ISLAH atau reform adalah pendekatan dalam Islam apabila melakukan penyesuaian ke arah kemajuan dan perubahan.

Islam menerusi al-Quran dan As Sunnah tetap dirujuk sebagai sumber utama dan tafsiran para ulama dijadikan rujukan, tetapi berlaku ijtihad untuk menghubungkan suasana yang berubah.

Perubahan cara hidup, perkembangan ilmu dan teknologi, pengaruh ekonomi dan sosial perlu dipandu dengan roh Islami dalam isi dan pendekatan. Kita tidak boleh mencedok sepenuhnya dari Barat kerana sesuatu yang datang dari Barat sifatnya mekanistik.

Ada faedah berbanding dari Barat yang memerlukan saringan dan dititip dengan roh Islami.

Perkembangan dalam ekonomi dan muamalah umpamanya seperti sistem perbankan, insurans, bon, wakaf dan industri halal memerlukan faktor syariah dibawa bersama supaya sifat industri tersebut tidak bercanggah.

Islah menyebabkan formula patuh syariah terjadi kerana Islam menghindarkan riba, pendekatan eksploitasi dan penindasan.

Walaupun mekanisme Barat digunakan namun roh yang terbina dalam kegiatan itu tidak bercanggah dengan Islam. Bila islah terjadi dalam institusi yang berkaitan ia menyediakan asas kepada ekonomi dan muamalah Islam.

Walaupun ia berlaku secara gradual atau beransur-ansur tetapi matlamat akhirnya ialah untuk sampai kepada perubahan menyeluruh.

Lazimnya dalam melakukan islah faktor keupayaan manusia dari segi ilmu dan penguasaan teknologi sangat penting. Faktor itu tidak memadai sekiranya faktor diniah atau agama diketepikan.

Faktor syariah dan feqah adalah sesuatu yang amat utama untuk menjadi asas dan landasan islah. Syariah dan feqah mempedoman kegiatan yang berlaku supaya ia tidak melanggar kaedah syarak.

Institusi kewangan Barat berasaskan faham kapitalisme lebih mementingkan keuntungan, bukannya kesejahteraan hidup manusia.

Prinsip tanpa riba umpamanya menyantuni sistem ini supaya institusi kewangan jadi lebih adil dan mendukung maksud kesejahteraan serta barakah.

Oleh itu islah juga perlu berlaku dalam sistem pendidikan supaya jenis manusia yang dilahirkan tidak saja memiliki ilmu dan keterampilan tetapi dalam masa sama memiliki pekerti mulia supaya sifat amanah, adil, jujur dan ikhlas sentiasa tertampil dalam kerja dan pengurusan.

Dalam tradisi Islam perubahan tidak hanya dilihat dari kecanggihan teknologi yang terdapat. Tetapi peribadi dan kualiti diri yang islahi amat dituntut supaya pengendalian kepada alat berlaku di bawah dukungan etika yang tinggi.

Peribadi yang islahi memerlukan ilmu naqliah menyantuni akliah supaya wujud tasawur yang terarah.

Ia membangunkan fikrah yang berasaskan etika dan nilai serta sifat kegiatan berada dalam keadaan value-laden atau bersama-sama dengan pertimbangan nilai.

Tanpa nilai manusia akan hilang ukur tara bagi menentukan baik-buruk atau halal-haram sesuatu dan menyebabkan dirinya terjebak dalam keadaan ketidaktentuan.

Islah juga memberi pencerahan kepada sikap jumud dan ekstrem seseorang. Kehidupan ini memerlukan jalur berimbang supaya pertimbangan ilmu terbina dan pertimbangan syarak dijadikan pedoman. Sifat value-free atau bebas-nilai dalam interaksi dan amalan boleh menyebabkan salah guna dan penyelewengan terjadi.

Perubahan yang sedang berlaku di Barat malah di Timur banyak mengambil pertimbangan mekanistik. Teknologi menjadi alat penting dalam pembangunan dan perubahan.

Dalam Islam, teknologi selamanya alat bukan matlamat. Di samping membangun high-tech (teknologi tinggi) high-touch (sentuhan keinsanan) perlu ada. Kalau tidak manusia akan menjadi lebih haiwani kerana pertimbangan manusiawi tidak dijadikan pedoman.

Justeru sifat islah dalam tradisi Islam harus menyeluruh. Kita tidak menolak tradisi kerana ia dianggap yang sudah berlalu. Ada tradisi yang baik boleh dijadikan mata rantai untuk merintis perubahan. Tanpa yang lalu tidak mungkin wujud keadaan terkini dan masa depan.

Pendekatan islahi mengambil hikmah sebagai asas dan landasan supaya bentuk sedia ada perlu melalui perubahan supaya roh syariah dapat diserapkan dengan bijaksana.

Perubahan tidak sekadar suatu perubahan, tetapi perubahan jangan sampai merosakkan faktor syariat atau ia menjadi ekstrem atau pelampau.

Perubahan memerlukan strategi bijaksana, kepakaran dan keahlian yang berasaskan syariat untuk maksud kesejahteraan umat manusia.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)