MENJADI Islam sebenar tidak saja sifatnya batini tetapi juga zahiri. Islam bukan sekadar suatu agama yang diyakini tetapi agama yang diamalkan. Keindahan Islam tidak saja dilihat pada kebenaran ajarannya tetapi kebaikan pekerti penganutnya.

Islam kadang-kadang menjadi agama yang disalahfahamkan kerana kekuatan rohaniah tidak seimbang dengan kekuatan amaliah. Ibadah khususnya kelihatan baik tetapi keupayaan mengurus diri dan sistem tidak terjadi.

Islam adalah agama yang menganjurkan sifat berimbang (wasata) tetapi terkadang terdapat di kalangan umatnya yang bersikap pelampau, bengis dan pembenci. Islam adalah agama damai dan kasih sayang. Ukhuuwah Islami menjadi teras membina jamaah.

Sayangnya imej bermusuhan sesama Islam kelihatan subur dan jiwa bermaafan dan kerjasama semakin tiada. Islam agama yang mendidik manusia berjiwa terbuka. Kalau ada perbezaan dalam kalangan mereka dilihat sebagai rahmah.

Hari ini perbezaan yang kecil dibesar-besarkan dan kebaikan yang besar dikecil-kecilkan. Lalu wujud konflik dan kontroversi yang menghakis persaudaraan. Kembali kepada Islam sebenar ialah kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Al- Quran yang ditanzilkan oleh ALLAH SWT terkandung prinsip mengenai ketauhidan, syariah, ibadah akhlak dan lain-lain.

Prinsip murni ini diterjemahkan ke dalam peribadi Rasulullah SAW sehingga Saidatina Aishah menyatakan akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran. Lambang Quran yang hidup dalam diri dan amalan.

Peribadi Qurani ini sangat penting dijiwai dan dihayati kerana ia adalah cerminan Islam sebenar yang mendukung risalah dan qudwah (contoh). Qudwah Rasulullah adalah sangat penting sebagai sumber ikutan kerana resam fitrah manusia suka mencontohi peribadi seseorang.

Ibu bapa adalah sumber contoh kepada anak-anak. Guru adalah sumber contoh kepada murid dan pemimpin adalah sumber contoh kepada rakyat. Justeru kebaikan yang ada pada umat Islam boleh memberi kesan yang baik kepada umat manusia atau orang lain.

Memang fitrah manusia sukakan yang makruf dan tidak suka kepada kemungkaran. Sekiranya pada peribadi umat Islam sentiasa dicerminkan dengan kebaikan maka kebaikan itu memberi faedah kepada yang lain.

Dalam mengerjakan yang makruf umat Islam diajar bersifat amanah, jujur, adil, bertimbangrasa dan selalu diminta menggunakan kebijaksanaan. Jika ini terdapat kepada pemeluk Islam tidak saja sifat yang baik itu memberi manfaat kepada sesama Islam tetapi juga kepada yang Bukan Islam.

Umpamanya agama Islam mengajar kita supaya bersifat menyantuni. Menyantuni sesama Islam mengembangkan proses dakwah dan tarbiyyah. Menyantuni dengan orang bukan Islam dengan pekerti yang baik dan sabar boleh menyebabkan orang tertarik kepada Islam itu sendiri. Ia adalah strategi dakwah.

Sebagai agama rahmah alamiah Islam tidak terbatas kepada sesuatu kaum saja. Al-Quran dalam Surah al Hujurat ayat 13 menganjurkan proses litaarrafu (kekenalan).  Proses ini sangat penting dimajukan kerana Islam tidak saja agama tauhid tetapi ianya agama tamadun. Sejarah tamadun Islam memberi pencerahan kepada Barat.

Melakukan dakwah bijaksana, dengan qudwah yang baik dan persiapan ilmu dan hujjah yang tinggi (Surah An Nahl :125) menjadi prasyarat kebangkitan Islam di Barat pada masa depan.

Amat penting dalam kalangan umat terdapat model negara dan sistem yang Islami dibangunkan supaya Islam bakal dianut sebagai asas pembinaan Dunia Baru pada masa depan.