MANUSIA sepanjang sejarahnya sentiasa dalam pencarian. Ada yang bertemu apa yang dicari dan ramai juga sehingga hujung usia tidak bertemu apa dicari.

Manusia bermula dalam keadaan tidak tahu. Ada pengetahuan yang datang dari pembelajaran dan terdapat juga yang belajar dari pengalaman.

Ada yang tahu daripada tradisi orang dahulu yang turun-temurun. Ada yang mewarisi sesuatu kepercayaan dari zaman berzaman.

Ada yang menggunakan akal dan kemahiran semata-mata untuk mengetahui sesuatu. Lalu sedikit benda yang dicerap menerusi pancaindera menjadi asas berfikir dan rasional.

Islam adalah agama yang menghubungkan diri dengan hal-hal yang nyata dan ghaib. Menerusi pancaindera, akal dan pemikiran atau berasaskan kajian dan telitian hal-hal yang nyata dapat dirungkai. Tetapi ia berlaku dalam keterbatasan.

Hal-hal yang berkait dengan Pencipta adalah hal-hal yang ghaib. Al-Quran menjadi sumber memperjelas faktor ghaibiyyah ini supaya kaitan yang nyata dan yang ghaib sesuatu yang diterima.

Bicara mengenai roh adalah sesuatu yang ghaib. Roh terlalu amat penting bagi kehidupan manusia. Tanpa roh akal tidak boleh berfikir, hati tidak boleh merasa dan daya tidak boleh melakukan sesuatu. Tanpa roh jasad akan kaku.

Roh itu sesuatu yang ghaib. Ia ada dan berfungsi seadanya. Daripada al-Quran roh itu daripada ALLAH dan milikNya. Ia dipinjamkan kepada manusia supaya kehidupan terjadi. Ia diambil daripada manusia kembali supaya kematian terjadi. Meski jasad hancur, roh tetap hidup kerana ia adalah milik ALLAH.

Islam tidak menolak kemajuan. Dinamik manusia ingin berubah dan mengejar kemajuan. Kemajuan dalam Islam tidak ditandai oleh sains dan teknologi semata. Sains dan teknologi selamanya alat.

Amat penting sains dan teknologi mengangkat akal budi insan supaya nilai guna sains dan teknologi memberi manfaat kepada manusia.

Bila kemajuan benda dibangunkan berasaskan etika yang tinggi dan memiliki pedoman syariah yang mentertibkan, kehidupan menjadi lebih bermakna kerana setiap orang memikirkan cara yang maaruf dan betul melakukan sesuatu.

Hidup dengan pedoman syariah mentertibkan pekerti dan amalan. Manusia tahu tentang batas dosa dan pahala.

Manusia dipandu oleh perkara boleh dan tidak boleh. Lalu kebaikan dan amal soleh menjadi tujuan hidup. Inilah sebenarnya yang dicari oleh manusia.

Bayangkan manusia yang tidak menjadikan agama sebagai pedoman, nafsu-nafsi menjadi raja dan nakhoda. Manusia terjebak dengan gelagat kenafsian yang memilih jalur haiwani. Kebebasan yang dicari akhirnya bakal merintis jalan kerosakan diri manusia sendiri.

Minat kepada agama Islam di Barat hari ini semakin meningkat. Berlaku Islamophobia atau kegentaran kepada Islam dan menyebabkan Islam dikaitkan dengan pelbagai fenomena dan label.

Tetapi Barat tidak boleh menyekat fitrah manusia untuk mencari kebenaran yang hakiki. Kalaulah isu kemajuan yang menjadi buruan orang Barat, Islam tidak menolak kemajuan.

Kalaulah isu sains dan teknologi menjadi hambatan tamadun silam Islam sumbernya adalah sains dan teknologi juga yang menyebabkan pencerahan terjadi di Barat.

Cuma tradisi Islam dalam memberi makna kepada kemajuan ialah kemajuan rijal atau manusia itu sendiri. Manusia yang maju pada perspektif Islam ialah manusia yang berilmu dan berketerampilan tetapi mempunyai etika dan kualiti manusiawi yang tinggi.

Manusia Islam menepati maksud adab dalam Islam iaitu memiliki disiplin minda, hati dan amal. Darinya bakal lahir tamadun kerana pertimbangan untuk maju tidak saja intelektual tetapi juga rohaniah. Prasyarat untuk membangun tidak saja fizikal tetapi juga spiritual.

Inilah yang sedang dicari oleh manusia hari ini. Malangnya negara umat Islam hari ini tidak mampu menjadi contoh terbaik untuk negara Barat. Mereka sedang terjebak dengan kemelut perpecahan yang parah dan ketidakstabilan yang amat ketara.

Tidak mustahil wujud model Islam di Barat dan di Eropah. Tradisi keilmuan dan keintelektualan di Barat sangat berkembang. Sekiranya tradisi itu dibangunkan bersama fikrah dan tasawwur Islami, bukan mustahil orang Barat menemui dirinya yang sebenar dan menjadi model kepada yang lain.

Hari depan Islam di Barat tetap ada dan Islam bakal memberi jawapan terhadap krisis kemanusiaan yang parah dan Barat akan ditunjuk jalan kembali oleh Islam dan menjadi contoh kepada yang lain

 

* Prof Datuk Dr Sidek Baba Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)