pertimbangan bahawa ALLAH Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Inilah asas yang menjadikan diri mukmin dan muhsin iaitu martabat tinggi yang memberikan manusia kekebalan dari fahsya’ dan mungkar. Imuniti atau kekebalan ini sangat penting pada diri seorang Islam kerana daripadanya manusia boleh beza hak dan batil, makruf dan mungkar, salah dan benar akan sesuatu.

Kembali diri kepada fitrah insan telah pun terjadi pada masa yang lalu, boleh terjadi pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Pedomannya ialah kecekalan melakukan dakwah bil lisan (nasihat) dengan istiqamah, dakwah bil hal (contoh amalan) supaya mad’u atau sasaran mempunyai sumber ikutan, dan tekno-dai iaitu tuntutan terkini yang perlu diraikan.

Jika ia terjadi secara terancang mengambil pendekatan, bil hikmah, walmauizatil hasanah, wajadilhum billati hia ahsan – dengan hikmah, nasihat yang baik dan hujah yang terbaik (Surah An Nahl:125) dengan kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi manusia mampu kembali kepada fitrah diri kerana selama ini Islam manusia adalah Islam keturunan dan warisan, menyebabkan ilmu yang benar tidak meresap ke dalam akal dan hati menyebabkan kejahilan terus berlaku dan kemungkaran merajalela.

Kembalinya manusia kepada fitrah diri adalah impian terbaik seorang dai dan murabbi kerana apabila cahaya telah tiba, kegelapan akan luput. Apabila jiwa taabudi (yakin dan patuh kepada Pencipta) telah mengukuh dalam hati dan keyakinan ia memberi pertanda seorang insan telah kembali kepada diri menepati maksud kembali kepada fitrah insan yang amat dituntut oleh Islam. Ia adalah puncak yang amat diidamkan oleh manusia fitrah yang didukung oleh iman dan takwa kerana natijah akhirnya manusia akan kembali kepada amal soleh dan solehah.

* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)