ADA tanggapan mengatakan menjadi Islam menyebabkan pemeluknya mundur. Orang Melayu yang sering terkebelakang dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan disebabkan mereka menganut agama Islam. Tanggapan itu pada hakikatnya adalah suatu salah faham.

Agama Islam itu sendiri menggalakkan penganutnya maju dan bekerja keras ke arah pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. Cuma kesan budaya, cetek fahaman keagamaan menyebabkan sesuatu perlu dilakukan supaya Islam tidak dilihat sebagai penghalang, sebaliknya memberi dorongan ke arah kemajuan.

Rasulullah SAW umpamanya menganjurkan supaya umat Islam berniaga kerana 9/10 rezeki daripada sumber perniagaan. Menuntut ilmu adalah wajib bagi lelaki dan perempuan dan ia bersifat sepanjang hayat. Sehingga terdapat anjuran tuntutlah ilmu  walaupun ke negeri China.

Lemah dalam ilmu dan upaya berfikir bukan anjuran Islam. Mundur dalam perniagaan dan ekonomi bukanlah prinsip yang dipertahankan oleh Islam. Cuma terdapat aspek budaya yang diwarisi menjadikan umat Melayu umpamanya berfikir secara simplistik (ambil mudah) dan menganut agama secara ritual dan menjalani kehidupan secara secukup hidup.

Orang Melayu yang baik penghayatan Islamnya sering mengaitkan kehidupan itu dalam batas syariah sedangkan sistem yang berjalan tidak sifatnya patuh-syariah. Ia juga menjadi kekangan untuk mereka maju tetapi keadaan ini sedang menghadapi perubahan.

Suatu ketika dalam zaman tamadun Islam bangkit, umat Islam maju dalam segala bidang. Ilmu yang dikembangkan tidak saja memberi fokus kepada bidang diniah atau agama tetapi mencakupi semua aspek termasuk ekonomi, sains dan teknologi.

Umat Islam menjadi inovatif dan kreatif dan menyebabkan kualiti modal insan mempunyai daya saing yang tinggi.

Kemunduran umat Melayu umpamanya adalah akibat daripada budaya yang dianuti. Budaya itu tidak semestinya datang daripada Islam. Ada yang bersifat warisan, terdapat juga pengaruh Barat yang menyebabkan faham kebendaan dan individualistik terjadi.

Umat Melayu perlu melalui proses islah dalam pemikiran, sikap dan tindakan. Islam harus dijadikan landasan bagaimana kemajuan dan kebaikan di dunia memberi kesan kepada kebaikan di akhirat.

Maju dalam ilmu dan pendidikan, maju dalam sains dan teknologi dan maju dalam ekonomi dan perniagaan yang berasaskan patuh syariah adalah pra syarat bagi melonjakkan kedudukan umat.

Anggaplah usaha memperkasa ilmu dan ekonomi sebagai suatu jihad. Dari situ akan lahir tekad untuk maju dan menyuburkan kemakrufan supaya apa yang kita lakukan dalam reda ALLAH.

Kemiskinan dan kemunduran usaha berpunca daripada kemiskinan ilmu dan sikap. Akibatnya umat Islam mudah hilang ikhtiar dan tidak memiliki keyakinan yang tinggi bahawa usaha datangnya dari kita, keberkatan datangnya daripada ALLAH.

Di Malaysia, terdapat semakin ramai umat Islam yang berjaya dalam bidang ilmu pengetahuan, perniagaan dan dalam masa yang sama mengembangkan usaha amal di dalam dan luar negara.

Jika tekad perjuangan seperti ini dapat ditingkatkan, tidak mustahil umat Islam bakal tampil dengan kekuatan yang sifatnya alternatif iaitu menghasilkan cabang kegiatan ekonomi, perniagaan, korporat yang berdaya saing untuk menjelmakan model perubahan dan kemajuan yang teguh dan kukuh.

Jika Malaysia boleh menjadi model dalam perbankan, takaful, sukuk, waqaf berasaskan syariah ia boleh menjadi contoh kepada dunia Islam yang lain.