AL-QURAN dalam Surah Az Zumar ayat 9 menyebutkan adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Jawapannya sudah tentu tidak sama. Orang yang tidak berilmu berada dalam kejahilan sementara orang berilmu ibarat sudah menerima cahaya. Si jahil sering berjalan dalam kegelapan dan boleh membawa kepada kesesatan.

Dalam tradisi Islam menuntut ilmu itu adalah fardu bagi lelaki dan perempuan. Mempelajari fardu ain adalah wajib dan mempelajari fardu kifayah juga suatu keperluan. Fardu ain menghubungkan diri dengan ALLAH dalam hal-hal aqidah, ibadah dan syariah dan fardu kifayah lebih banyak memberi tumpuan kepada kaitan rohaniah dengan amalan dalam kehidupan.

Orang-orang Arab pada zaman awal di Makkah sudah ada agama dan sudah ada kepercayaan yang diwarisi daripada nenek-moyang mereka. Rasulullah SAW yang membawa risalah tauhid iaitu mengesakan ALLAH. Mereka jahil memahami Tuhan yang esa. Mereka dikatakan jahiliah kerana ilmu mengenai ALLAH belum dapat diterima.

Perjuangan Rasulullah SAW di Makkah dan Madinah memberi asas kepada akidah tauhid dan pengalaman syariah supaya amalan syirik tidak berlaku. Seperti juga para Nabi dan Rasul terdahulu ajakan kepada aqidah tauhid tidak semua diterima, malah berlaku penentangan yang serius.

Wahyu ALLAH yang turun membawa bersama risalah sebagai sumber ilmu yang benar. Malangnya mereka menyembah patung-patung dan berhala dan membawa mereka kepada kesesatan. Jalan dakwah Rasulullah SAW tidaklah mudah kerana cabarannya adalah besar. Tetapi al-Quran sebagai sumber ilmu akhirnya membentuk umat Islam sebagai umat contoh dengan menjadikan diri Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah untuk dijadikan sumber ikutan di sepanjang zaman.

Di puncak tamadun Islam penyebaran dakwah dan penyuburan tarbiah terjadi dan ilmu berkembang sehingga melahirkan tamadun. Kitab-kitab dalam segala bidang ilmu dikarang dan dijadikan sumber rujukan dan ia mendorong ilmuwan Barat menterjemahkan ke dalam bahasa mereka terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Akibat kejahilan dan keengganan menerima kebenaran lahirlah berbagai kefahaman dan kepercayaan yang bercanggah sejak dari dulu sehingga kini. Ilmu daripada ALLAH itu sifatnya pelbagai. Ia merentasi dari ilmu aqidah yang menjadi asas kepada ilmu urus diri dan berkembang kepada ilmu mengurus sistem.

Ilmu al-Quran menunjuk jalan kepada etika dan amalan yang baik supaya umat yang beriman menjadi umat contoh, mengamalkan apa yang diyakini benar, mempunyai sumber ilmu yang luas cakupannya dan menjadi suluh di jalan kehidupan dan wataknya menggambarkan citra Islam itu sendiri.

Dalam dunia yang serba kompleks kini tasawur dan fikrah Islami perlu didalami supaya ia menjadi benteng terhadap cabaran-cabaran ideologi dan faham yang menyesatkan. Faham liberalisme Barat yang menolak agama umpamanya sifatnya bercanggah dengan ilmu Islam dan faham pluralisme agama yang menyatakan semua agama itu sama juga tidak boleh diterima kerana asas aqidahnya bercanggah.

Apalagi sekiranya memahami Islam ikut logik dan rasional semata-mata tanpa merujuk kepada asas tafsir dalam kalangan ulama yang muktabar boleh menyebabkan penyimpangan dan salah faham terjadi.

Mengatasi kejahilan dalam keilmuan Islam menuntut orang-orang Islam berguru, merujuk kepada kitab dan pandangan para ulama dan ilmuwan yang mempunyai autoriti atau kewibawaan dalam sesuatu bidang.

Mendepani masyarakat pasca moden kini memerlukan kefahaman terhadap Islam bukan saja sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi juga sebagai cara hidup. Amalan-amalan yang bersifat kerohanian harus terpancar dalam diri secara amali. Setiap amal perbuatan kita memperlihatkan keindahan Islam itu sendiri. Ia tidak boleh berlaku dalam keadaan kejahilan tetapi mesti dipedoman oleh ilmu yang benar dan bermanfaat.

Bentuk cabaran masa kini tidak hanya menumpu kepada soal keyakinan (aqidah) semata-mata. Bentuk cabaran yang ada sifatnya intelektual, profesional, sains dan teknologi. Tamadun Islam pada masa lalu menghasilkan asas yang lebih mampu menghadapi cabaran semasa tetapi kini umat Islam dihimpit dengan kemajuan kebendaan dan nafsu-nafsi yang memerlukan ilmu yang benar dan bermanfaat meleraikannya.

Umat Islam perlu menjadi umat contoh dalam ilmu dan pemikiran, dalam amalan dan budaya, dalam penghasilan karya-karya berkualiti supaya ia menyumbang kepada tamadun umat manusia.


* Prof Datuk Dr Sidek Baba,
Kuliyyah Pendidikan UIAM