DALAM tradisi Islam ilmu yang benar dihubungkan dengan al-Quran dan As-Sunnah dan ilmu yang bermanfaat dihubungkan dengan ilmu yang berguna dan tidak melanggar syariat.

Ilmu yang benar menjadi sangat penting kerana ia dijadikan sumber rujukan yang utama. Ilmu yang bermanfaat dari sumber lain juga penting kerana ia mengukuhkan lagi tasawur umat Islam dalam menghadapi cabaran zaman.

 Al-Quran yang dibaca dan dihafaz tidak sifatnya lafzi dan harfiah sebagai sebuah kitab (teks) semata-mata. Ia adalah khazanah ilmu dan terkandung maksud yang tersirat dan bersifat kontekstual (terhubung dengan alam dan penciptaan).

 Memiliki ilmu yang benar menjadi petunjuk dan pedoman kepada pemikiran dan hati. Faktor fikir dan zikir sifatnya saling menyantuni kerana tautan antara keduanya boleh membentuk hati dan bakal tercerna dalam amalan.

 Bila al-Quran menyatakan kita harus bersifat ihsan kepada manusia ia adalah pedoman yang benar. ALLAH melimpahkan keihsanannya kepada manusia dalam bentuk rahmat dan nikmat dengan maksud manusia terdidik untuk melakukan ihsan kepada orang lain.

 Bila al-Quran menyatakan pentingnya keadilan terhadap manusia ianya adalah benar kerana perbuatan zalim menghilangkan kualiti manusiawi dan ianya ditegah oleh Islam. Kezaliman menyebabkan manusia bersengketa dan sentiasa dalam konflik.

Bila sunnah Rasulullah SAW menunjuk contoh mengenai sabar dan bijaksana itulah jalan dakwah yang terbaik. Jalan ini kalau dikuti bakal membawa kesan yang baik juga kepada sasaran dakwah (mad’u).

 Ilmu yang benar ibarat suluh yang memberikan cahaya akal kepada manusia supaya berfikir dan bertindak dengan keinsafan yang tinggi terhadap ALLAH itu Maha Melihat dan ALLAH itu Maha Mengetahui akan segala apa yang kita lakukan.

 Hubungan menegak (vertical relation) kita dengan ALLAH adalah pancang keyakinan yang menyebabkan kedekatan kita dengan ALLAH (God-conciousness) terjadi.

Umpamanya kita boleh berbohong dengan manusia akan apa yang sebenarnya terjadi tetapi kita tidak boleh berdusta dengan ALLAH kerana Dia Maha Mengetahui.

Tanpa ilmu yang benar penerimaan makna kepada diri tidak akan berlaku. Berilmu menjadikan seseorang itu berpengetahuan dan tidak jahil. Kefahaman terhadap ilmu yang benar menyebabkan penerimaan makna terjadi. Makna kehidupan akan memberi erti yang sebenar kepada diri dan terhadap orang lain.

 Makna dalam hidup memandu pemikiran dan hati insan ke arah hidup yang lebih telus dan tulus. Pertautan diri dengan ALLAH akan berlaku dan taklif (amanah) kehidupan akan terjadi. Inilah kekuatan ilmu yang benar terhadap diri manusia jika ia dihayati.

 Ilmu yang bermanfaat boleh didapati daripada sumber lain. Al-Quran dalam Surah al Hujurat ayat 13 menganjurkan supaya proses kekenalan (litaarrafu) terjadi terhadap latar bangsa dan budaya yang berbeza. Kekenalan itu harus berlaku dalam konteks ianya memberi manfaat dan dengan kekuatan tasawur Islami, etika dan nilai ditindikkan kepada tubuh ilmu itu dan ianya menjadikan ilmu itu bermanfaat dan tidak bercanggah dengan fitrah.

 Teknologi komputer umpamanya boleh memberi manfaat kepada umat Islam. Manfaat itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya terdapat dalam kalangan warga umat yang memiliki kepakaran menghasilkan perisian, program, input dan software yang Islami supaya kegunaan komputer sifatnya tidak bercanggah.

 Inilah cabaran utama umat Islam supaya tidak hanya menjadi pengguna kepada sumber orang lain tetapi harus jadi penyumbang kepada binaan tamadun dan peradaban umat manusia.

 Justeru menuntut ilmu yang benar dan bermanfaat dari sumber ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem atau ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah amat diutamakan supaya Islam selari dengan perubahan zaman. Sifat zaman yang dinamik berubah terutama dalam sains dan teknologi memerlukan keupayaan keilmuan dan keterampilan yang dipedoman oleh etika dan nilai dan menjadikan kegunaannya dipedoman oleh hubungan menegak kita dengan ALLAH dan memberi manfaat kepada manusia.

 Landasan ini sangat penting disuburkan kerana terputusnya hubungan kita dengan Pencipta, manusia akan bersifat lepas bebas tanpa pedoman salah-benar, halal-haram, maaruf-mungkar dan menyebabkan sifat haiwani bakal muncul dan kerosakan kepada akhlak manusia akan terjadi.

Oleh itu tasawur Islam dalam keilmuan dan tarbiah harus menjadikan ilmu yang benar dan bermanfaat sebagai tunjang perubahan dan kemajuan.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia